Toyota Yaris Facelift Untuk Pasaran Eropah Didedahkan
Hampir sebulan lalu, Toyota Yaris facelift terbaru dilancarkan untuk pasaran Jepun, dikenali dengan nama Vitz. Kini, Toyota mendedahkan pula perincian model berkenaan bagi pasaran Eropah. Diketuai oleh pereka dan jurutera Toyota yang berpusat di Perancis, kos memberikan pembaharuan bagi model berkenaan menelan belanja sehingga €90 juta; antaranya merangkumi 900 bahagian baru.
Seperti yang pernah disaksikan sebelum ini, Yaris facelift diberikan penggayaan yang lebih agresif berbanding yang sebelumnya. Gril bahagian bawah dijadikan lebih lebar, disekeliling tempat lampu kabusnya juga direka semula, dengan kemasan krom. Ini termasuk lampu utama dari jenis projektor dan lampu nyalaan siang LED.
Dari sisi, antara kelainan yang dapat dikesan ialah bahagian berwarna hitam atau krom di bawah pintu dan lampu belakang two-piece (LED bagi varian lebih tinggi). Bampar juga diberi sentuhan baru agar lebih sporty. Rekaan rim 15 juga menerima pembaharuan – penutup biasa bagi varian pertengahan dan rim aloi multi-spoke bagi yang lainnya. Rim 16 inci aloi pula digunakan bagi varian tertinggi.
Kemasan dalam warna dwi-tona juga diperkenalkan. Ini diikuti dengan gril honeycomb hitam, spoiler belakang serta lampu LED di belakang. Warna baru yang ditawarkan ialah Hydro Blue dan Tokyo Red, dengan Glacier Pearl White dan Platinum Bronze menyusul kemudian.
Di dalam, instrument cluster direka semula dengan kemasan krom, serta jarum analog berkembar dipaparkan pada skrin TFT LCD 4.2 inci; sebagai ciri standard bagi varian pertengahan ke atas. Corong udaranya juga diberikena rekaan baru, skrin tengah yang diperbaharui serta reka bentuk suis pada konsol tengah, semuanya diperkemaskan.
Bagi pilihan upholstery, yang ditawarkan ialah fabrik hitam bagi model asas, fabrik hitam-kelabu dengan corak bagi varian pertengahan sementara varian tertinggi menerima skim warna dwi-tona dan sebahagian daripadanya dari material kulit.
Tiada lagi enjin 1.3 liter empat-silinder. Ia digantikan dengan enjin 1.5 liter baru dengan teknologi Economy with Superior Thermal Efficiency (ESTEC). Direka untuk memenuhi piawaian Euro 6c serta keperluan homologasi Real Driving Emission (RDE), ia menampilkan ciri VVT-iE yang membolehkan peralihan antara kitaran Otto dan Atkinson.
Selain itu, nisbah mampatan 13.5:1 turut digunakan (dicapai melalui rekaan kebuk pembakaran dan piston baru, membolehkan campuran minyak dan udara yang lebih berkesan berlaku). Begitu juga dengan kitaran semula gas ekzos yang disejukkan (EGR) dan manifold ekzos sejukan cecair. Hasilnya, janaan kuasa yang diperoleh ialah 111 PS and 136 Nm, pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas (11 saat berbanding 11.8 saat) serta kecekapan termal 38.5% dan penggunaan minyak yang dikurangkan sebanyak 12%.
Model hibridnya juga dikekalkan, menggunakan enjin Prius C 1NZ-FXE 1.5 liter VVT-i yang menjana 74 PS/111 Nm serta motor elektrik dengan kuasa 61 PS/169 Nm untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 100 Nm. Beberapa peningkatan turut dilakukan, misalnya terhadap rekaan mounting enjin, driveshaft dan sub-kerangka depan baru, kotak sistem masukan udara baru serta penyenyap ekzos.
Yaris facelift Eropah ini juga menerima penyerap hentak yang direka semula, dengan daya serapan yang dikurangkan untuk memberi lebih keselesaan tanpa mengorbankan aspek pengendalian. Stereng kuasa elektrik juga diberi peningkatan bagi mengurangkan rasa geseran dan menjadikannya lebih lancar.
Dari segi keselamatan, semua model dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, termasuk ciri Pre-Collision System with Autonomous Emergency Braking, lampu tinggi automatik, Lane Departure Alert dan Road Sign Assist. Sebagai tambahan terbaru, tali keledar belakang hadir dengan ciri pre-tensioner. Tapak ISOFIX juga direka semula untuk memudahkan pengguna.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment