8 bintang filem klasik di zaman kegemilangan filem Melayu yang dikenang
Zaman kegemilangan filem klasik Melayu dikatakan bermula sekitar tahun 1930an samai 1960an melalui peranan yang cukup besar oleh Malay Film Productions (MFP) dan Cathay-Keris Film Production. Filem Melayu pertama yang dihasilkan adalah Lailai Majnun pada 1933.
Tapi perkembangan filem Melayu mula jatuh bila MFP ditutup pada tahun 1967 tanpa alasan yang kukuh. Semenjak itu, ramai di kalangan bintang-bintang filem Melayu mula dalan keadaan tak berapa stabil. Ada yang menganggur, ada yang mulakan kareer baru dan sebagainya.
Baru-baru ni kita jugak kehilangan seorang lagenda perfileman tanah air, Tan Sri Jins Shamsudin. Oleh itu, kali ni SOSCILI akan membuka kembali lembaran sejarah mengenai bintang-bintang filem Melayu klasik yang semakin dilupakan.
1. Jamil Sulong – asalnya nak jadi pelakon, tapi akhirnya jadi pengarah
Dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat Johor pada 6 Ogos 1926, Jamil Sulong dapat pendidikan dalam 3 aliran iaitu Melayu, agama dan Inggeris. Sejak masih belajar lagi dia dah terlibat dalam bidang penulisan cerpen, sajak, rencana, novel, malah melukis. Jamil mula minat dalam bidang lakonan bila dia nampak iklan MFP kat akhbar Utusan Melayu.
Dia pun pergi audition, tapi gagal. Sebaliknya, dia ditawarkan pulak jawatan penolong pengarah dan filem pertama yang dia ditugaskan adalah untuk filem Jiwa Lara (1952). Masa jadi penolong pengarah dia jugak ada berlakon tapi watak tambahan je. Lepas tu, Jamil dah tak berlakon lagi dan mula masuk terus dalam dunia pengarahan pada 1959.
Filem pertama arahannya adalah filem Batu Belah Batu Bertangkup (1959) yang berjaya jadi box office. Bila MFP tutup pada 1967, Jamil balik ke Malaysia dan berkerja dengan Merdeka Film Production. Sepanjang kareernya, Jamil dah pengarah lebih dari 20 buah filem. Dia jugak terima gelaran ‘Datuk’ pada 2001. Pada 25 September 2014, Jamil meninggal dunia pada usia 88 tahun.
2. Bat Latif – dapat nama dari A.R Tompel
Mesti ramai di antara kita yang terkenang dengan watak Belalang dalam filem arahan P. Ramlee, Nujum Pak Belalang (1959). Nama sebenar pelakon kanak-kanak tu adalah Mohd Ali bin Abd Latif, atau Bat Latif yang dilahirkan di Singapura pada 11 Jun 1951. Dia jugak adalah anak saudara kepada Seniwati Saadiah.
Hampir setiap hari Bat Latif akan pergi ke studio MFP untuk temankan Saadiah, di mana dia jugak selalunya jadi orang yang bawak beg mekap Saadiah. Disebabkan dia agak nakal, A.R Tompel bagi gelaran ‘Jebat’ kepadanya. Daripada ‘Jebat’ tu disingkatkan jadi ‘Bat’, maka jadilah Bat Latif. Disebabkan dia selalu ada kat studio MFP, akhirnya Bat Latif ditawarkan berlakon dalam filem arahan pertama Jamil Sulong, Batu Belah Batu Bertangkup (1959).
Lepas tu, P. Ramlee pulak tawarkan watak kepadanya dalam filem Nujum Pak Belalang. Bat Latif seterusnya masih lagi berlakon dalam beberapa buah filem. Tapi lepas MFP ditutup, sama macam artis-artis yang lain, dia berhijrah ke Kuala Lumpur.
Bila di KL, Bat Latif dah tak berlakonan lagi tapi mula fokus dalam bidang tarian. Penari-penarinya selalu muncul sebagai penari latar kat RTM. Pada 3 Mei 2005, Bat Latif meninggal dunia akibat masalah kesihatan yang kronik.
3. Normadiah – tak dapat kerakyatan Malaysia hingga ke akhir hayatnya
Siapa pernah tengok filem Bujang Lapok mesti akan kenal dengan watak Cik Normah, tuan rumah tempat P. Ramlee, Aziz dan Sudin menyewa. Itulah watak yang dilakonkan oleh Seniwati Normadiah atau nama asalnya Edith Sumampo yang dilahirkan di Menando, Sulawesi, Indonesia pada 14 Ogos 1933. Namanya ditukar kepada Normadiah apabila dia masuk Islam masa umurnya 18 tahun, sebelum itu Normadian beragama Kristian.
Pada mulanya dia terlibat dalam pementasan bangsawan (teater) yang membuatkannya menjelajah ke Singapura dan Tanah Melayu. Bila persembahan bangsawan mula tak dapat sambutan, Normadiah beralih pulak ke dunia perfileman. Filem pertama yag dia lakonkan adalah Seniati (1953) arahan A.R Tompel. Bakatnya mula terserlah bila dia digandingkan dengan P. Ramlee dalam filem Siapa Salah (1953) arahan B.N. Rao.
Seterusnya dia berlakon lagi dengan P. Ramlee dalam beberapa filem seperti Panggilan Pulau (1954), Perjodohan (1954) dan Bujang Lapok (1957). Normadiah jugak seorang penyanyi dan dia dah diberikan penghormatan oleh kerajaan untuk menghiburkan tentera Malaysia yang bertugas di bawah Bangsa Bersatu (PBB) di Kongo.
Normadiah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan 4 orang anak. Pada tahun 1990an dia sekeluarga berhijrah ke KL dan mula berjuang dalam dunia lakonan dan hiburan. Tapi apa yang menyedihkan adalah penantiannya untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia tak kesampaian hingga ke akhir hayatnya. Normadiah meninggal dunia pada 8 Ogos 2000 di Subang Jaya, ketika berusia 67 tahun.
4. Ibrahim Pendek – pelakon Melayu pertama berlakon di Hollywood
Dilahirkan di Taiping, Perak pada tahun 1932, Ibrahim bin Hassan juga dikenali dengan nama Ibrahim Pendek. Ni kerana masa umur remajanya, tinggi Ibrahim hanya 130cm, yang boleh dikatakan cukup rendah untuk remaja biasa. Tapi kekurangan tu tak pernah patahkan semangatnya. Ibrahim berdikari keluar dari kampung dan mula berkerja sebagai buruh di ladang sayur Cameron Highland masa berumur 17 tahun.
Setahun lepas tu, Ibrahim ikut kawannya pergi ke Singapura untuk bercuti. Ketika inilah dia terserempak dengan tokey Shaw Brothers (Run Run Shaw dan Runme Shaw) iaitu pemilik MFP. Run Run Shaw yang tertarik dengan wajah dan fizikal Ibrahim pun ajak dia untuk buat audition kat studio Jalan Ampas pada keesokan harinya. Tuah menyebelahi Ibrahim bila dia berjaya diterima sebagai pelakon.
Filem petamanya bertajuk Panggilan Pulau (1950), di mana dia jugak berlakon dengan P. Ramlee. Lepas tu, Ibrahim mula terlibat dalam banyak filem termasuklah filem terkenal Ali Baba Bujang Lapok (1961). Pada 1962, Ibrahim buat satu lagi sejarah bila jadi orang Melayu pertama yang berlakon dalam filem Hollywood bertajuk The Spiral Road, lakonan Rock Hudson dan Burt Ives.
Untuk filem ni, Ibrahim duduk kat Hollywood selama sebulan dan selama tu jugaklah dia tinggal kat banglo Rock Hudson di Beverly Hills. Tapi apa yang buatkan dia curiga adalah pasal bayaran yang dia sepatutnya dapat dari filem tu. Bayaran sebenar yang Ibrahim sepatutnya dapat sampai sekarang tak diketahui, sebabnya Ibrahim ada kontrak dengan Shaw Brothers. Jadinya dia hanya dapat bayaran yang dah ditetapkan oleh Shaw Brothers sama macam bayaran filem Melayu.
