Kejuaraan hoki MHL-TNB milik KLHC
PEMAIN THT, Tengku Ahmad Tajuddin (kiri) dan pemain KLHC, Syamim Yusof pada perlawanan Liga Premier TNB/MHL 2017 di Stadium Hoki Pantai. – Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Pasukan KLHC menamatkan penantian selama tiga tahun untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Hoki Malaysia TNB (MHL-TNB) selepas menumbangkan juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-2 dalam aksi terakhir liga, malam tadi
Stadium Hoki Pantai, di sini, menjadi saksi kejuaraan kesembilan liga diraih oleh KLHC itu sejak membuat penampilan pertama pada 2006 yang ketika itu dikenali sebagai Ernst & Young.
Penyerang import dari Jerman, Anton Poul Fritz Ebeling muncul wira pasukannya apabila jaringan minit akhir memastikan pasukannya itu mengutip mata penuh. Dia bijak membaca pukulan sudut penalti yang diambil Razie Rahim untuk gol kemenangan.
PEMAIN THT, Fitri Saari (kiri) melepaskan pukulan yang cuba dihalang 2 pemain KLHC, Razie Rahim dan Izad Hakimi (kanan) pada perlawanan Liga Premier TNB/MHL 2017 di Stadium Hoki Pantai. – Foto Osman Adnan
Tiga mata berharga itu sekali gus membantu mereka menamatkan saingan liga di kedudukan teratas dengan himpunan 36 mata, mengatasi THT dengan kelebihan tiga mata.
Penguasaan KLHC yang cuba merampas semula trofi begitu terserlah tatkala berdepan jaguh Pantai Timur itu yang pincang akibat masalah kecederaan hamstring penyerang sensasinya, Faizal Saari yang diturunkan walaupun tidak cergas sepenuhnya.
Malah, kelibat penyerang kebangsaan itu tampak sedikit tenggelam pada aksi terbabit dengan dia yang sudah meledak lapan gol dalam kempen ini kelihatan berhati-hati dan masih tercari rentak selepas sudah tidak beraksi tiga perlawanan.
Jurulatih KLHC, Harun Al Rashid Samri berkata kemenangan itu cukup manis selepas terlepas peluang terbaik memenangi tiga piala – Liga Perdana, Piala Tan Sri P Alagendra dan Piala TNB – pada musim lalu.
Turun dengan misi wajib mencari kemenangan, KLHC ternyata berbahaya apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi jaringan padang bekas pelatih skuad kebangsaan, Dedy Ariyadi Jumaidi.
Bagaimanapun, THT hanya memerlukan dua minit untuk kembali menyamakan kedudukan menerusi pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun untuk gol peribadi ke-23 pada musim ini sebelum jaringan kemenangan KLHC oleh Nabil Fiqri Mohd Noor hadir pada minit ke-43.
Nabil Fiqri bagaimanapun kembali meletakkan juara lapan kali itu kembali di ambang kemenangan dengan gol padang ketika permainan suku ketiga berbaki dua minit sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Ab Jalil muncul wira apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-51.
Tetapi Enebling melenyapkan impian THT untuk mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut dengan jaringan kemenangannya sebelum wisel penamat dibunyikan.
Kali terakhir skuad yang dimiliki George Koshy yang juga Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu menjulang gelaran liga adalah pada kempen 2013.
Bagaimanapun, THT masih berpeluang melunaskan semula dendam itu pada saingan Piala TNB yang menyaksikan empat kelab terbaik MHL-TNB 2017 iaitu KLHC, THT, UniKL dan TNB akan berentap secara timbal balik di pentas separuh akhir pada Rabu dan Jumaat ini.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2kW9WcY✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment