'Potong Kain Kafan Untuk Diri Sendiri'
JOHOR BAHRU: "Saya tidak sangka kain kafan dipotongnya dulu, kini diguna untuk mengkafankan jenazahnya sendiri," kata Mohamad Iqbal Rahman, 17, rakan baik kepada Mohamad Alif Aiman Azhar, 15, yang maut selepas pemandu teksi di bawah pengaruh dadah, merempuh tiga motosikal di Jalan Pantai menghala ke Pasir Gudang, di sini, awal pagi tadi.
Mohamad Iqbal berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 1.45 pagi itu, turut mengorbankan rakan Mohamad Alif Aiman, Kamarul Fathullah Afiq Kamarul Hashim, 19, manakala seorang lagi rakan mereka, Mohamad Nur Hafizan Ahmad Raya, 17, yang patah kaki.
Katanya, Mohamad Alif Aiman pernah membantunya memotong kain kafan untuk digunakan bagi kursus pengurusan jenazah yang dikendalikan bapanya baru-baru ini.
"Bapa saya sudah 25 tahun menguruskan jenazah. Baru-baru ini arwah bantu kami memotong kain kafan. Tidak sangka kain yang dipotong olehnya itulah digunakan untuk mengkafankan jenazah arwah," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Mohamad Iqbal berkata, Allahyarham Alif Aiman yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang itu, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dirempuh sebuah teksi dalam kemalangan itu.
MOHAMAD Iqbal (kiri) bersama ayah Allahyarham Alif Aiman, Azhar Mohd Yusof, 45, melihat kain kafan yang dipotong Allahyarham untuk digunakan mengkafannya. - Foto Nurul Amanina Suhaini
Sementara itu, Kamarul Fathullah Afiq yang meninggal dunia ketika menerima dalam rawatan kecemasan di Hospital Sultan Ismail (HSI), sepatutnya menamatkan zaman bujang dalam majlis perkahwinan beramai-ramai yang dijadualkan pada 17 Disember ini di Pasir Gudang.
Malah, kelmarin, Kamarul Fathullah Afiq sudah pergi ke Jabatan Agama bagi menguruskan hal pernikahannya, selain sudah menjalani kursus pernikahan.
Menurut tunangnya, Farzana Aflah Aliman, 19, mereka berkenalan sejak setahun lalu, dan sebelum kejadian beliau dihantar arwah selepas bekerja pada jam 10 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, mengesahkan penahanan pemandu teksi berusia 38 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu.
Katanya, pemandu teksi berkenaan ditahan bagi membantu siasatan, selain ujian air kencingnya positif dadah jenis methamphetamine.
"Siasatan awal mendapati, pemandu teksi itu dari arah pusat bandar menghala ke Pasir Gudang, hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan, lalu melanggar tiga penunggang motosikal.
"Ketiga-tiga remaja itu dipercayai berhenti di bahu jalan terbabit kerana membaiki motosikal seorang daripada mangsa yang rosak," katanya.
Shahurinain berkata, seorang lagi rakan mangsa berusia 17 tahun yang juga penunggang motosikal patah kaki dan masih menerima rawatan di hospital sama.
✍ Sumber Pautan : ☕ PenmerahPress
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2i3rMeY
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment