Pilkada: Pengundi Indonesia Keluar Memilih Gabenor, Ketua Daerah
JAKARTA: Warga Jakarta bakal menggunakan kuasa mereka di peti undi hari ini (Rabu, 15 Februari) yang menyaksikan gabenor kota itu berusaha mempertahankan kedudukannya dalam Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada – Pemilihan Kepala Daerah), ketika pengundi sedang dimomokkkan dengan sentimen menentangnya.
Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, yang masih dalam perbicaraan berkaitan dakwaan menghina al-Quran, berdepan dengan dua pencabar beragama Islam dalam perlumbaan menduduki jawatan nombor satu di bandar raya berpopulasi 10 juta tersebut.
Pilkada berlangsung di kira-kira 100 lokasi di seluruh Indonesia hari ini namun Jakarta menjadi tumpuan bukan sahaja kerana kontroversi Ahok, malah kerana kedudukan jawatan di ibu negara itu yang selalu menjadi penentu pentadbiran Indonesia keseluruhannya.
Ahok yang merupakan etnik Cina beragama Kristian telah mencetuskan protes daripada ratusan ribu umat Islam konservatif yang menyuarakan bantahan mereka di jalanan Jakarta sejak akhir tahun lalu, bertitik-tolak darpada dakwaan bahawa Ahok memperlekeh ayat al-Quran dalam siri kempen politiknya.
Ahok pula menyifatkan kesnya yang dibawa ke mahkamah itu bermotif politik.
Walaupun Ahok tidak dihalang daripada bertanding dalam Pilkada kali ini, namun tinjauan umum menunjukkan impak apabila kepercayaan terhadapnya berkurangan.
Hal tersebut sekali gus menguji sama ada warga Indonesia, di Jakarta khasnya, masih mendukung konsep pluralisme dan kesederhanaan dalam Islam.
“Terdapat pertembungan antara golongan yang mempromosi toleransi dan yang menentangnya,” ujar pengarah kumpulan hak asasi Institut Setara, Ismail Hasani, kepada AFP.
Pengundian dibuka bermula jam 7 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) dan ditutup pada jam 1 tengah hari (2 petang waktu Malaysia).
Kiraan undi awal yang dikeluarkan pada sebelah petang akan mengukur prestasi calon-calon, walaupun keputusan muktamad hanya akan diumumkan pada pertengahan Mac. Proses selanjutnya tentang pelantikan gabenor tersebut bakal diteruskan pada April.
Setakat ini, ketegangan melibatkan topik agama dan etnik sudah memenuhi platform media sosial, termasuk berita palsu yang sengaja disebar dan disasarkan untuk mempengaruhi pemilihan.
Pihak berkuasa pula telah menempatkan 27,000 anggota keselamatan di Jakarta sepanjang proses Pilkada berlangsung.
Calon-calon yang mencabar Ahok ialah Agus Yudhoyono, iaitu anak kepada bekas presiden Indonesia, serta bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment