Parlimen Bertafakur Kenang 3 Tahun Misteri Kehilangan MH370
Spread the love
Tuan Yang di-Pertua,
HARI ini, Rabu 8 Mac 2017, genap tiga tahun insiden kemalangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa bersama 227 penumpang dan 12 kru dan anak kapal. Dunia secara umumnya dan khususnya kita rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan insiden yang tidak terduga ini apabila sebuah pesawat komersil Boeing 777-200 milik MAS yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing diberitakan telah hilang.
Tarikh 8 Mac 2014 merupakan satu tarikh yang tidak akan luput dari ingatan kita semua. Pastinya, waris dan keluarga penumpang dan anak kapal pesawat tersebut melalui hari-hari yang begitu sukar dan pilu selama tiga puluh enam bulan ini.
Meskipun telah tiga tahun berlalu, namun kesannya masih lagi terasa terutamanya oleh ahli keluarga dan rakan taulan mangsa. Malah kesedihan ini turut sama dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia secara amnya. Tiga belas negara juga turut kehilangan warga mereka dalam insiden yang sangat tragis ini.
Sesungguhnya, tiada kata-kata yang dapat melakarkan kesedihan dan kepiluan waris dan ahli keluarga serta sahabat handai mangsa pesawat MH370 dalam meniti masa-masa sukar ini. Tiada apa yang dapat menjadi ganti kehilangan insan yang dikasihi. Hanya kenangan dan memori indah mereka menjadi peneman dan akan senantiasa tersemat dalam sanubari kita buat selama-lamanya.
Saban hari kita sentiasa mengharapkan dan berdoa agar kita dapat mencari jawapan kepada tragedi ini kerana kita bertanggungjawab kepada semua ahli keluarga mereka yang berada di dalam pesawat tersebut. Pelbagai usaha telah digemblengkan di peringkat antarabangsa. Ianya sudah tentu meruntun hati kita semua apabila misi pencarian tidak berhasil menemukan pesawat MH370.
Tuan Yang di-Pertua,
Sesungguhnya, penggantungan misi pencarian pada 17 Januari yang lalu setelah lebih dua tahun setengah misi tersebut dilancarkan sememangnya satu keputusan yang amat sukar dan akan dirasai oleh semua pihak terutama waris dan ahli keluarga mangsa. Keputusan yang dicapai bersama Kerajaan Australia dan Republik Rakyat China ini bukanlah diambil dengan ringan atau tanpa kepiluan.
Ianya pasti sukar untuk dipertimbangkan, apatah lagi diterima. Namun, percayalah bahawa kita semua mahukan jawapan samada ahli keluarga, kerajaan dan rakyat Malaysia mahupun masyarakat dunia.
Penggantungan ini bukanlah bermakna pengakhiran dalam komitmen tidak berbelah bagi Negara untuk merungkai tragedi malang ini. Sungguhpun pencarian digantung buat masa ini sementara menunggu lebih banyak bukti yang lebih meyakinkan berdasarkan analisa kepada data dan maklumat komprehensif yang diperoleh oleh kumpulan pakar di Australia, aspirasi untuk mencari MH370 tidak pernah diabaikan.
Kesempatan ini juga ingin saya zahirkan penghargaan yang tidak terhingga bagi pihak Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Australia dan Republik Rakyat China kerana telah bersama dengan kita semenjak misi pencarian dilancarkan. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua negara dan organisasi yang tampil memberi bantuan dalam waktu-waktu yang mencabar ini.
Pada masa yang sama, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pasukan bertindak (response team) yang diwujudkan bagi mengendalikan semua urusan berkaitan pesawat MH370 berikutan penggantungan misi pencarian dasar laut.
Tuan Yang di-Pertua,
Hakikatnya, inilah takwim yang sungguh bertragis bagi kita. Meskipun begitu, pada masa dan detik pilu sebegini, kita seharusnya memperkukuhkan lagi solidariti dan semangat perpaduan sesama kita, dalam mengenang tragedi malang MH370 ini.
Oleh yang demikian, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah sebagai tanda kita memperingati genap tiga tahun tragedi malang yang menimpa negara serta mengenang mereka yang terlibat dalam nahas pilu yang amat meruntun hati kita semua.
Justeru itu, saya berharap dan menyeru ahli keluarga dan rakan taulan mangsa agar terus cekal dan kekal tabah dalam meniti hari-hari yang mendatang tanpa orang yang disayangi. Doa dan ingatan kita akan terus bersama dengan mereka agar diberi ketabahan dan kecekalan hati dalam meneruskan kehidupan.
Tan Sri Yang Dipertua,
Akhir kata, bagi memperingati mangsa mangsa tragedi yang amat menyat hati ini saya memohon supaya dapatlah kiranya ahli-ahli Dewan yang mulia ini bertafakur dan sama-sama berdoa semoga ada cahaya penyelesaian di hujungnya nanti.
Terima kasih.
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment