SELEPAS DISOKONG ZAHID, TERSEBAR PULA VIDEO ZAMIHAN ‘HENTAM’ NAJIB
SELEPAS Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan Zamihan Mat Zin pakar dan aset penting kerajaan dalam program pemulihan tahanan suspek militan, sebuah video pendakwah kontroversi itu mengkritik Perdana Menteri Najib Razak mula tersebar.
Dalam video itu, Zamihan mengkritik pentadbiran Najib “kurang cerdik” kerana memberikan tanah seluas 16 hektar kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.
Menurut Zamihan, kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi untuk melawan pengganas Daesh itu tidak realistik kerana negara itu sendirilah yang melahirkan Daesh.
Katanya, Malaysia tidak memerlukan Arab Saudi untuk memulihkan tahanan militan kerana agensi sedia ada dalam negara sudah mencukupi.
“Kita dah ada polis, dah ada Kementerian Dalam Negeri (KDN), dah ada Jabatan Penjara, dah ada institusi keselamatan yang lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Dah cukup dah. Kenapa kita nak bergantung kepada Saudi untuk counter Daesh? Saudi sendiri yang melahirkan Daesh,” soalnya, dalam rakaman video sepanjang 2 minit 27 saat yang disebarkan melalui akaun Facebook Sasaran Berita.
Video dalam durasi yang sama tersebar sebelumnya melalui akaun Youtube milik worldkuliah dan ditonton sebanyak 65,755 kali sejak dimuat naik pada 23 Oktober lepas.
Zamihan bertanya apakah kerana Malaysia “terhutang budi” kepada Arab Saudi melalui bantuan kewangan dan persefahaman mengenai kuota haji maka negara itu dipelawa membuka pusat keamanan global itu di negara ini dan diberi tanah seluas 16 hektar.
“Bagi saya tindakan PM ini bukan tindakan cerdik.
“Nak ambil tindakan kepada saya penjawat awam, silakan. Kita negara demokrasi,” kata Zamihan, yang juga terlibat dengan beberapa kontroversi baru-baru ini.
Semakan di YouTube mendapati video itu dirakamkan daripada ceramah di sebuah masjid di Ampang, Selangor dan dimuat naik di akaun Online Majlis Ilmu pada 11 Julai 2017.
Najib dalam satu majlis di Pekan pada 9 Julai mengumumkan bangunan kekal KSCIP bakal dibina di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya di atas tanah seluas 16 hektar.
Idea penubuhan KSCIP dibincangkan dalam lawatan Raja Salman ke Malaysia pada Februari 2017. Pusat itu beroperasi di pejabat sementara di Kuala Lumpur sejak akhir Mei lalu.
Zahid pada Khamis mempertahankan Zamihan ketika ramai mendesak supaya peranan pegawai agama itu dalam program pemulihan akidah ditamatkan susulan beberapa kontroversi melibatkannya.
“Ustaz Zamihan merupakan salah seorang pakar pemulihan ini. Mengikut rekod yang saya perolehi, kejayaan beliau untuk melakukan pemulihan akidah terhadap orang Islam yang lakukan keganasan atau melakukan keganasan berat ini cukup berjaya.
“Ertinya beliau adalah aset untuk memulihkan akidah, apatah lagi kembalikan kumpulan itu untuk ikut jalan yang benar dari segi agama,” katanya.
Dalam ceramah yang tersebar itu, Zamihan berkata Putrajaya seharusnya bertanya pandangan beliau berhubung isu melawan pengganas Daesh kerana pengalamannya dalam program memulihkan tahanan militan.
“Tuan-tuan tanya, siapa di Malaysia ni yang bertanggungjawab memulihkan pengganas? Panggil profesor mana, ustaz mana, penceramah mana.
“Zamihan je yang keluar penjara, masuk penjara berinteraksi dengan pengganas Daesh. Zamihan je berinteraksi dengan pengganas Sulu,” katanya.
“Cuba tanya pandangan kita sepatah. Cuba tanya pegawai polis Bukit Aman. Cuba tanya pegawai Jabatan Penjara. Cuba tanya pegawai KDN. Siapa yang memainkan peranan dalam counter terrorisme,” katanya.
Zamihan menambah “hakim-hakim di mahkamah” pun boleh jadi saksi tentang kepakarannya dalam bidang keganasan ini kerana beliau beberapa dipanggil sebagai saksi pakar di mahkamah.
“Bukan angkuh tuan-tuan. Kita bangga dengan Saudi, kita terima duit Saudi, kita akur kuota haji dengan Saudi, padahal Saudi ini penyumbang terbesar keganasan di rantau Teluk.
“Mereka sendiri tak boleh nak pulih tahanan Daesh di negara mereka, bagaimana mereka nak datang negara kita dan pulih tahanan Daesh?” tanya Zamihan.
Zamihan bulan lalu ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana ceramahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam yang didakwa menghina kaum lain serta kritikan terhadap Sultan Johor berhubung titah tuanku mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim saja.
Jabatan Agama Islam Selangor juga mengharamkan Zamihan daripada memberi ceramah di masjid dan surau negeri, manakala Majlis Agama Islam Selangor mengarahkan siasatan terhadap Zamihan kerana didakwa mengkritik institusi diraja semasa ceramahnya.
Sementara itu, beberapa pihak mempersoalkan penglibatan Zamihan dalam program pemulihan militan, dengan pandangan terbaru disuarakan oleh MCA.
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker berpendapat kerajaan tidak sepatutnya mempertahankan Zamihan Mat Zin sebaliknya memulihkan pegawai agama itu terlebih dahulu sebelum beliau diberikan peranan memulihkan orang lain.
Katanya, tindakan kerajaan melindungi Zamihan hanya akan makan diri kerana memberi peluang kepada pembangkang menuduh pegawai agama itu dilindungi oleh orang tertentu.
– http://ift.tt/2pAR1dR
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2yRAvvf
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment