Ikan Air Tawar Kini Pilihan Sesetengah Penduduk Di Perlis
Spread the love
KANGAR – Tidak ada kurangnya memakan ikan air tawar dari segi rasa dan khasiat berbanding ikan laut yang kini melambung harganya.
Asalkan kena dengan cara masakan, ikan air tawar tidak kurang enaknya, kata beberapa orang nelayan dan petani yang ditemu bual.
Kerana itu, semakin ramai penduduk di Perlis, terutama yang berpendapatan rendah, kini mengambil inisiatif menangkap ikan air tawar dengan memancing dan menjala di sungai, tasik dan lopak-lopak sawah atau memasang pukat di aliran sungai.
Ada di antara mereka tidak lagi “mahu bertolak ansor” membeli ikan laut yang harganya melambung tinggi.
“Sebelum ini ikan kembung memang pilihan utama kami kerana harganya yang murah iaitu sekitar RM5 atau RM6 sahaja sekilogram berbanding ikan-ikan lain.
“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, harga ikan semakin mahal. Ikan kembung dijual pada harga antara RM18 hingga RM24 sekilogram,” kata Yob Salleh, 62, dari Chuping.
Antara jenis ikan air tawar yang mudah diperolehi di sawah dan sungai ialah puyu, haruan, keli dan sepat.
Bercakap kepada kepada Bernama di sini, Yob berkata beliau memancing ikan puyu bukan sahaja untuk makanan sekeluarga, malah bagi menambah pendapatan dengan dijadikan pekasam untuk dijual di pasar-pasar minggu atau pasar tani.
Ini banyak membantu keluarganya memandangkan keadaan ekonomi sekarang, katanya.
Petani Bakar Jasin, 52, berkata beliau kini memilih untuk memukat ikan air tawar di sawah dan sungai untuk sumber makanan harian.
“Saya tidak mampu membeli ikan laut. Ikan kembung pun saya tak mampu beli apatah lagi ikan seperti bawal, cencaru dan pari,” kata bapa kepada enam orang anak itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur kerana walaupun ikan laut tidak mampu dibeli, rezeki ikan air tawar mudah didapatkan selain rasanya enak.
Sementara itu, wakil Persatuan Nelayan Negeri Perlis, Jasni Hashim berkata harga ikan laut tidak akan turun selagi laut bergelora.
“Antara sebab harga ikan terutama kembung melambung kebelakangan ini ialah para nelayan tidak dapat ke laut kerana keadaannya bergelora,” kata beliau.
Beliau berkata, kebanyakan nelayan kekurangan hasil tangkapan kerana terhalang dari turun ke laut akibat cuaca tidak menentu.
Akibatnya, ada nelayan yang kekurangan hasil sehingga 80 peratus.
Antara mereka Yusop Ahmat, 50, yang mempunyai bot menangkap ikan yang kecil. – BERNAMA
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment