Cheng Hoe Kecewa Kedah Bermula Hambar, Liridon Dedah Rahsia Kebangkitan
PENGENDALI Kedah, Tan Cheng Hoe meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap prestasi anak-anak buahnya yang agak hilang fokus pada aksi separuh masa pertama ketika menentang Pulau Pinang pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.
Menurutnya, kelemahan tersebut agak ketara apabila pemain gagal melakukan penyudah dengan sempurna walaupun mendapat beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
“Pemain pasukan lawan pula bijak mengambil kesempatan itu untuk melakukan serangan balas yang menyaksikan mereka berjaya menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan tersebut,” kata Cheng Hoe kepada pemberita selepas perlawanan malam kelmarin.
Selain itu, katanya, pemain Pulau Pinang juga menyajikan persembahan yang mantap terutama jentera pertahanan apabila berjaya mengekang asakan Kedah pada awal perlawanan.
Bagaimanapun, Cheng Hoe berkata, beliau mengakui kemasukan pemain gantian, Muhammad Shafiq Ahmad menjadi titik perubahan kepada Kedah apabila dia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-74 untuk membangkitkan semula semangat pemain Kedah.
Katanya, corak persembahan pemain-pemain Kedah lebih teratur dan kemas selepas jaringan Muhammad Shafiq itu.
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan kejayaan Kedah menewaskan Pulau Pinang merupakan satu kenangan manis buatnya selaku jurulatih skuad Helang Merah sejak tiga musim lalu.
“Kemenangan ini satu kenangan manis buat saya sebagai jurulatih kerana kita tidak pernah menang ke atas pasukan Pulau Pinang sejak tiga musim lalu,” katanya.
[embedded content]
Sementara itu import tengah Kedah, Liridon Krasniqi mendedahkan kebangkitan skuad hijau kuning ketika menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Super berpunca sikap pemain sendiri.
Dalam perlawanan di Stadium Darul Aman itu, Kedah ketinggalan 1-0 selepas lawan melakukan serangan balas, namun skuad itu berjaya bangkit dalam tempoh dua minit untuk menyamakan kedudukan.
Pemain kelahiran Kosovo itu memberitahu, semangat juang pemain Kedah yang tinggi untuk menang pada perlawanan itu antara punca utama pasukan berkenaan berjaya bangkit daripada ketinggalan.
Jelasnya, persefahaman di kalangan pemain yang telah beraksi bersama sejak tiga tahun lalu antara punca kebangkitan untuk menyamakan kedudukan menjadi lebih mudah.
“Saya cukup kenal kemampuan kesemua pemain, ketika ketinggalan satu gol, saya yakin kami mampu kembali menyamakan kedudukan dan terus memenangi perlawanan ini.
“Selepas tiga tahun bersama, saya lihat pemain Kedah telah pamerkan semangat juang yang cukup tinggi untuk memenangi setiap perlawanan, inilah kelebihannya.
“Sebagai bukti kami berjaya mengatasi Kelantan walaupun saya, Sandro Da Silva, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi Johari tidak beraksi. Kami mampu pulang dengan tiga mata penuh yang diidamkan,” katanya.
Liridon berkata, kejayaan dirinya mencatat nama sebagai penjaring juga sangat bermakna pada perlawanan itu yang disaksikan ibu bapanya.
“Ini kali pertama ibu bapa saya datang ke Malaysia kerana sebelum ini hanya adik yang ke sini. Sebab itu saya sangat teruja apabila dapat menjaringkan gol di hadapan mereka.
“Bagi saya, mereka telah mendapat hadiah hasil satu perjalanan yang jauh untuk melihat saya beraksi untuk Kedah,” ujarnya.
Comments
comments
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mlZIHz✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment