Hi! Welcome Back and Stay Tune! ‘Karam di darat’ - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

‘Karam di darat’

Oleh Watt Zacchaeus//

RANAP: Inilah Rumah Anthony yang musnah dijilat api pada malam kelmarin.

RANAP: Inilah Rumah Anthony yang musnah dijilat api pada malam kelmarin.

KANOWIT: Hasrat penduduk Rumah Anthony Ajut di Nanga Nirok, Sungai Ngemah di sini meraikan upacara ‘mangkong tiang’ iaitu majlis kesyukuran rumah panjang baharu siap dibaik pulih pada Hari Gawai Dayak Jun depan berkecai selepas ia musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Rumah panjang tersebut yang didirikan sejak 10 tahun lalu tidak pernah mengadakan upacara berkenaan sejak ia siap, namun penghuni bercadang mengadakannya pada Jun depan.

Kerja baik pulih baharu siap awal tahun ini selepas bahagian ruainya dipasang dengan lantai jubin.

Seramai 78 penduduk tinggal di 10 pintu rumah panjang itu kini tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka ranap dimamah api dalam tempoh hanya satu jam.

Tuai Rumah Anthony berkata, dalam kejadian itu hanya seorang penduduk sedikit melecur ketika berusaha menyelamatkan diri.

“Semua barang habis dan tidak dapat diselamat lagi. Rumah panjang kami baharu siap dipasang lantai jubin serta kerja baik pulih lain, kini musnah dengan sekelip mata sahaja.

“Ia umpama pepatah Iban ‘karam di darat.’ Semasa kejadian kira-kira jam 7.45 malam, semua penduduk termasuk saya sendiri berada di rumah.

“Pada Jun depan, kami bercadang hendak meraikan upacara ‘mangkong tiang.’ Namun semuanya tiada lagi,” ujarnya dengan nada sebak kepada Utusan Borneo, semalam.

 

 

Sehubungan itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kanowit Arrahman Chik berkata, balainya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.17 malam daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent yang memaklumkan kejadian terbabit.

Menurutnya, pihak Bomba Kanowit tidak dapat menghantar anggotanya ke tempat kejadian kerana kedudukan rumah panjang tersebut terletak jauh di pedalaman.

“Perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa dua jam perjalanan dari pekan Kanowit menggunakan pacuan empat roda dan disambung dengan perahu panjang.

“Kami semasa kejadian ada menghubungi Tuai Rumah Anthony bagi memberikan arahan keselamatan secara lisan untuk panduan mereka,” katanya lagi.

Arrahman serta tiga anggotanya turut bergegas ke tempat kejadian semalam bagi menjalankan siasatan.

Mangsa kini tinggal sementara di Rumah Bangau Aji yang terletak bersebelahan dengan rumah mereka.

Sementara itu, Alexander serta isterinya Susan Clement turut bergegas ke tempat kejadian semalam bagi menyampaikan bantuan awal kepada mangsa.

Kedatangan Alexander dan Susan tidak dengan tangan kosong apabila beliau menghulurkan bantuan awal wang tunai sebanyak RM30,000 iaitu RM3,000 sepintu kepada mangsa.

Beliau dan Susan turut meluangkan masa kira-kira dua jam melawat tapak kejadian serta mententeramkan mangsa.

“Saya mendapat tahu berita ini malam tadi (malam kelmarin) daripada seorang kenalan pada jam 8 malam.

“Saya sangat bersedih lebih-lebih lagi rumah panjang ini turut menjemput saya untuk menyempurnakan upacara ‘mangkong tiang’ pada Jun depan namun ia tidak kesampaian.

“Saya akan sedaya upaya membantu penduduk terbabit untuk meringankan beban. Saya akan membantu anda merata tapak mendirikan rumah panjang baharu kelak yang terletak di seberang tapak ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mangsa agar tidak terlalu susah hati dan bersedih mengenang apa yang telah berlaku kerana ia adalah satu dugaan.

“Kerajaan akan sentiasa membantu anda dan jangan risau. Saya amat mengambil berat tentang masalah menimpa anda semua. Bantuan awal saya hulur wang tunai untuk setiap bilik terlibat,” jelasnya.

Alexander turut memohon kepada jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta yang lain tampil membantu dalam usaha meringankan lagi beban mangsa.

Sehingga berita ini ditulis petang semalam, nilai kerugian masih belum dapat dipastikan dan kes masih dalam siasatan.

Antara agensi yang telah berada di tempat kejadian adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat KEMAS Daerah Kanowit, kakitangan Klinik Desa Nanga Ngungun, kakitangan Pejabat Daerah Kanowit, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota RELA.

 

 

 



Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1S6PEw4

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.