Zulfahmi kutip empat mata di Phillip Island
PELUMBA World SBK, Muhammad Zulfahmi Khairuddin. – Foto Yazit Razali
KUALA LUMPUR: Pelumba tunggal negara di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Muhammad Zulfahmi Khairuddin menamatkan perlumbaan pembuka tirai kelas SuperSport 2017 di Phillip Island, Australia dengan catatan mata selepas melepasi garisan penamat di tempat ke-12, sebentar tadi.
Tiba ke Australia dengan tekad tinggi pada musim yang disifatkan penentu kerjayanya, pelumba kelahiran Banting itu begitupun tampak bergelut untuk sekadar meraih empat mata pada perlumbaan yang dimenangi pelumba Itali, Roberto Rolfo yang juga pendatang baharu di kejuaraan berkenaan.
Rolfo yang beraksi bersama pasukan Vamag MV Agusta menamatkan perlumbaan yang terpaksa dimulakan semula itu dengan catatan 15 minit 56.217 saat (s) mengatasi pelumba Perancis, Lucas Mahias (GRT Yamaha) dengan kelebihan +0.001s.
Pelumba veteran Australia, Anthony West (West Racing) yang hadir ke perlumbaan dengan tiket wildcard dalam pada itu memberi keceriaan buat penyokong tuan rumah apabila melengkapkan kedudukan podium.
Perlumbaan berkenaan terpaksa dimulakan semula apabila bendera merah dikibarkan selepas berlaku kemalangan teruk membabitkan Robin Mulhauser (CIA Landlord Insurance Honda) dengan pelumba pasukan Kawasaki Go Eleven, Gino Rea ketika perlumbaan berbaki 13 pusingan.
Bermula di petak ke-13, tidak banyak yang mampu dilakukan Zulfahmi yang beraksi bersama pasukan Orelac Racing VerdNatura pada perlumbaan berkenaan.
Tahun lalu, dia menamatkan perlumbaan di Australia di tangga ke-13 pada musim pertamanya sebelum mengakhiri saingan kelas 600cc itu di tangga ke-11 keseluruhan selepas mengumpul 56 mata.
Tahun ini dikatakan menjadi penentu terhadap kerjaya bekas pelumba Moto3 negara itu selepas lapan tahun bernaung di bawah program Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Zulfahmi berpeluang memperbaiki keputusannya pada perlumbaan pusingan kedua musim ini di Thailand yang dijadual pada 10 hingga 12 Mac depan.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lSEhg3✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment