Animasi terunggul studio Hollywood
Hollywood tidak pernah kontang dengan penghasilan karya animasi. Sepanjang tahun pawagam selalu meriah dengan deretan animasi menarik dan beberapa daripadanya sudah menemui penonton seperti The Lego Batman Movie dan The Boss Baby.
Ada juga beberapa animasi dinanti-nantikan penonton, antaranya Despicable Me 3, Cars 3 dan The Lego Ninjago Movie.
Namun dari sudut sejarah, kita sudah lama menyaksikan ratusan animasi terbaik dan popular diterbitkan produksi besar seperti Walt Disney, Pixar dan DreamWorks. Berikut adalah 10 karya terunggul.
Moana (2016)
Filem animasi ke-56 terbitan Disney ini mengisahkan anak perempuan ketua puak etnik bernama Moana yang merantau mencari dewa legenda Maui demi menyelamatkan penduduk kampungnya.
Animasi ini diarahkan Ron Clements dan John Musker. Barisan pelakon yang meminjamkan suara mereka adalah Auli’i Cravalho sebagai Moana dan Dwayne Johnson, Rachel House, Temuera Morrison serta Nicole Scherzinger.
Ia menerima pujian hebat daripada pengkritik dan mendapat dua pencalonan Oscar ke-89 bagi kategori Animasi Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
Frozen (2013)
Frozen yang mengisahkan gadis memiliki kuasa membentuk ais mencetuskan fenomena luar biasa bukan saja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga dewasa.
Disebabkan itu, ia menjadi filem animasi kelima paling laris Disney di carta panggung box-office.
Memperoleh hasil jualan tiket lebih AS$1.22 bilion di seluruh dunia, animasi ini turut memenangi dua Oscar pada 2014 bagi kategori Animasi Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
Finding Nemo (2003)
Animasi ciptaan Pixar ini menjadi kegemaraan ramai kerana mengisahkan seekor ikan clown comel ditemani rakannya, Dory mencari anaknya bernama Nemo yang hilang.
Berikutan kejayaan animasi itu, Pixar mengeluarkan sekuel Finding Dory tahun lalu apabila kali ini Dory yang mengalami masalah hilang ingatan berusaha menjejaki pula keluarganya.
Suara watak dalam animasi ini disempurnakan pelakon Albert Brooks, Ellen DeGeneres, Willem Dafoe, Allison Janney, Stephen Root, Geoffrey Rush dan Eric Bana.
Pada 2008, Institusi Perfileman Amerika Syarikat mengangkat Finding Nemo sebagai animasi ke-10 terbaik.
Shrek (2001)
Animasi terbitan DreamWorks ini mencapai kejayaan besar kerana memaparkan lagu hit nyanyian artis popular seperti Smashing Pumpkins dan The Proclaimers.
Walaupun ia memberi fantasi kepada penonton muda, animasi ini dianggap sebagai filem parodi dengan kebanyakan babaknya menjadikan karya Disney sebagai bahan jenaka.
Berikutan pencapaian cemerlang animasi ini, ia turut dibantu dua rangkaian makanan segera besar untuk melariskan jualan DVD.
Shrek memenangi Animasi Terbaik Oscar dan enam lagi pencalonan di British Academy of Film and Television Arts (BAFTA).
Mulan (1998)
Ia menceritakan gadis berani bernama Mulan yang menyamar sebagai lelaki dan menyertai tentera China bagi membolehkan bapanya bersara daripada tugas serta menewaskan puak Hun.
Barisan pelakon suara adalah Rita Hsiao, Philip LaZebnik, Chris Sanders, Eugenia Bostwick-Singer dan Raymond Singer.
Menerima komen positif dan pujian terhadap paparan budaya, Mulan memenangi beberapa Anugerah Annie termasuk Animasi Terbaik.
Toy Story (1995)
Walaupun hanya Toy Story 3 dicalonkan bagi kategori Filem Terbaik Oscar pada 2010, Toy Story pertama inilah yang melonjakkan kejayaan Pixar dalam dunia animasi.
Ia menghadiahkan kisah persahabatan antara mainan koboi bernama Woody dan angkasawan Buzz Lightyear.
Susulan itu, Pixar menghasilkan tiga lagi animasi Toy Story dengan setiap satunya memaparkan pengembaraan menarik.
Animasi ini menyelitkan mesej mainan lama akan dihargai semula apabila pemiliknya melihat individu lain bermain dengan mereka.
The Lion King (1994)
Pembaca yang membesar tahun 1990-an pasti terharu mengingati animasi terunggul ini yang begitu sedih dan menghiburkan.
Jalan cerita animasi ini berdasarkan puisi sentuhan William Shakespeare dalam mengetengahkan kisah keluarga singa di hutan Afrika.
The Lion King menjadi filem kedua paling laris sepanjang zaman dan menerima dua Oscar serta Golden Globe.
Pada 2016, animasi ini terpilih untuk ditempatkan di United States National Film Registry.
Aladdin (1992)
Animasi ini memaparkan cerita seorang pemuda Timur Tengah yang ditemani jin, berjaya memikat hati seorang puteri.
Jalan ceritanya digarap daripada Hikayat 1,001 Malam dan animasi ini berjaya mencapai jualan tiket lebih AS$504 juta di seluruh dunia, sekali gus disenaraikan sebagai filem paling laris pada 1992.
Aladdin turut memenangi beberapa Oscar, Anugerah Golden Globe, Anugerah Annie serta Anugerah MTV.
Susulan itu, animasi ini diangkat ke permainan kanak-kanak, permainan video dan pentas Broadway pada 2014.
Beauty and the Beast (1991)
Bagi pembaca yang belum berpeluang menonton filem kontroversi Beauty and the Beast, anda boleh menyaksikan dulu animasi ini yang tidak kurang hebatnya berlatarkan lagu Celine Dion.
Malah, karya terbitan Disney ini menjadi animasi pertama yang dicalonkan sebagai Filem Terbaik Oscar dan dinobatkan sebagai Filem Muzikal/ Komedi Terbaik Anugerah Golden Globe.
Pada 1994, Beauty and the Beast menjadi animasi pertama Disney yang diangkat ke pentas muzikal Broadway dan turut dimasukkan dalam senarai National Film Registry sebagai karya yang perlu dipelihara.
Snow White and the Seven Dwarfs (1937)
Ia mengenai seorang gadis bernama Snow White dan tujuh rakan kerdilnya yang berdepan ahli sihir yang jahat.
Namun, sebenarnya kisah Snow White ini berdasarkan cerita dongeng masyarakat Jerman karya adik-beradik Grimm.
Pada 2008, animasi ini diiktiraf sebagai animasi keluaran Amerika Syarikat paling hebat sepanjang zaman dan tersenarai sebagai antara 100 filem terbaik Hollywood.
The post Animasi terunggul studio Hollywood appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://bit.ly/2o31yNy✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment