10 Pejabat Tourism Ditutup, 4 Kekal Pejabat Wilayah
Spread the love
KUALA LUMPUR – Hanya 10 pejabat Tourism Malaysia negeri yang ditutup manakala empat lagi dikekalkan sebagai pejabat wilayah, demikian menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Menurut jawapan bertulis kementerian itu di Parlimen hari ini, pejabat yang dikekalkan ialah pejabat Wilayah Tengah di Kuala Lumpur (meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan), pejabat Wilayah Utara di Pulau Pinang (meliputi Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis), pejabat Wilayah Selatan di Johor (meliputi Johor dan Melaka) dan pejabat Wilayah Pantai Timur di Pahang (meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu)
Bagi Sabah dan Sarawak, kedua-dua Pusat Penerangan Pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Kuching akan diperkasakan dan bertindak sebagai ‘mini Tourism Malaysia’.
Tourism Malaysia akan mengekalkan Pusat Penerangan Pelancongan di negeri-negeri seperti sedia ada untuk memudahkan penyebaran maklumat kepada pelancong.
Jawapan bertulis itu merujuk soalan lisan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang meminta penjelasan kementerian berhubung penyelarasan semula tugas dan fungsi berkaitan pelancongan, khususnya yang dipertanggungjawabkan kepada Tourism Malaysia setelah pejabat Tourism negeri di seluruh negara diarah tutup baru-baru ini.
Kementerian itu menjelaskan fungsi pejabat wilayah Tourism Malaysia termasuk menguruskan kesemua Pusat Penerangan Pelancongan di setiap negeri serta bertindak sebagai sudut rujukan dan nasihat untuk penggiat industri pelancongan seperti hotel, agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan persatuan pelancongan dalam kempen promosi pelancongan.
Pejabat itu akan membantu segala inisiatif kajian berkaitan pelancongan yang dibuat oleh Tourism Malaysia dan kementerian serta mengemas kini inventori produk pelancongan di setiap negeri agar dapat diwujudkan pakej-pakej dan dipromosikan.
Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan menutup semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini. – BERNAMA
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment