Pemilik-pemilik lori anggap harga pelekat pemantul cahaya tidak munasabah, sukar diperolehi – laporan
Mulai 1 Januari lalu, semua kenderaan perdagangan berat dengan BDM 3,500kg ke atas telah diwajibkan untuk memasang pelekat pemantul cahaya (reflektor) yang mempunyai standard SIRIM MS 828:2011 oleh Kementerian Pengangkutan. Namun, kini sebahagian pengusaha syarikat logistik dan pemilik lori di Johor Bahru mendakwa bekalan pelekat tersebut sukar diperolehi dan hanya boleh didapati di kaunter sebuah agensi sahaja, lapor Sinar Harian.
Menurut salah seorang pengusaha syarikat logistik, Andrew Sai, selain dari susah untuk mendapatkannya, malah harganya juga meningkat sehingga enam kali ganda.
“Jika sebelum ini pelekat pantulan cahaya ini dijual dengan harga RM40 setiap set namun apa yang mengejutkan harganya kini mencecah RM263. Ia sudah tentu menyebabkan kos pengendalian bagi 30 lori milik kami meningkat,” kata Sai dan mendakwa beberapa lori milik syarikatnya tidak dapat menjalani pemeriksaan kerana masalah ini.
Nasib yang sama menimpa pembuat perabot, Ng Ah You yang menyatakan dia turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pelekat berkenaan, sekali gus menyebabkan kenderaan miliknya tidak dapat menjalani pemeriksaan. “Peniaga telah menghadapi pelbagai peningkatan kos pengeluaran dan kini pelekat pantulan cahaya juga telah naik harga,” katanya.
Memberi respon kepada isu ini, Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, pihaknya telah memaklumkan isu berkenaan kepada agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalah dihadapi pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan.
“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh kerana telah membebankan orang ramai kerana harganya yang naik mendadak malah sukar didapati sehingga mengganggu operasi mereka,” katanya dan berharap konsesi yang membekalkan pelekat pantulan cahaya ini tidak di monopoli kerana ia kini sukar untuk didapati dan hanya boleh didapati di kaunter agensi terlibat sahaja.
Sebelum ia diwajibkan, PUSPAKOM Sdn Bhd (Puspakom) telah menyediakan garis panduan piawaian pemeriksaan reflektor yang dijalankan di Puspakom, sebagai rujukan untuk pemilik kenderaan berkenaan. Menurut Puspakom lagi, seperti yang diumumkan oleh JPJ, buat masa ini, hanya reflektor yang dikeluarkan oleh 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions mendapat pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM.
“Untuk kemudahan para pelanggan, kedua-dua pengeluar reflektor tersebut akan membuka kaunter penjualan di 21 cawangan Puspakom mulai 1 Januari 2017. Pemilik kenderaan boleh membeli reflektor tersebut di cawangan-cawangan tersebut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail dalam laporan sebelum ini.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2muzi37✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment