Khaled Nordin aset UMNO
Oleh Dr Mohd Izani Mohd Zain
Usaha menukar Menteri Besar Johor tidak akan memberi banyak manfaat kepada UMNO kerana apa yang sewajarnya menjadi keutamaan kepada UMNO ialah memperkukuh kekuatan parti dan mendengar suara akar umbi. Pertembungan elit politik dalam UMNO tidak sepatutnya mengheret parti itu menimbulkan lebih banyak isu yang akhirnya boleh memecah belahkan dan melemahkan parti.
UMNO Johor adalah benteng kekuatan UMNO dan itu perlu dipertahankan. Manakalah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah aset UMNO. Beliau antara pemimpin UMNO yang rasional serta prihatin dengan lantang bercakap soal masa depan UMNO dan mengakui perlunya parti itu bijak merancang arus perubahan politik. Tahun lalu, beliau telah melancarkan badan pemikir, iaitu Bait Al Amanah yang dimiliki sepenuhnya oleh UMNO Johor sebagai sumber rujukan UMNO Johor meneroka dasar-dasar baharu, merekayasa dasar sedia ada dan menyusun strategik lebih berkesan dalam perjuangan UMNO. Penubuhan Bait Al Amanah ini satu langkah strategik dalam usaha menarik penyertaan kumpulan profesional dan muda untuk menyertai UMNO. Ini jelas membuktikan Khaled mempunyai visi dan misi untuk memperkukuh kedudukan UMNO dan bukan sebaliknya.
Setelah tiga tahun dilantik sebagai Menteri Besar Johor, Khaled Nordin telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membangunkan Johor sebagai negeri contoh yang mempunyai pelan pembangunan tersendiri. Ini boleh dilihat melalui gagasan Muafakat Johor, Johor Berkemajuan dan agenda pembangunan inklusif dalam memastikan pembangunan Johor benar-benar dirasai oleh rakyat. Pengalaman Khaled yang pernah menjawat Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi dan Menteri Pengajian Tinggi adalah kekuatan Khaled menerajui Johor. Pengalaman beliau dalam konteks keusahawanan dan pengajian tinggi sebelum ini menjadi asas dan kekuatan beliau untuk memimpin Johor.
Kekuatan UMNO tidak harus dipandang dalam soal politik dan kuasa semata-mata. Akan tetapi, melihat kepada peranan dan sumbangan kepada kesejahteraan rakyat. Bukankah kekuatan UMNO selama ini adalah baktinya kepada rakyat. Khaled adalah seorang ahli politik yang matang dan sentiasa mendahului rakyat dengan pelbagai dasar dan perancangan yang baik untuk rakyat Johor.
Khaled sentiasa memastikan hubungan yang baik antara Johor dan Kerajaan Persekutuan walaupun harus diakui terdapat cabaran dan pengaruh seperti kewujudan tokoh politik daripada Johor, iaitu mantan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan Johor pimpinan UMNO Johor dan Khaled khususnya sentiasa memberi platform kepada Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri untuk memastikan sokongan terhadap UMNO dan Najib sentiasa baik dan boleh diperkukuhkan. Kehadiran Najib ke Majlis Projek Pembangunan Forest City pada Mac yang lalu membuktikan Johor sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri sendiri.
Kesimpulannya, usaha menukar atau menggulingkan Menteri BesarJohor adalah tidak relevan dan membawa lebih banyak keburukan kepada UMNO dan rakyat. UMNO mesti mengekalkan pemimpin yang kurang politiking tetapi mempunyai pemikiran dan idea yang strategik untuk membangunkan negara. Lebih-lebih lagi, hubungan yang baik antara Khaled dan Sultan Johor tidak memungkinkan pertukaran Menteri Besar boleh menjadi kenyataan.
Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah profesor madya di Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM)
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1STXshD
Post a Comment