Nilai Autopass Di Sempadan Singapura Perlu Cukup Untuk RRC Bagi Elak Dikenakan Penalti Bermula 15 Feb
Menjelang Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) sebanyak S$6.40 yang bakal dikenakan pada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands bermula hari ini, pengguna dari Malaysia dinasihatkan untuk memastikan kad Autopass mereka sentiasa mempunyai jumlah yang mencukupi.
Menurut laporan Bernama, Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) akan mengenakan penalti lebih berat kepada pemandu kenderaan yang mengelak bayaran tol, fi serta caj. Tindakan LTA ini sebenarnya telah bermula pada 1 Ogos tahun lalu, yang mengenakan denda komposisi S$50 untuk pesalah kali pertama, manakala pesalah berulang perlu membayar S$100.
Pemandu kenderaan yang tidak mahu membayarnya akan didakwa di mahkamah serta berdepan dengan denda tidak lebih S$1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan untuk kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.
Menurut LTA ketika mengesahkan RRC ini pada 16 Januari lalu, caj berkenaan adalah sebagai timbal balik caj jalan raya Malaysia sebanyak RM20 yang dikenakan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Johor, berkuat kuasa 1 Nov 2016. Setakat ini, hanya teksi dengan nombor pendaftaran asing dikecualikan dari RRC berkenaan.
Bayaran RRC akan dikutip bersama-sama Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) semasa keluar di kedua-dua pusat pemeriksaan darat itu.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandang positif langkah yang diambil Singapura ini dan menggalakkan rakyat Malaysia yang memasuki Singapura agar menggunakan pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menyatakan Malaysia menghormati keputusan Singapura berhubung perkara tersebut, tetapi pihaknya akan terus berbincang dengan Singapura berhubung keputusan untuk mengenakan caj RRC berkenaan.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment