Memukat di lubuk buaya, sisa tubuh mangsa belum ditemui
MIRI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika memukat di Sungai Nakat/ Sungai Nabor, Bakong disambung semula semalam.
Radius pencarian pada operasi masuk hari ketiga itu turut diperluas sehingga meliputi kawasan sejauh satu hingga dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Baram, Deputi Superintenden Polis (DSP) Gabriel Risut berkata belum ada sebarang penemuan baharu ditemui oleh pasukan SAR setakat ini.
“Setakat ini, pasukan SAR belum menemui sebarang penemuan baharu (sisa badan mangsa) berhubung kes ini selain paha dan kaki kiri serta kepala mangsa yang ditemui masing-masing pada petang 5 dan 6 April lalu.
“Justeru kawasan pencarian turut diperluaskan untuk mencari sisa badan mangsa yang dipercayai dibaham buaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Richard Shuntine Tambi, 56, dari Rumah Bily, Bukit Song keluar rumah sekitar jam 7 pagi, 27 Mac lalu untuk pergi memukat seorang diri di Sungai Nakat/Sungai Nabor, Bakong.
Setelah mendapati mangsa tidak pulang ke rumah lebih seminggu, satu laporan polis dibuat oleh menantunya di Balai Polis Beluru, Bakong pada 5 April lalu.
Berikutan itu, pihak polis dibantu beberapa agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Marudi, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA telah melancarkan SAR.
Pada hari pertama operasi (5 April), pasukan SAR telah dimaklum penduduk kampung yang ikut serta mencari mangsa berhubung penemuan kaki dan paha kiri mangsa di sebuah kawasan semak terletak sejauh 12 kilometer dari lokasi mangsa memukat.
Manakala sebahagian kepala mangsa ditemui terapung di Sungai Nakat/Sungai Nabor pada jam 3.15 petang, 6 April lalu oleh pasukan SAR iaitu pada jarak 13 kilometer dari lokasi mangsa memukat.
Kepala dan kaki terbabit terdapat kesan gigitan reptilia ganas dipercayai buaya telah dihantar ke Hospital Miri bagi pemeriksaan dan disah menantunya sebagai milik mangsa.
Selain beberapa anggota badan mangsa, pasukan SAR turut menjumpai beberapa barangan milik mangsa seperti motosikal, raga, kasut dan baju di sebuah lokasi dijadikan tempat rehat mangsa.
Difahamkan, sudah menjadi kebiasaan mangsa keluar menangkap ikan beberapa hari sebelum pulang membawa hasil tangkapan manakala kawasan mangsa memukat sebelum dilapor hilang dipercayai lubuk buaya.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1S6PGnB
Post a Comment