MediaTek Memperkenalkan Cip Pemprosesan Helio P25 Untuk Peranti Pintar Dengan Dwi-Kamera
Peranti pintar dwi-kamera nampaknya mengalami kebangkitan akhir-akhir ini, dengan telefon-telefon seperti iPhone 7, Huawei P9, Mate 9 dan sebagainya mula menggunakan teknologi ini untuk mengambil gambar yang jelas dan berkualiti tinggi. Ia dijayakan dengan pengguaan cip pemprosesan yang menawarkan pemprosesan khusus untuk gambar yang dirakamkan menggunakan dwi-sensor ini.
Terkini, MediaTek telah mengumumkan cip pemprosesan terbaru mereka, MediaTek Helio P25, yang dicipta khusus untuk telefon pintar yang ingin menggunakan kamera dwi-kanta.
Cip pemprosesan mobil Helio P25 ini menggabungkan cipset 16nm dan hadir dengan MediaTek Imagiq, sebuah teknologi Image Signal Processing (ISP) yang mengoptimumkan kualiti penggunaan kamera dwi-kanta.
Menurut MediaTek, cip pemprosesan Helio P25 merupakan peningkatan yang ketara berbanding pendahulunya, Helio P10 dan P20 – terutamanya berdasarkan kepada kemampuan teknologi kamera dwi-kanta, penjimatan kuasa, serta keupayaan multimedia yang lebih maju.
Beberapa keupayaan sokongan sensor melalui cip pemprosesan Helio P25 ini termasuklah:
- Keupayaan resolusi sehingga 24MP untuk satu kamera, dan 13+13MP untuk kamera dwi-kanta.
- Kombinasi sensor kamera berwarna dan mono.
- Fungsi video High Dynamic Range (HDR)
- Rakaman video 4K
- Ciri pemfokusan auto yang pantas – 30-55 peratus lebih laju dari cip pemprosesan sebelum ini.
Selain dari itu, cip pemprosesan Helios P25 ini menawarkan kecekapan kuasa sebanyak 25 peratus, dan cip pemprosesan octa-core ini juga mencatat kelajuan mencapai 2.5GHz. Cipset ini juga menyokong sambungan LTE. Selain itu, dengan teknologi MediaTek Envelope Tracking Modulator, cip Helios P25 ini mampu membekalkan kuasa pemprosesan yang tinggi sambil menjimat kuasa dan mengurangkan pengeluaran haba.
Peranti pintar yang menggunakan cip pemprosesan Helios P25 ini juga boleh menyokong penggunaan LPDDR4 RAM sehingga 6GB, yang bukan sahaja mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 70 peratus, tetapi dikatakan mampu membantu peranti tersebut menjalankan pelbagai aplikasi pada masa yang sama.
MediaTek juga telah menyatakan bahawa peranti-peranti yang menggunakan cip pemprosesan Helios P25 ini akan berada di pasaran serata dunia bermula suku pertama 2017. Jika anda mahukan telefon pintar dengan kamera yang bagus pada harga yang murah, mungkin peranti-peranti yang menggunakan Helios P25 ini akan menarik minat anda kelak.
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2k2mA9k
Post a Comment