Isu Van Jenazah: Jais Kesal Kemudahan Masjid Dieksploitasi
SHAH ALAM, 15 Feb – Baru-baru ini, isu penggunaan van jenazah bagi tujuan demonstrasi oleh Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendapat perhatian umum.
Hari ini pula, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tampil menjelaskan hasil siasatan keterlibatan beberapa van jenazah milik kariah dalam demonstrasi di hadapan Bangunan SUK semalam.
Menurut pegarah Jasi, Datuk Haris Kasim, siasatan awal mendapati wujud unsur memanipulasi dan mengambil kesempatan ke atas pengurusan van jenazah dalam demonstrasi itu.
“Jais dimaklumkan terdapat beberapa individu yang mendakwa dari gabungan NGO Selangor telah menghubungi masjid untuk menyewa van jenazah bagi tujuan lain.
“Antaranya untuk sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan.
Menjelaskan lebih lanjut, Haris berkata berdasarkan semakan ke atas van jenazah yang terlibat, pemilik van itu terbahagi kepada empat kategori.
“Pertama dimiliki dan diselia oleh pegawai dan jawatankuasa masjid kariah. Kedua, diselia secara swasta atau persendirian.
“Van itu juga dimiliki agensi Persekutuan yang disumbangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dan terakhir dimiliki Badan Khairat Kematian yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan tidak dikawal oleh masjid kariah,” katanya.
Justeru itu, Jais menyatakan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi kemudahan masjid bagi tujuan demonstrasi.
Katanya lagi, tindakan beberapa individu ini telah mencemarkan kemuliaan institusi masjid.
“Jais memohon kepada semua Ahli Jawatankuasa Masjid agar lebih berhati-hati pada masa depan dan menyemak terlebih dahulu program yang bakal dilaksanakan oleh mana-mana pihak melibatkan institusi masjid agar tidak disalahgunakan lagi,” katanya.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment