Tajaan CIMB Suntik Semangat Azizulhasni, Fatehah
TENGKU Datuk Seri Zafrul Aziz (kiri) bersama Azizulhasni Awang (dua dari kiri), Fatehah Mustapa, Siti Nur Alia Mansor (dua dari kanan) dan Muhammad Khalid Nasiruddin (kanan) pada majlis pengumuman pembentukan CIMB Pro Cycling Team di Menara CIMB, KL Sentral. – Foto Owee Ah Chun
KUALA LUMPUR: Teka-teki penaja utama bagi dua pelumba trek sensasi negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa akhirnya terjawab dengan pengumuman pembentukan CIMB Pro-Cycling Team yang akan membantu merealisasikan impian mereka menggegar Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Selepas lapan tahun bersama Yayasan Sime Darby, Azizulhasni dan Fatehah kini bersama Kumpulan CIMB bagi tempoh penajaan selama empat tahun bersama-sama ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley.
Pasukan itu turut disertai dua pelumba muda berbakat dari Terengganu – Siti Nur Alia Mansor yang berusia 16 tahun dan Muhammad Khalid Nasiruddin berumur 18 tahun.
“CIMB sering memberi penekanan dalam melahirkan bakat atlet di seluruh Asia Tenggara, menerusi pelbagai program skuasy, golf, bola sepak dan paralimpik.
Malah populariti berbasikal yang semakin meningkat di seluruh dunia mendorong CIMB menyertai sukan ini dengan harapan melahirkan juara.
Jadi kami menyediakan landasan bagi bakat ini memenuhi potensi yang ada,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz pada majlis pengumuman CIMB Pro-Cycling Team di sini hari ini.
Zafrul bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah penajaan sebenar namun mengatakan sokongan yang diberikan termasuklah daripada segi kewangan bagi memenuhi keperluan pasukan dalam menghadapi persiapan dan pertandingan menjelang temasya berprestij itu.
Azizulhasni yang masih segar dengan kejayaan memenangi pingat emas dalam acara pecut di Kejohanan Asia di New Delhi minggu lalu berkata, dia mengharapkan penajaan itu akan membantu mereka dalam mengharumkan lagi nama negara di mata dunia.
“Selepas memenangi gangsa di Olimpik Rio, kami mengadakan perbincangan dengan CIMB di mana kami mempunyai perancangan berbeza untuk ke Tokyo.
“Kami mahu menjadi lebih bagus dalam perjalanan selepas ini dan pastinya empat tahun akan datang lebih berbeza,” katanya yang akan pulang ke Melbourne Ahad ini.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
v>v>
Post a Comment