Beberapa Jalan Di Pusat Bandar Johor Bahru Bakal Ditutup Sempena Perarakan Chingey 15 – 18 Feb Ini
Seperti sudah menjadi tradisi, Bandaraya Johor Bahru masih lagi menjadi tempat untuk penganjuran perarakan Chingey sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Untuk itu, menurut laporan Bernama beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat mulai 15 hingga 18 Februari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt M. Kumar berkata penutupan laluan berkenaan bermula dengan tujuh jalan dari pukul 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 15 Februari. Jalan itu meliputi Jalan Gereja, Jalan Tun Razak, Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Susur Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook.
Manakala pada 16 Februari, satu lagi jalan iaitu Jalan Ngee Heng akan ditutup bermula pukul 8.30 pagi hingga 2.30 petang. Penutupan ini bagi membolehkan acara ‘membawa tokong keluar’ dari Kuil Kuno di Jalan Trus ke Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek, dilaksanakan.
“Pada malam kemuncak perarakan iaitu 17 Februari, jalan-jalan utama yang akan ditutup ialah persimpangan Jalan Gertak/ Jalan Dato Menteri, Jalan Ayer Molek, persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Chat/ Jalan Abu Bakar, Jalan Ayer Molek/Gertak Merah dan persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Onn/ Jalan Ayer Molek.” katanya.
“Selain itu, penutupan antara pukul 3 petang hingga 3 pagi pada keesokan harinya itu turut melibatkan Jalan Wong Ah Fook, Jalan Meldrum, Jalan Siu Nam, Jalan Siu Chin, pusingan ‘U’ Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Station, Jalan Abu Bakar dan susur Lingkaran Dalam/Jalan Abu Bakar,” tambah M.Kumar lagi.
Sebagai alternatif, pengguna jalan raya dari Singapura yang hendak masuk ke kawasan bandar dinasihatkan agar menggunakan laluan Jalan Skudai -Jalan Lingkaran Dalam-Jalan Skudai (Pantai Lido). Mereka juga boleh menggunakan laluan Kota Tinggi-Kuala Lumpur-Lebuhraya EDL manakala pengguna yang menghala ke Hospital Sultanah Aminah, mereka disarankan melalui Jalan Skudai-Jalan Pantai Lido.
“Pengguna dari Jalan Datin Halimah boleh menggunakan Jalan Kolam Air-Jalan Thompson-Jalan Abu Bakar manakala pengguna dari Kota Tinggi melalui Lebuhraya EDL-susur Jalan Abu Bakar-Jalan Lingkaran Dalam,” katanya.
Polis turut menasihatkan pelancong yang ingin ke Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Ayer Molek agar menaiki perkhidmatan teksi yang boleh didapati di Jalan Jim Que dan bukan di Jalan Tun Abdul Razak. Bagi yang ingin berjalan kaki dan menunggu di laluan perarakan iaitu Jalan Wong Ah Fook, mereka boleh melalui Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) masuk ke Bangunan City Square dan terus ke Jalan Wong Ah Fook.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment