Pemilihan FAM: Subahan umum manifesto
Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Subahan Kamal. – Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Subahan Kamal menggariskan tiga perkara utama dalam manifestonya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan badan induk itu bulan depan.
Pemilihan jawatan kedua tertinggi itu akan diadakan serentak dengan beberapa jawatan lain termasuk presiden pada Kongres FAM ke-53 di Hotel Hilton Petaling Jaya pada 25 Mac ini.
Subahan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata tiga perkara utama yang digariskannya itu adalah menjadi suara kepada persatuan negeri bagi menjaga kebajikan mereka.
“Saya berjanji sekiranya saya dipilih, saya akan bersuara. Saya akan menjadi nombor dua yang baik maksudnya siapa pun dipilih sebagai presiden saya tiada masalah untuk bekerjasama tetapi saya tidak akan jadi ‘Yes man’.
“Saya akan bersuara demi kepentingan persatuan negeri, ” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di sini, hari ini.
Katanya, perkara kedua adalah memberi jaminan akan memastikan dari segi dasar lebih memihak kepada persatuan negeri selain geran tahunan lebih tinggi diterima daripada FAM setiap tahun.
“Saya akan pastikan bukan saja dari segi polisi lebih memihak kepada persatuan negeri tetapi dari segi imbuhan juga. Saya merasakan dari segi penajaan persatuan negeri berhak diberi lebih.
“Sekarang persatuan negeri menerima RM1 juta daripada FAM dan saya percaya mereka berhak untuk dapat minimum RM3 juta. Saya harap kepimpinan FAM boleh fikir perkara ini,” katanya yang juga Presiden KHM.
“Boleh atau tidak boleh adalah soal kedua. Sebelum ini semua yang duduk dalam FAM hanya menunggu dan melihat presiden buat kerja tetapi perkara ini perlu diubah. Timbalan dan naib presiden juga perlu buat kerja.
“Jika nak duduk dalam FAM hanya untuk panaskan kerusi, tak perlu duduklah. Kalau nak duduk kena cari dana juga. Saya berani berjanji saya mampu mencari dana dan bantu presiden untuk bagi menguatkan kewangan FAM.
“Berapa saya tidak berani janji tetapi sekurang-kurangnya RM1 juta hingga RM2 juta setahun,” katanya.
Katanya, perkara ketiga dalam manifesto adalah komitmennya untuk tidak menerima sebarang imbuhan daripada FAM sebaliknya akan menyumbangkan wang ringgit dan tenaganya sendiri.
“Siapa yang dipilih sebagai timbalan presiden atau naib presiden kalau boleh jangan terima apa-apa imbuhan daripada FAM. Saya berjanji tidak akan datang mesyuarat untuk ambil duit atau elaun.
“Perkara ini perlu diberhentikan kerana nak berjuang dalam bola sepak perlu ikhlas,” katanya.
Selain Subahan, dua pesaingnya adalah Datuk Seri Afandi Hamzah selaku penyandang dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Wira Yusoff Mahadi.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lnAbJS✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment