Pelajar Sesat Di Hutan Lipur Gunung Panti Kerana Silap Ambil Laluan
KOTA TINGGI: Empat pelajar Giat Mara, Pasir Gudang yang dijumpai selamat selepas sesat hampir 20 jam sejak petang semalam di kawasan Hutan Lipur Gunung Panti, Kota Tinggi, mendakwa mereka sesat selepas tersilap mengambil laluan dan sebaliknya mengikuti laluan motosikal scrambler.
Muhammad Nazhan Azhar, 19, berkata mereka pada mulanya bercadang untuk mendaki puncak Gunung Panti dengan tujuan untuk mengambil gambar bagi kursus fotografi, selepas mendapat cadangan daripada rakan-rakan mereka yang sebelum ini pernah mendaki di kawasan itu.
“Kawan-kawan kami yang pernah mendaki gunung itu memberitahu kami untuk sampai ke puncak hanyalah sejam. Oleh sebab itu, kami berempat mendaki hanya membawa bekalan botol air setiap seorang.
“Setelah menyedari telah sesat, kami telah mengambil keputusan untuk mengikuti arus sungai sehingga kami menemukan sebuah jambatan dan bermalam di situ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diselamatkan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sini hari ini.
Menurut Muhammad Nazhan lagi, mereka telah memulakan perjalanan mendaki kira-kira pukul 9 pagi semalam.
“Bila sudah sesat, kami cuba mendapatkan bantuan daripada pihak polis tetapi telefon bimbit kami tidak ada isyarat,” katanya.
Muhammad Nazhan berkata mereka kemudiannya tidur di atas jambatan yang merupakan laluan kepada kawasan pembalakan yang lama dan hanya minum air sungai.
“Rasa menyesal itu memang ada kerana tidak membuat kajian tentang kawasan gunung ini terlebih dahulu,” jelasnya.
Bagi Muhamad Firdaus Zainal, 18, pula rasa tidak sedap hati sejak awal dan rasa itu kemudiannya menjadi kenyataan apabila laluan yang diikuti mereka seolah-olah hilang dari pandangan mata.
“Masa berjalan memang saya sudah mula rasa tidak sedap hati tetapi kawan-kawan lain tetap teruskan perjalanan sehingga sampai pada satu tempat di atas tiba-tiba laluan yang kami ikut hilang.
Kami tidak dapat menentukan lokasi kami dan kemudian mengambil keputusan untuk berpatah balik dengan harapan untuk menemui jalan untuk kembali tetapi sesat,” katanya.
Menurutnya lagi, aktiviti mendaki ini bukan satu perkara yang asing baginya kerana sering melakukan aktiviti seperti ini.
Sementara itu, Muhammad Zariqh Iedeed Mustafa, 20, turut berkongsi pengalamannya ketika terpaksa tidur bergilir-gilir bersama rakan-rakan yang lain untuk menjaga keselamatan mereka di tengah-tengah hutan dan dalam keadaan yang gelap.
“Masa malam memang ada dengar banyak bunyi binatang, macam-macam bunyi yang kami dengar. Nampak pun ada juga cuma nampak macam bayang-bayang besar berjalan-jalan dan nampak benda-benda terbang tetapi kami tidak endahkan sahaja,” dakwanya.
Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan yang selamat pada pukul 11.55 pagi tadi oleh anggota SAR kira-kira 700 meter daripada lokasi pos kawalan sementara SAR. — Bernama
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://bit.ly/2nq1nb9✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment