Adenan akan pilih calon Serembu, Bukit Semuja
Oleh Agnes Tugong//
BAU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan memilih sendiri calon ‘Team Adenan’ yang akan bertanding di kerusi Serembu dan Bukit Semuja.
Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Skio dekat sini semalam, Adenan berkata buat masa ini beliau belum menentukan calon bagi kedua-dua kerusi baharu itu.
Namun katanya, beliau pasti akan memilih individu yang terbaik bagi mewakili rakyat yang majoritinya Bidayuh di Serembu dan Bukit Semuja.
“Saya menghargai keputusan anda di Serembu dan Bukit Semuja yang menyerahkan kepada saya sendiri untuk memilih calon pertama di dua kerusi ini memandangkan saya adalah individu yang bertanggungjawab ke atas pengwujudan kerusi ini.
“Saya minta maaf saya tidak dapat menentukan calon Serembu dan Bukit Semuja pada masa ini tetapi saya pasti akan menghantar individu terbaik untuk anda di dua kerusi ini,”ujarnya.
Pada majlis itu Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak turut menggesa rakyat dan pengundi khasnya terus memberi mandat besar kepada beliau untuk terus memimpin Sarawak bagi tempoh lima tahun lagi.
“Saya tidak dapat melakukannya seorang diri tetapi saya percaya jika kita bekerja sebagai satu pasukan ‘Team Adenan’ yang kuat kita pasti boleh,” ujar Adenan di hadapan kira-kira 4,000 rakyat dan penyokong BN yang hadir di majlis itu.
Adenan turut mengingatkan pengundi di Serembu dan Bukit Semuja supaya menolak parti luar seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang cuba memancing undi mereka.
“Saya mahu anda semua ingat bahawa PKR adalah parti yang membantah pengwujudan Serembu dan Bukit Semuja sehingga membawanya ke mahkamah.
“Seperkara lagi DAP adalah pihak yang membantah peruntukan RM1 billion bagi pembangunan luar bandar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) jangan undi PKR mahupun DAP kerana mereka tidak mahu Serembu dan Bukit Semuja serta pembangunan luar bandar,” ujarnya.
Kerusi Serembu dan Bukit Semuja merupakan dua daripada 11 kerusi baharu yang menjadikan keseluruhan 82 kerusi akan dipertandingkan pada PRN11.
Turut hadir pada majlis itu semalam Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri James Dawos Mamit serta pemimpin-pemimpin Bidayuh yang lain.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1S6PDZc
Post a Comment