Bila MFP tutup pada 1967, Ibrahim mula ubah kareer dengan buka kedai pakaian kat Geylang Singapura, tapi perniagaannya tak berapa jalan dan tutup lepas 3 tahun. Dia lepas tu balik ke Kuala Lumpur dan mula jadi pelakon bebas. Akhirnya Ibrahim meninggal dunia pada November 2003 akibat penyakit paru-paru berair, buah pinggang dan sesak nafas. Ibrahim berkahwin sebanyak 2 kali dan dikurniakan 7 orang anak.
5. Zaiton – dua kali jadi Duta Filem Melayu di Amerika
Dilahirkan di Singapura pada 2 April 1937, Zaitun binti Abdul Hamid jugak dikenali dengan nama Zaitun Abdullah. Abdullah tu muncul sebab suami pertamanya bernama Abdullah dan suami kedua pulak bernama Syed Abdullah. Lepas habis sekolah, Zaiton dengan kawan-kawannya selalu pergi ke studio Jalan Ampas untuk tengok penggambaran filem. Tapi sebenarnya dia tak minat pun nak jadi pelakon.
Sampailah satu hari pengarah filem S. Ramanathan tawarkan dia berlakon dalam filem Kipas Hikmat (1955). Lepas tu Zaiton berlakon pulak dalam filem Abu Hassan Penchuri (1955), Hang Tuah (1956), Anakku Sazali (1956) dan banyak lagi. Lepas MFP ditutup, Zaiton dah tak berlakon lagi.
Disebabkan kejelitaan wajahnya, Zaiton dah melawat Hawaii pada 1958 dan San Francisco pada 1959 sebagai ‘Duta Filem Melayu’. Zaiton dirikan rumah tangga sebanyak 2 kali iaitu pertamanya dengan Abdullah Hussain (Sasterawan Negara) dan keduanya dengan Syed Abdullah.
6. Hj Mahadi – anak Melayu pertama jadi pengarah filem
Mohd Mahadi bin Hj Mohd Said dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan pada tahun 1914. Bapanya seorang ulama dan tokoh agama yang dihormati kat Negeri Sembilan. Tapi impian bapanya yang nak Hj Mahadi jadi macamnya tak kesampaian bila Hj Mahadi pilih untuk jadi seorang wartawan.
Tapi tak lama lepas tu dia berenti dan kerja pulak dalam bidang perfileman. Pada mulanya dia kerja sebagai penterjemah skrip kat MFP. Tugas ni penting, sebab masa tu semua pengarah MFP ni orang India dan tahu bahasa Melayu. Disebabkan perkara tu, MFP dapat kritikan yang hebat dari masyarakat dan media. MFP akhirnya ambik keputusan untuk cari pengarah Melayu lepas tu.
Jadinya pada 1952, Hj Mahadi dilantik jadi pengarah filem Melayu pertama di MFP. Filem pertama arahannya bertajuk Permata di Perlimbangan, tapi malangnya filem tu tak dapat banyak sambutan. Hj Mahadi terpaksa korbankan kedudukannya sebagai pengarah dan mula fokus pada lakonan. Tapi nampaknya, dia berjaya membuktikan yang dia ada bakat dalam dunia lakonan.
Antara filem terkenal yang dikenali sampai sekarang adalah Tiga Abdul yang mana dia berlakon sebagai abang kepada P. Ramlee. Hj Mahadi jugak pernah menang anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dalam Festival Filem Melayu anjuran majalah Utusan Filem dan Sport.
Hj Mahadi jugak berjaya buktikan yang dirinya dapat berlakon pelbagai watak: Raja, bapa, orang alim dan jugak lucu. Hj Mahadi berkhidmat untuk MFP sampailah syarikat tu tutup dan dia meninggal dunia pada 20 Februari 1983.
7. Rose Yatimah – lahir dari keluarga berdarah seni
Rose Yatimah atau nama sebenarnya Rosnah binti Jasni dilahirkan di Singapura pada 17 November 1943. Dia dilahirkan dalam keluarga seni, bila bapanya Jasni adalah seorang penyanyi terkenal dan ibunya Neng Yatimah seorang pelakon filem. Bakat Rose Yatimah mula dikesan bila dia diuji bakat oleh P. Ramlee pada 1959.
Dia berjaya dalam audition tu dan jadi heroin dalam filem Pendekar Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Bermula dari situ jugaklah P. Ramlee ubah namanya daripada Rosnah kepada Rose Yatimah. Sepanjang kareernya, Rose Yatimah terkenal sebagai seorang yang tak memilih watak dan dia mengakhirkan bidang lakonannya dalam filem Anak Bapak (1966).
Lepas tu, dia mula fokus pada rumah tangganya yang didirikan bersama seniman Mustapha Maarof pada 1967. Mereka dikurniakan 4 orang anak hasil dari perkahwinan itu. Hanya sekali je Rose Yatimah berlakon dalam drama, iaitu dalam drama RTM bertajuk Anak Seluang Jauh Melaut. Pada 14 Disember 1987, Rose Yatimah menghembuskan nafas terakhirnya akibat penyakit barah payudara.
8. Siput Sarawak – dari pentas bangsawan ke dunia perfileman
Siput Sarawak adalah ibu kepada penyanyi Anita Sarawak. Nama sebenarnya adalah Ramlah binti Mohamad Sulaiman dan dia dilahirkan pada tahun 1921 di Kuching, Sarawak. Sejak masih kecik lagi Siput dah terlibat dalam pentas bangsawan (teater). Jadi tak heranlah bila dia dapat status ‘Primadona’ masa berusia 17 tahun.
Lepas Perang Dunia ke 2, Siput dan ayahnya berhijrah ke Singapura. Masa kat sana dia berkerja sebagai penyanyi kat sebuah kabaret terkenal. Lepas tu, Siput libatkan diri pulak dalam bidang perfileman dan filem pertamanya adalah Singapura di Waktu Malam (1947). Pada tahun 1950, Siput berkahwin dengan seniman S. Roomai Noor dan dikurniakan anak bernama Ithnaini (Anita Sarawak).
Tapi perkahwinan tu tak kekal lama dan hanya bertahan selama 3 tahun. Pada 1959, Siput kembali aktif dalam dunia lakonan dan terus berlakon dalam beberapa buah filem. Filem terakhirnya adalah Layar Lara (1996) arahan Suhaimi Baba. Siput jugak dianugerahkan ‘Bintang Veteran’ pada Festival Filem Malaysia 1991. Dia meninggal dunia pada 3 Jun 1999 di Kempas Road, Singapura.
Filem Melayu adalah budaya dan sejarah negara
Sebenarnya ramai lagi seniman dan seniwati filem Melayu yang berjuang dan berkorban dalam membangunkan industri filem Melayu. Mungkin tak lupa juga dengan nama seperti S. Shamsuddin, Aziz Satar, Ahmad Mahmud, Saadiah dan ramai lagi bintang-bintang filem ternama.
Jasa-jasa mereka tak akan dapat dilupakan begitu saja. Filem Melayu juga berjaya bertindak sebagai gambaran budaya dan sejarah negara. Tanpa filem-filem Melayu Klasik mungkin nama-nama besar ini dan industri filem Melayu tak berada dalam zaman kegemilangannya.
“Keberkesanan filem Melayu dekad 1930an hingga 1960an adalah merakamkan budaya dan sejarah negara membuktikan keistimewaannya berbanding dengan kebanyakan filem genre popular masa kini yang menekankan aspek hiburan semata-mata tanpa menekankan nilai budaya dan sejarah.” – Tan Sri Jins Shamsudin, dipetik dari Filem Melayu: Citra Budaya dan Rakaman Sejarah.
[Artikel ini banyak merujuk buku: Jejak Terbilang (tulisan Aimi Jarr) dan Filem Melayu: Citra Budaya dan Rakaman Sejarah (tulisan Tan Sri Jins Shamsudin)]
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2m4NhvW✍ Sumber : ☕ SOSCILI
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment