Operasi besar-besaran banteras penjualan loteri haram
KUCHING: Polis melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negeri untuk membanteras kegiatan penjualan loteri haram yang semakin berleluasa dan membimbangkan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata, pelbagai masalah timbul akibat kegiatan itu terutama berkaitan perbezaan bayaran hadiah yang ditawarkan.
Justeru, sehingga semalam, sebanyak 10 serbuan dilakukan dan 19 individu ditahan dengan mencatatkan nilai rampasan RM9,577 dalam beberapa operasi yang dijalankan di Bintulu, Kanowit, Padawan dan Bau.
“JSJ Sarawak melancarkan operasi membanteras kegiatan menjual nombor loteri haram di seluruh negeri, di mana semua anggota JSJ diarah untuk memeriksa mana-mana premis yang disyaki menjalankan kegiatan tersebut.
“Setakat hari ini (semalam) sebanyak 10 premis telah diserbu dan seramai 19 individu berusia lingkungan 17 hingga 66 tahun ditahan iaitu 14 di Bintulu, tiga di Bau serta seorang di Padawan dan Kanowit,” kata Dev.
Beliau dalam kenyataannya turut memberitahu, pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian itu dirampas seperti telefon bimbit dan mesin pencetak.
Mengulas mengenai operasi, Dev memberitahu ia dilancarkan sejak Selasa lalu selepas insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Medan Raya, Bintulu.
“Berdasarkan maklumat, pergaduhan itu dipercayai disebabkan perbezaan tawaran hadiah yang ditawarkan oleh kedua-dua kumpulan terbabit yang masing-masing menjalankan kegiatan menjual loteri haram.
“Susulan insiden terbabit, seramai lima individu ditahan untuk membantu siasatan dan operasi membanteras kegiatan itu dilancar serta-merta di daerah (Bintulu) tersebut,” katanya.
Tambahnya, antara premis yang diserbu di Bintulu ialah di Jalan Tanjung Batu, Jalan Tun Ahmad Zaidi, Jalan Pedada, Pusat Komersil Medan Jaya, Taman Sri Dagang dan Pusat Komersil Berjaya.
Operasi tersebut diketuai Inspektor Luqman Hakim dan Inspektor Khairul Nidzam di Bintulu, Inspektor Mohd Razif di Jalan Machan, Kanowit; ASP Lim Jaw Shyong di Olive Garden, Padawan dan Inspektor Lonie Butek di Bau.
“Kesemua kes tersebut disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelas Dev.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1S6PEfJ
Post a Comment