Jasamu dikenang
ATAS dasar kemanusiaan, dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak mengiringi kereta dipandu seorang bapa yang berdepan detik cemas apabila bayinya mengalami sawan serta demam panas untuk ke hospital.
Mohd Azizul Mohd Anuar, 33, serta Mohd Taufik Ramli, 31, iaitu Pembantu Penguatkuasa dari JPJ Selangor bertindak mengiringi kereta dipandu Muhammad Saiful Jaffar, 36, bermula dari persimpangan lampu isyarat Jalan KLIA 1 ke Putrajaya pada 18 Ogos lalu.
Tindakan kedua-dua anggota JPJ itu tular dalam laman sosial Facebook selepas dimuat naik oleh Muhammad Saiful sekali gus menerima pujian daripada netizen atas keprihatinan mereka.
Muhammad Saiful berkata, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Pelek, Sepang ke Hospital Serdang untuk membawa bayinya, Aryan berusia 14 bulan yang tidak sihat.
Katanya, Aryan yang dalam pangkuan isterinya, Nellie Ismail, 35, mengalami sawan menyebabkan dia terpaksa memandu melebihi had laju sambil menghidupkan lampu kecemasan.
"Sebaik berhenti di lampu isyarat di Jalan KLIA 1, ada kenderaan JPJ di hadapan kami dan saya terus keluar dari kereta serta pergi kepada mereka.
"Kemudian, saya memaklumkan kepada anggota terbabit, saya minta maaf kerana mahu memandu laju disebabkan bayi kekejangan demam panas," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, anggota JPJ terbabit memberitahu mereka mahu mengiringi keretanya dan dia kemudian memandu mengekori kenderaan JPJ dari belakang.
"Saya mengekori kenderaan JPJ sehingga ke Putrajaya berdekatan susur ke Hospital Serdang. Alhamdulillah, dengan bantuan mereka saya sampai segera ke hospital dan terima kasih kepada mereka berdua," katanya.
Sementara itu, Mohd Azizul ketika dihubungi berkata, dia terdetik membantu Muhammad Saiful kerana memahami situasi seorang bapa yang berdepan dengan keadaan apabila anak ditimpa sakit memandangkan dia juga mempunyai anak berusia dua tahun.
"Ketika kejadian, saya dan Mohd Taufik selesai tugas sempena Sukan SEA serta mahu pulang ke Ibu Pejabat JPJ Putrajaya. Semasa berhenti di lampu isyarat, ada seorang lelaki mengetuk cermin tingkap dengan kuat dan dia dalam keadaan cemas.
"Lelaki itu beritahu, dia mahu memandu laju kerana anak sakit perlu ke hospital segera malah, dia tidak minta kami mengiringi keretanya.
"Saya beritahu rakan untuk membantu lelaki itu dan kami terus memasang lampu mata arah serta siren untuk memberi laluan kepada keretanya," katanya.
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2vl5E3p
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment