Mazda 6 2017 Tiba Di Malaysia – Dapat Tambahan Sistem G-Vectoring Control, Harga Meningkat RM6,553
Dalam senyap, pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz telah memperkenalkan Mazda 6 baru untuk pasaran 2017, dengan sedan tersebut diberikan peningkatan pada kelengkapan serta teknologi yang ada padanya. Harga juga meningkat sedikit berbanding sebelum ini.
RM6,558 ditambah kepada harga semua varian, menjadikan sedan 2.0 liter petrol pada RM170,407, sedan 2.5 liter petrol RM206,896, wagon 2.5 liter petrol Touring RM211,006 dan sedan 2.2 liter diesel RM215,264. Semua harga ini adalah untuk atas jalan, tanpa insurans, termasuk jaminan tiga tahun dan servis percuma tiga tahun.
Memandangkan Mazda 6 telah diberikan facelift beberapa tahun yang lepas, pembaharuan kali ini tidak melibatkan banyak peningkatan selain lampu penunjuk arah LED pada cermin sisi dan pilihan warna Machine Grey baru. Warna baru ini juga ada diperkenalkan pada SUV CX-9. Di dalam, model Mazda 6 2017 ini boleh dibezakan dengan roda stereng three-spoke yang lebih kurus, juga seperti CX-9.
Turut diperbaharui adalah Active Driving Display pada model 2.5 petrol dan 2.2 diesel – unit paparan head-up-display kenderaan ini kini menggunakan warna penuh dan mempunyai kecerahan, kontras serta definisi yang lebih, manakala tetapan sudut kecondongan, kecerahan dan muatannya boleh disimpan dalam memori bersama tetapan tempat duduk.
Pada panel meter, paparannya juga dipertingkat dengan unit skrin warna penuh, bersama grafik fungsi suhu dan kompas yang direka semula. Perubahan lain yang boleh dilihat adalah konsol atas yang mempunyai lampu LED.
Kelengkapan standard untuk model 2.0 liter asas adalah termasuk lampu utama dan lampu kabus halogen, rim 17 inci aloi, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin, lampu dan pengelap cermin automatik, tempat duduk dan kemasan kulit, pelarasan tempat duduk hadapan elektronik dengan simpanan memori pada bahagian pemandu, ciri pemalapan automatik pada cermin pandang belakang, kawalan suhu dua zon, sistem informasi dan hiburan MZD Connect, enam pembesar suara dan kamera undur.
Varian 2.5 liter petrol pula dilengkapi dengan lampu utama dan kabus LED, rim aloi 19 inci, bumbung suria, pedal penukar gear di stereng, head-up display, sistem penjanaan semula kuasa brek i-ELOOP dan sistem bunyi 11 pembesar suara Bose. Model diesel mendapat kelengkapan yang sama, cuma tiada i-ELOOP.
Enjin model ini juga dikemas kini, di mana bagi yang menggunakan transmisi automatik enam kelajuan SkyActiv-Drive, tindak balas pendikit dijadikan lebih linear, hasil peningkatan tork yang diperhalusi. Selain itu, sistem G-Vectoring Control turut diserap pada enjin Mazda 6 dan ini adalah satu sistem yang boleh mengawal tork enjin berdasarkan beban pada setiap roda, seterusnya meningkatkan rasa kawalan, stereng dan stabiliti.
Bagi yang menggunakan enjin diesel 2.2 liter SkyActiv-D pula, ia akan diperbaharui dengan High-Precision DE Boost Control, untuk menajamkan lagi tindak balas pendikit, serta penyerap di bahagian pin piston yang dinamakan sebagai Natural Sound Smoother. Turut diubah adalah pemasaan suntikan bahan api (Natural Sound Frequency Control) untuk mengurangkan ‘knocking’ dan gegaran enjin.
Selain daripada itu, enjin masih lagi sama. Enjin SKYACTIV-G empat silinder 2.0 liter petrol menghasilkan 153 hp pada 6,000 rpm dan 200 Nm tork pada 4,000 rpm, manakala varian 2.5 liter berkemampuan 185 hp pada 5,700 rpm dan 250 Nm pada 3,250 rpm. Bagi varian diesel yang menggunakan enjin twin-turbo pula, ia berkemampuan 173 hp pada 4,500 rpm dan 420 Nm tork pada 2,000 rpm. Kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan pula adalah standard untuk semua.
Harga yang dipaparkan pada laman web Mazda Malaysia masih lagi adalah harga model lama, bermaksud, model lama tersebut mungkin masih lagi dijual sebagai satu alternatif yang lebih murah. Perhatikan spesifikasi dan kelengkapan penuh semua Mazda 6 yang dijual di Malaysia di CarBase.my.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment