Kabinet lulus Skim Insurans Kelompok JKKK/JKKKP/JKKKOA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) meningkatkan peranan sebagai pemimpin akar umbi bagi memastikan institusi itu memacu pembangunan selaras pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50)
Perdana Menteri berkata, peranan pemimpin peringkat akar umbi hari ini semakin kompleks, antaranya perlu merasai denyut nadi, kehendak dan aspirasi rakyat supaya ia dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, sekali gus memenuhi tanggungjawab kerajaan dalam melaksanakan pembangunan setempat.
Katanya, pemimpin JKKK/JKKKP/JKKKOA juga berperanan untuk memperbetulkan persepsi rakyat yang kini berdepan peperangan persepsi, bukannya peperangan realiti dalam dunia politik hari ini.
"Bila kita ada pembangkang yang suka menyelewengkan fakta ataupun main senjata persepsi sehinggakan yang tidak betul menjadi betul, yang batil menjadi benar dan kita selalunya menjadi mangsa kepada permainan seperti itu.
"Saya juga sering menjadi mangsa permainan pembohongan seperti itu umpamanya satu gambar waktu saya di dalam bilik hotel di Beijing (China). Ketika itu beberapa menteri ada bersama saya dan isteri saya pun ada, duta kita pun ada tetapi dalam media sosial, diviralkan isteri saya hadir dalam mesyuarat Jemaah Menteri walhal kami sedang berbincang untuk kembali ke Malaysia kerana kemangkatan Sultan Perak.
"Kita mesti beritahu kepada rakyat bahawa apa-apa berita disampaikan tolong selidik dulu. Dalam Islam pun prinsip tabayyun, Tuhan suruh kita siasat kalau tidak kita melakukan kezaliman... beritahu orang kampung, jangan mudah terima apa yang dihebahkan dalam media sosial... tolong bezakan antara pandangan dan fakta," katanya.
Beliau berkata demikian di Perhimpunan JKKK)/JKKKP)/JKKKOA serta Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Majlis yang mengumpulkan lebih 10,000 JKKK/JKKKP/JKKKOA seluruh negara turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung, Datuk Shahaimi Othman.
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan Skim Insurans Kelompok kepada 265,000 ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA yang diluluskan Kabinet minggu lalu berkuat kuasa Januari 2018.
Najib berkata, di bawah skim itu, kerajaan akan membayar RM10, manakala ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA perlu membayar RM7 setahun yang antara lain bakal memperoleh faedah kematian akibat kemalangan RM5,000, manakala kematian biasa RM2,500.
Katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut mengeluarkan kad identiti JKKK/JKKKP/JKKKOA yang memberikan faedah diskaun bagi pembelian produk pertanian, penginapan, makan minum di hotel dan resort tertentu
Najib turut menyampaikan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan kepada pemenang tiga kategori iaitu kategori Kampung Tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.
Terdahulu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung, Zubir Jamal memimpin bacaan ikrar sebelum menyerahkan skrol taat setia kepada Perdana Menteri.
Pada majlis itu juga, seramai 15 wakil peserta Sijil Tadbir Urus Desa daripada 3,000 orang dalam kalangan JKKK, JKKKP menerima sijil program kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). - BHOnline
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2wjFgLL
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment