Toyota Prius Plug-in Hybrid Diperkenal – Lebih Banyak Teknologi Maju, Jarak Pergerakan Mod EV Berganda
Model baru Toyota Prius Plug-in Hybrid kini sudah berada di Eropah, dan informasi lengkap berserta gambarnya telah pun dikeluarkan. Pengenalan ini adalah sebahagian daripada langkah Toyota untuk mencapai sasaran mengurangkan pengeluaran karbon semua model sehingga 90 peratus menjelang tahun 2050, melalui model hibrid, plug-in hybrid, elektrik (EV) dan fuel cell. Prius Plug-in Hybrid (dikenali sebagai PHV atau Prius Prime di AS), dilengkapi pelbagai teknologi baru dan jarak pergerakannya bertambah satu kali ganda.
Toyota menyatakan bahawa peningkatan jarak gerak EV dari 25 km asalnya untuk Prius PHV kepada lebih 50 km adalah hasil daripada pembaikan teknologi dalam tiga aspek utama: pembangunan optimum bateri, peningkatan prestasi pemanduan EV dan menjadikan pakej keseluruhan kenderaan lebih cekap.
Di bawah ruang simpanan belakang kenderaan ini terdapat bateri lithium-ion dengan kapasiti yang digandakan daripada 4.4 kepada 8.8 kWh. Walaubagaimanapun, saiz bateri tersebut hanya meningkat 66 peratus – daripada 87 menjadi 145 liter – dan pada 120 kg, ia hanya 50 peratus lebih berat daripada bateri lama.
Kuasa EV juga meningkat sebanyak 83 peratus hasil penggunaan Dual Motor Drive System. Satu gear sehala baru yang kompak diletakkan dalam transaxle, membolehkan generator sistem hibrid untuk bertindak sebagai motor elektrik kedua. Ini mendorong kepada lebih kuasa EV untuk pecutan lebih baik, dengan kelajuan maksimum 135 km/j. Kekerapan enjin hidup juga berkurang, dakwa Toyota.
Dengan jumlah kuasa 90 kW (121 hp), Prius PHV baru ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 11.1 saat, dan boleh memecut sehingga kelajuan 162 km/j. Penggunaan bahan api purata kenderaan ini terletak pada 1.0 liter bagi setiap 100 km manakala pengeluaran CO2 pula hanya 22 g/km.
Satu lagi faktor utama yang dapat mengurangkan penggunaan enjin dalam mod EV adalah pam haba suntikan gas pertama di dunia yang memberi kuasa kepada pendingin hawa. Ia akan memanaskan kabin apabila suhu di luar mencecah sehingga serendah -10 celsius tanpa menghidupkan enjin. Pam ini dikatakan lebih cekap berbanding pemanasan enjin atau pemanas elektrik berkuasa tinggi, dan ia bertindak cekap memanaskan bahagian dalam kenderaan menggunakan haba yang diserap dari udara luar. Mekanisme suntikan gas dilekatkan pada sistem pam haba ini dan memastikan prestasi pemanasan dijamin walaupun suhu di luar rendah.
Sebagai tambahan, semasa mengecas, satu sistem pemanasan bateri baru akan memanaskan sel kepada suhu yang optimum untuk ia beroperasi, walaupun sehingga keadaan di luar sejuk mencapai -20 celsius. Ini mengurangkan kesan cuaca sejuk kepada jarak gerak EV, dengan kesemua kuasa boleh digunakan sejak mula.
Berkenaan pengecasan, kuasa mengecas maksimum telah ditingkatkan daripada 2 kepada 3.3 kW, dan bateri itu sendiri boleh dicas sehingga penuh 65 peratus lebih cepat; dalam masa hanya dua jam menggunakan penyambung Type II Mode III Mennekes, dan tiga jam sepuluh minit menggunakan soket rumah biasa. Proses mengecas ini kini boleh diprogram setiap minggu pada turutan hari-demi-hari, dan termasuk kemudahan yang boleh mengecas secara serentak dan menyejuk/memanas kabin lebih awal.
Empat mod penyampaian kuasa disediakan untuk mengawal transmisi E-CVT pada kenderaan ini iaitu HV Mode, EV Mode, EV City dan Battery Charge Mode (baru).
HV Mode menggabungkan penyampaian kuasa enjin dan motor elektrik secara cekap, membenarkan Prius untuk beroperasi sebagai kenderaan hibrid biasa. EV Mode menggunakan kuasa elektrik daripada bateri untuk memacu kenderaan dan hanya menghidupkan enjin apabila pendikit dibuka luas atau pada kelajuan tinggi. Ia menggabungkan EV City Mode, yang mengurangkan kuasa maksimum, dan hanya menghidupkan enjin apabila pedal minyak ditekan habis.
Battery Charge Mode pula boleh diaktifkan dengan menekan terus beberapa saat suis HV/EV Mode. Ia menggunakan kuasa enjin untuk menjana elektrik untuk mengecas bateri semasa memandu dalam HV Mode. Sebagai tambahan, dalam tiga mod tersebut, terdapat tiga lagi mod yang boleh dipilih iaitu Normal, Power dan Eco.
Mod Power mengubah tindak balas penyampaian kuasa, meningkatkannya untuk pecutan lebih baik dan lebih kepuasan. Dalam mod ini, satu sistem bantuan yang dinamakan Driver’s Mind D Logic (DMD) diaktifkan. Menggunakan sistem Driver’s Monitoring Index (DMI), yang memerhati pergerakan G-force kenderaan untuk memahami tingkah laku pemandu, DMD akan bertindak terhadap kemahuan pemandu; untuk tindak balas lebih sporty, melaras prestasi engine braking dan tindak balas pendikit.
Satu ciri menarik yang menambah kecekapan kenderaan ini adalah bumbung solar. Teknologi bumbung ini pertama kali didedahkan pada model konsep Auris HSD pada tahun 2010 dan kini berjaya dibangunkan dan diletakkan pada Prius PHV baru. Kuasa yang didapati daripada unit solar atas bumbung kenderaan ini digunakan untuk menghasilkan elektrik dan mengecas bateri hibrid.
Apabila kenderaan ini diletakkan tidak bergerak (dan tidak disambung pada soket pengecas), bumbung solar akan memainkan peranan mengecas bateri perantaraan solar, dan apabila ia penuh, akan menyampaikan kuasa kepada bateri utama. Semasa memandu, sistem solar ini akan mengecas bateri tambahan 12 volt yang ada.
Bergantung kepada keadaan cuaca, sistem pengecasan solar boleh meningkatkan jarak pemanduan EV Prius PHV sehingga 5 km sehari, bersamaan sekitar 1,000 km panduan elektrik penuh untuk satu tahun.
Seperti juga Prius Hybrid, model PHV ini dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) bagi mendapatkan pusat graviti lebih rendah, posisi memandu yang lebih menyenangkan dan kawalan lebih tepat dan responsif, dengan kurang olengan. Stabiliser bar di hadapan juga turut membantu.
Badan kenderaan ini juga 60 peratus lebih tegap, hasil peningkatan penggunaan besi berketahanan tinggi dan pelekat struktur, sambungan lebih keras antara cow panel dan tiang hadapan, tambahan besi pengukuh pada struktur bawah tiang tengah dan sambungan panel, penguat cross-member bahagian dalam lantai belakang, dan penggunaan berterusan bebibir untuk menguatkan sambungan antara pelbagai elemen struktur.
Hasilnya adalah kendalian lebih baik tanpa menggunakan tetapan suspensi yang keras, dan menurut Toyota, ia adalah melebihi jangkaan bagi sebuah kenderaan Eco. Model ini walaubagaimanapun mendapat tetapan suspensi khas untuk modelnya.
Toyota juga mendakwa sistem plug-in ini lebih senyap berbanding Prius standard dan antara langkah yang diambil untuk memperbaiki NVH Prius PHV adalah pengedap bunyi di tepi bonet, pembahagi fender urethane, kaca akustik pada tingkap tepi hadapan, dan pengedap bunyi di bahagian dalam perumah tayar belakang.
Keselesaan dan kesenyapan kabin telah ditingkatkan lagi dengan penggunaan bahan urethane pada lapik bumbung dan lapik lantai, serta bahan kedap bunyi pada A-pillar, deck dan trim pintu belakang.
Seperti juga Prius biasa, kenderaan ini boleh dikenali dengan mudah. Antara beza gayanya adalah terdapat bahan akrilik 3D pada gril, serta unit lampu utama dengan 4 LED kompak dan nipis yang berteknologi adaptif baru. Pada bahagian bawah gril hadapan juga terdapat shutter aktif. Rim 15 inci pada model PHV ini juga adalah lain, di mana ia memberikan lebih penyejukan.
Pada bahagian belakang, terdapat cermin dengan dua gelembung, yang seterusnya bersambung dengan lengkungan spoiler. Kemudian, terdapat lampu belakang LED yang unik bagi model ini. Tujuh warna ditawarkan untuk model ini termasuk satu yang khas untuknya – Spirited Aqua metalik.
Di dalam, ia hampir sama seperti Prius generasi keempat, tetapi terdapat skrin informasi dan hiburan lapan inci dengan grafik yang diperbaharui. Meter 4.2 inci bagi pemandu pula kini menampilkan grafik khas untuk PHV. Ruang simpanan telah dinaikkan 160 mm bagi menempatkan bateri sistem plug-in hybrid yang lebih besar. Ruang yang boleh digunakan adalah 360 liter.
Penutup but Carbon Fibre Reinforced Plastic (CFRP) – digunakan pertama kali di dunia untuk kenderaan produksi – turut boleh didapati pada PHV, untuk mengurangkan berat. Sebagai sebahagian daripada sistem Toyota Safety Sense yang dipertingkat, kereta ini dilengkapi dengan Pre-Collision Safety bersama pengesan pejalan kaki, dan Adaptive Cruise Control penuh.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment