Hi! Welcome Back and Stay Tune! Betul ke Dasar Ekonomi Baru (DEB) lahirkan golongan ‘untung atas angin’? Ini apa yang dah terjadi… - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Betul ke Dasar Ekonomi Baru (DEB) lahirkan golongan ‘untung atas angin’? Ini apa yang dah terjadi…

Betul ke Dasar Ekonomi Baru (DEB) lahirkan golongan ‘untung atas angin’? Ini apa yang dah terjadi…

Antara punca paling besar yang membawa kepada tragedi 13 Mei 1969 adalah jurang ekonomi yang makin mendalam antara kaum. Jadi lepas je peristiwa tu berlaku, kerajaan di bawah pimpinan Tun Razak mula merancang satu dasar ekonomi untuk membantu golongan Bumiputra, khususnya orang Melayu.

Ketika itu jugaklah datangnya seorang pakar ekonomi dari Norway, Tan Sri Just Faaland yang membantu kerajaan membentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB). Faaland jugak merupakan penasihat ekonomi kepada Tun Razak.

Dasar Ekonomi Baru (DEB). Imej dari tranungkite.net

Hari Jumaat yang lepas, 17 Januari 2017, Faaland dilaporkan meninggal dunia pada usia 95 tahun. Sebagai orang luar, agak mengagumkan untuk dia terlibat dalam membentuk dasar ekonomi yang sangat memberi kesan kepada negara kita.

Jadi kali ni SOSCILI akan menceritakan pada korang apa itu DEB dan adakah ia berjaya mencapai matlamatnya.

Faaland bukan lagi ‘anak Norway’ tapi ‘anak Malaysia’

Tan Sri Just Faaland. Imej dari Bergens Tidende.

Tan Sri Just Faaland dilahirkan di Oslo pada 25 Januari 1922. Dia study bidang ekonomi dan matematik kat University of Oslo dan Oxford University. Dia jugak merupakan antara anak didik Prof Ragnar Frish yang pernah jadi pemenang bersama Hadiah Nobel Ekonomi pada 1969.

Pada tahun 1969, Faaland ditugaskan sebagai Pengarah kumpulan penasihat Harvard University Malaysia dan bertanggungjawab menjadi penasihat kerajaan dalam perancangan sosio ekonomi. Pada tahun tu jugak berlakunya tragedi buruk 13 Mei 1969. Hasilnya, parlimen digantung dan darurat diisytiharkan. Negara jugak masa tu ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan Tun Razak dilantik sebagai pengarahnya.

Ketika inilah Faaland mula terlibat dalam merangka satu polisi ekonomi yang akhirnya kita kenal sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau New Economic Policy (NEP). Idea ni muncul bila masa tu negara perlukan keseimbangan dan kesamarataan ekonomi khususnya kepada kaum Bumiputra.

Ahli-ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Imej dari Majlis Keselamatan Negara.

Selain Malaysia, Faaland jugak pernah jadi penasihat ekonomi di Pakistan (1957-1960) dan Bangladesh (1972-1974). Dia jugak banyak pegang jawatan dalam pelbagai institusi antarabangsa termasuklah Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Persida­ngan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Bank Pembangunan Asia.

Pada tahun 2002, Faaland jadi orang Norway pertama yang dapat gelaran Tan Sri dari Malaysia. Dia jugak dapat anugerah kedoktoran daripada Universiti Bergen, Norway dan Universiti Malaya. Walaupun namanya mungkin tak dikenali pun oleh generasi sekarang, tapi jasanya kepada Malaysia tidak akan hilang dalam catatan sejarah.

“Selepas 40 tahun beliau berkecimpung secara profesional dalam bidang ekonomi serta perkembangan di Malaysia, kami sekeluarga kadang-kala terfikir adakah ayah masih lagi seorang berketurunan Norway ataupun orang Malaysia.

“Keserasian ayah dengan Malaysia dapat dilihat apabila selalu berinteraksi dengan ahli-ahli ekonomi dari negara ini. Selain itu, Tan Sri juga sering menghubungi rakan-rakannya di Malaysia dari semasa ke semasa hanya untuk bertanya khabar” – Kata anak Tan Sri Just Faaland, mengenai bapanya . Dipetik dari Utusan Malaysia.

Just Faaland (dua dari kanan) dan anaknya masa dapat anugerah kedoktoran dari University of Bergen. Imej dari Merdeka Award.

DEB diwujudkan untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu/Bumiputra

Kalau nak dinilai dari sejarah, sejak zaman British lagi orang Melayu dah diberikan keistimewaan dari segi kuota biasiswa awam dan dapat kerja dengan gomen. Tapi British amalkan pulak dasar pecah perintah dengan mengasingkan kaum-kaum kat Tanah Melayu, di mana orang Melayu selalunya berada di kawasan luar bandar untuk menjalankan aktiviti pertanian.

Walaupun ada keistimewaan dari pihak British, kebanyakan golongan Melayu biasa masih tak dapat pendidikan sempurna kalau nak dibandingkan dengan golongan elit Melayu.

“Hak mereka (Melayu) tidak dihiraukan langsung dan diambil kira. Sekolah Melayu diturunkan hingga ke taraf yang paling bawah dalam susunan sistem pendidikan, dan diberikan hanya pendidikan ‘vernakular selama 3 atau 4 tahun-pada akhir persekolahan tersebut, apa yangg dapat dilakukan oleh orang Melayu ialah untuk mencari sesuap nasi sahaja.

Beberapa orang Melayu yang kaya boleh menghantar anak mereka ke seberang laut bagi mendapatkan pendidikan tinggi, tapi bilangan teramai orang Melayu dipandang hina oleh sesiapa juga. Rancangan tersebut akan menurunkan darjat semua orang Melayu ke taraf sampah masyarakat.” – Tunku Abdul Rahman, tersiar di Far Eastern Review

Kampung Melayu dulu-dulu. Imej dari delcampe.net

Oleh itu, melalui Majlis Perundingan Negara (yang dibentuk oleh MAGERAN), Jawatankuasa Ekonomi pula dibentuk untuk memikirkan dasar ekonomi negara pada masa tu dan masa hadapan. Jawatankuasa ni diketuai oleh Tan Sri Mansor Othman dan disertai tokoh-tokoh hebat seperti Prof Ungku Aziz, Prof Syed Hussein Alatas, Tan Sri P.P. Narayanan dan beberapa orang lagi. Laporan jawatankuasa ini akhirnya sampai ke tangan Tun Razak dan menjadi antara sumber asas pembentukan DEB.

Selepas itu keluar pula laporan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) yang menyatakan:

  1. Orang Melayu ‘biasa’ mempunyai taraf hidup yang lebih rendah daripada bukan Melayu biasa.
  2. Orang Melayu banyak duduk di kawasan luar bandar berbanding orang bukan Melayu.
  3. Orang Melayu banyak duduk kat negeri-negeri yang agak miskin dan mengisi pekerjaan yang rendah berbanding orang bukan Melayu.
  4. Sebahagian besar tenaga kerja dalam pertanian tradisional berproduktiviti rendah adalah orang Melayu.
  5. Dalam industri dan perusahaan tertentu, orang Melayu – berbanding dengan bukan Melayu ketara memegang jawatan rendah.

“Pekerja Cina mempunyai kelebihan pendapatan mengatasi Melayu dalam ekonomi bandar di Malaysia… Terdapat pemisahan yang jelas kelihatan bagi kedua-dua komuniti utama ini kepada kumpulan pekerjaan yang ditentukan secara kasar, tetapi kurang wakilan Melayu dalam pekerjaan kolar biru separa mahir dan mahir.” – Laporan Bank Dunia.

Kebanyakan orang Melayu tinggal kat kawasan luar bandar dan buat kerja tradisional. Imej dari Majlis Perbandaran Ipoh.

Dipendekkan cerita, MAGERAN di bawah pimpinan Tun Abdul Razak bersetuju memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai cara dan usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi Bumiputra dan membasmi kemiskinan. Berikut adalah strategi pelaksanaan DEB:

  1. Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
  2. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut cara-cara ekonomi.

Kalau kita lihat statistik kemiskinan pada tahun 1970, orang Melayu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 64.8% berbanding dengan kaum Cina iaitu 26% dan India 39.2%. Purata pendapatan keluarga Melayu pun dua kali lebih rendah daripada kedua-dua kaum tadi. Orang Melayu jugak masih ketinggalan dalam Hakmilik Syarikat-syarikat Berhad.

Imej dari pustaka2.upsi.edu

Imej dari pustaka2.upsi.edu

Akhirnya DEB mula dilaksanakan pada  tahun 1970 dengan masa yang ditetapkan selama 20 tahun. Jadinya, pada tahun 1990, DEB akan termansuh dengan sendirinya.

“Dasar Ekonomi Baru’ yang bertujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat memberikan peluang kepada rakyat berbilang bangsa untuk menikmati kemakmuran negara dengan lebih adil dan saksama “. – Tun Abdul Razak.

DEB bukan je mengkayakan orang Melayu tapi juga bangsa lain

Lepas Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan terdapat banyak kesan yang dilihat dan banyak jugak reaksi dari pelbagai pihak, khususnya dari kaum Cina. Terutamanya bila kerajaan perkenalkan Industrial Coordination Act (ICA) di mana penguasaha kilang wajib menggajikan sekurang-kurangnya 30% pekerja Melayu. Kesannya ramai peniaga Cina mula bimbang terutamanya yang ada syarikat-syarikat kecil dan sederhana je.

Ini mungkin apa yang majikan kilang dulu fikir bila interview orang. Imej dari malesbanget.com

Disebabkan akta ini, ramai peniaga Cina mula alihkan perniagaan diorang pada sektor kewangan, pembinaan, hartanah dan sebagainya. Walaupun begitu, sektor korporat Cina tetap meningkat hampir dua kali ganda iaitu dari 27.2% pada tahun 1970 ke 40.9% pada tahun 1990. 

Tapi kesan utama yang dapat diperhatikan adalah bila DEB berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan ekonomi orang Melayu. Kadar kemiskinan berjaya turun dari 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.7% pada tahun 2005. Pegangan ekuiti (saham/syer) korporat Bumiputra jugak naik dari 2.4% pada tahun 1970 kepada 19% pada tahun 2000.

Ramai jugak orang Melayu yang jadi ahli korporat berjaya seperti Tan Sri Yahaya Ahmad (DRB Hicom), Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (Yayasan Al-Bukhary), Tan Sri Mustapha Kamal (Emkay Group), Tan Sri Shamsuddin Kadir (Sapura Group), Tan Sri Azman Hashim (Ambank Group) dan ramai lagi.

Sebenarnya, DEB bukan je berjaya mengkayakan sebilangan orang Melayu, tapi jugak membuatkan sebilangan ahli perniagaan Cina menguasai ‘harta baru’ di zamannya. Mereka adalah Tan Sri Francis Yeoh (YTL Corporation Berhad) , Khoo Kay Peng (MUI Group), Tan Sri Loy Hean Heong (Mbf Holdings Berhad), Tan Sri Ting Pek Khiing (Ekran Berhad), Tan Sri Vincent Tan (Berjaya Group), William Cheng (Lion Group) dan beberapa orang lagi.

Imej dari Giphy.

Selain tu, ramai jugak orang Melayu yang berjaya masuk universiti di dalam dan luar negara. Kalau dulu pada 1970 hanya ada 225 orang professional Melayu, tapi sekarang dah ada beribu professional Melayu. Orang Melayu yang takde tanah atau hanya tahu pasal pertanian jugak dibantu DEB dengan wujudnya penempatan FELDA.

Apa yang boleh dikatakan adalah DEB berjaya dalam mencapai matlamatnya untuk membasmi kemiskinan dan memajukan kaum Bumiputra khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan. DEB juga berjaya menipiskan jurang antara kaum di Malaysia.

DEB lahirkan golongan ambil untung ‘atas angin’

Imej dari altfa.wordpress

Walaupun berdasarkan laporan dan secara luarannya DEB dikatakan berjaya, tapi masih ada banyak kelemahan yang terjadi. Antaranya adalah bila kaum Bumiputra diberikan perhatian yang sangat kuat oleh kerajaan sampaikan wujud golongan Bumiputra yang sangat bergantung pada kerajaan.

Ramai sebenarnya peniaga Bumiputra yang jadi ‘Ali Baba’ atau dapat ‘untung atas angin’ dari DEB. Konsep Ali Baba ni muncul bila peniaga Melayu dapat kontrak projek, tapi kemudiannya dia jual atau bagi sub-kontrak kepada peniaga bukan Bumiputra. Diorang sebenarnya tak buat pun projek tu tapi dapat komisyen sebagai orang tengah. Senang cerita, ‘Melayu punya kontrak, Cina punya kerja’.

Imej dari cnbc.com

Selain tu, sasaran ekuiti korporat Bumiputra pada 30% jugak masih tak kesampaian walaupun lepas 30 tahun. Ini adalah kegagalan DEB yang paling jelas dan menyedihkan. Tindakan DEB yang tetapkan kuota supaya sebahagian besar Bumiputra diterima masuk universiti jugak dah timbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum bukan Bumiputra. Bagi diorang dasar tu dah tutup banyak peluang kepada anak-anak diorang yang ada kelayakan.

Jurang pendapatan antara orang Melayu dan kaum lain jugak meningkat dan tak sama dengan inspirasi DEB yang nak kecilkan jurang ini. Sebagai contoh pendapatan kaum Cina sekarang adalah dua kali ganda dari pendapatan orang Melayu.

“Ambil contoh simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula. Orang Cina menyimpan 2.4 kali lebih banyak daripada Bumiputera. Orang Cina miliki 5.6 kali lebih banyak bangunan. Pada 2005, hanya 7.4 peratus syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia milik Bumiputera berbanding 58.6 peratus oleh orang Cina. Jumlah ekuiti Bumiputera hanya 18 peratus berbanding 35.8 peratus oleh orang Cina.” – Datuk Kadir Jasin, dipetik dari Sinar Harian.

“Purata isi rumah kaum Cina memperolehi 38 peratus pendapatan lebih tinggi setiap bulan berbanding dengan purata isi rumah bumiputera.” – Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dipetik dari Malaysiakini.

Disebabkan pendapatan yang rendah, Bumiputra jugak ketinggalan dalam pemilikan hartanah. Imej dari Utusan Malaysia.

Selain tu kelemahan dalam pelaksanaan DEB juga menjadi punca adanya beberapa objektif DEB yang gagal dicapai. Ia jadi bila orang yang dibagi tanggungjawab itu sendiri tak tahu apa maksud dan objektif sebenar DEB.

Keadaan ni jugak berlaku bila orang Melayu sendiri tak mahu berusaha dan masih lagi berharap dengan kepakaran kaum lain. Hal inilah yang mewujudkan konsep ‘Ali Baba’ tadi. DEB jugak gagal sebab kebanyakkan yang kaut keuntungan adalah orang-orang politik dan golongan elit Melayu sendiri (senang cerita kroni-kroni la).

“Hubung kait antara politik dan kekayaan biasa bagi kita semua. Sebagai contoh, banyak yang kaya datang daripada penyokong kuat parti politik tertentu yang membentuk kerajaan hari ini.” – Tengku Razaleigh Hamzah, dipetik dari Harakah Daily.

Walapun begitu, Dr Mahathir menolak dakwaan tersebut. Menurutnya jasa DEB cukup besar kepada orang Bumiputra dalam memajukan ekonomi mereka.

“Tanpa DEB tidak mungkin begitu ramai Bumiputra memiliki saham syarikat-syarikat gergasi. Dapatkah kita tolak DEB kerana hanya menguntungkan kroni sahaja. Tidak adakah orang lain yang juga dapat manfaat.

Sekarang berkenaan Bumiputera yang kaya raya. Jumlah mereka sudah beribu. Hampir semua mereka mendapat peluang daripada Kerajaan. Sebab? Sebabnya ialah hanya Kerajaan dan agensi-agensinya sahaja yang memberi peluang kepada mereka. Umpamanya, tidak ada kontraktor Bumiputera yang dapat kontrak daripada orang lain. Kerajaan melayan mereka kerana DEB.”– Tun Dr Mahathir, dipetik dari chedet.cc

Semangat DEB masih lagi relevan, asalkan ia tak disalah gunakan

Dah mansuh dah pun… Imej dari kualalumpurpost.net

DEB mula dilaksanakan pada tahun 1970 dan tamat pada tahun 1990 selepas 20 tahun pelaksanaannya. DEB kemudiannya diubah kepada Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Walaupun ada antara objektif DEB yang tak tercapai dan ada pihak yang kata DEB adalah satu kegagalan tapi ia masih lagi dianggap relevan oleh pengasasnya.

Dan macam yang kita tengok dalam kes ‘Ali Baba’ kat atas tadi, kegagalan DEB dalam mencapai objektif-objektif tertentu adalah berpunca daripada sesetengah golongan Melayu sendiri yang nak cepat untung.

Just Faaland dalam satu temubual ada kata yang objektif dan semangat DEB masih relevan walaupun selepas tahun 1990. Katanya, DEB penting kerana masyarakat pelbagai kaum di negara ini masih lagi menghadapi masalah ekonomi yang tak seimbang.

“Tetapi dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi terus berlaku dalam negara, kita perlu terus memelihara semangat dan objektif DEB untuk pembahagian hasil yang lebih adil.

Saya fikir masyarakat Cina, Melayu dan India sama sahaja seperti orang Norway. Apabila anda mendapat sesuatu manfaat, anda gembira tetapi anda mahukan lebih. Dan apabila orang lain mendapat faedah buat mereka pula, anda akan bertanya, mengapa aku tidak dapat perkara yang sama? Perkara-perkara ini sebenarnya merupakan fitrah manusia.” – Just Faaland, dipetik dari Utusan Malaysia.

>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lsVeNq



✍ Sumber : ☕ SOSCILI


Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.