Sampai bila Wan Azizah, Izzah enggan maafkan Mahathir? – MyKMU
PETALING JAYA: Keengganan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan puterinya, Nurul Izzah Anwar menurunkan tandatangan pada Deklarasi Rakyat menarik perhatian portal pro-UMNO, MyKMU.
Penulis portal itu berpandangan ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun negarawan itu kini mengepalai permuafakan yang dimanfaatkan oleh PKR untuk mendesak Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
“Wan Azizah dan semua anak-anaknya dikatakan langsung tidak peduli untuk menandatangani deklarasi berkenaan,” tulis portal itu. Dalam Kongres Rakyat Selamatkan Malaysia baru-baru ini, Tun Mahathir berkata dokumen itu memerlukan satu juta tandangan, manakala penggerak kempen Datuk Zaid Ibrahim meminta orang-ramai supaya turunkan tandatangan jika mahukan perubahan.
“Tidak perlulah rasanya diungkit lagi peristiwa 1998-1999 dulu,” tambah penulis; “Mahathir sudah menjangkau usia lebih 90 tahun. Dalam penghujung usia emas seperti itu, penulis yakin beliau juga mengharapkan agar Wan Azizah dan anak-anak memaafkannya.”
Anwar kini menjalani hukuman lima tahun penjara di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat pembantunya. Ini merupakan kali kedua beliau dituduh melakukan kesalahan itu — tuduhan yang dianggap oleh penyokongnya sebagai konspirasi fitnah.
Pertama kali beliau dituduh adalah pada 1998 ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri, dan menyaksikan Anwar disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun. Mahkamah Persekutuan terbalikkan keputusan itu pada 2004.
Dalam laporan FMT sebelum ini, PH berkata soal memaafkan Mahathir diatas salahlaku yang didakwa padanya perlu dilihat berasingan daripada permuafakan bersama pemberontak UMNO.
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata partinya mengambil pendirian untuk fokus kepada isu yang lebih mendesak manakala Ahli Jawatankuasa Kerja AMANAH, Hanipa Maidin mengingatkan bahawa presidennya, Mohamad Sabu pernah dipenjarakan Mahathir dan Anwar juga menyusahkan pembangkang semasa dalam kerajaan dahulu.
“Ia (Deklarasi Rakyat) belum benar-benar cukup bersejarah selagi ia tidak ditandatangani oleh Anwar, Wan Azizah dan seluruh anak-beranak mereka.
“Azmin (Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali) sudah tandatangan, Rafizi (Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli) pun sudah. Apa salahnya jika Wan Azizah dan semua anak-anak turunkan tandatangan tanda ‘sayangkan Mahathir’, kan?” sindir penulis MyKMU.
Mukah Pages sharing automated post from Free Malaysia Today http://ift.tt/1MIhjRv
Post a Comment