‘Lebih ramai rakyat berhijrah kerana kuasa elit bertambah’
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendakwa dasar ekonomi negara semakin memihak kepada golongan elit menyebabkan ramai pekerja bergelut menyara kehidupan sekeluarga.
PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat DAP mendakwa lebih ramai rakyat berhijrah kerana merasakan mereka kehilangan negara ini kepada golongan “elit” yang menguasai semua aspek kehidupan di sini.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kesal dengan dasar ekonomi negara yang didakwanya semakin memihak kepada golongan elit.
“Apabila bercakap mengenai gaji minimum, menteri atau timbalan menteri sumber manusia akan mengamuk. Mereka akan kata pengangguran besar-besaran akan berlaku kerana perniagaan akan ditutup,” katanya pada Sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, realiti di peringkat akar umbi ialah ramai bergelut untuk mencari pendapatan bagi menyara kehidupan sekeluarga.
“Ada seorang janda yang datang berjumpa saya. Dia kehilangan suami dan tidak mempunyai simpanan. Dia terpaksa berhenti menghantar 4 anaknya ke sekolah kerana tiada wang cukup untuk membayar tambang bas sekolah.
“Siapa yang akan bantu mereka? Jawapan yang kami dapat ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). BR1M tidak dapat menyelesaikan masalah mereka, apa yang mereka perlukan ialah perubahan struktur,” katanya sambil menambah kerajaan bagaimanapun tidak memfokuskan aspek itu.
Beliau berkata, walaupun kerajaan mengatakan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin semakin kecil, memetik koefisien Gini – cara mengukur jurang pendapatan antara kaya dan miskin, statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagaimanapun menunjukkan keadaan sebaliknya.
Menurut data KWSP, separuh daripada simpanan dalam dana itu atau RM47.2 bilion milik 0.4% pencarum.
“Ini memberitahu kita banyak mengenai ketidaksamaan di negara ini. Sekumpulan kecil memiliki bahagian besar, manakala sekumpulan besar lagi hanya mempunyai bahagian kecil.”
Beliau berkata, keseimbangan kuasa perlu dikembalikan kepada rakyat atau campur tangan golongan elit dalam menentukan masa depan Malaysia akan berakar umbi.
“Kuasa perlu diberikan kepada rakyat dan rakyat perlu mula menggunakan kuasa mereka,” katanya yang menggesa rakyat peringkat akar umbi bekerjasama dengan kesatuan sekerja, persatuan dan masyarakat setempat mengenai isu tempatan dan nasional.
Pada 25 September lalu, bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyeru orang Islam tempatan menerima konsep hijrah dalam Islam untuk bebas daripada penyeksaan di Malaysia yang disifatkannya “negara orang Islam yang tenat”.
Beliau menggesa umat Islam berhijrah ke United Kingdom (UK) yang memberi ruang untuk belajar dan menjadikan mereka manusia berguna.
FMT
✍ Sumber Pautan : ☕ indah.com
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2j4tAnr
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment