Wanita Terberanak Tepi Lif Pejabat Tanpa Bantuan
Spread the love
ALAHAI, bertuahnya si ibu ini. Jika wanita lain terpaksa mengambil masa berjam-jam untuk bersalin dan menahan sakit akibat digunting, namun berbeza kisah yang dialami wanita bernama Nurul Munirah Hussin ini.
Ini kerana, proses kelahiran Nurul ‘terlalu cepat’ hinggakan terpaksa menyambut kelahiran anaknya di tepi lif pejabat di Subang, Selangor, kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam.
Nurul, 32, selamat melahirkan bayi lelakinya seberat 2.7 kilogram pada usia kandungan 37 minggu.
Mengimbas kembali sebelum insiden mencemaskan itu, Nurul memberitahu, dia mula berasa sakit kontraksi kira-kira jam 10 malam sebelum mengajak suami ke hospital kira-kira jam 12 tengah malam.
“Saya tidak sedap hati dan terus mengajak suami untuk ke hospital kira-kira jam 12 tengah malam. Bagaimanapun, sebelum itu saya meminta suami untuk singgah di pejabat yang tidak jauh dari kediaman kami untuk mengambil buku rekod kehamilan yang tertinggal.
“Sebaik saja sampai di pejabat, saya mengambil buku rekod itu, namun tiba-tiba saya terasa ingin membuang air kecil.
“Bagaimanapun, ketika di dalam tandas, saya dapat merasakan sebahagian kepala anak dalam kandungan sudah keluar,” katanya.
Nurul yang bekerja sebagai kerani kemudian menuju ke lif sebelum mendapati sakitnya semakin kuat dan nekad untuk bersalin kerana bimbang kandungannya lemas.
“Pada waktu itu, saya baring dan mula meneran seperti biasa dan hanya ditemani anak sulung berusia tujuh tahun, manakala suami dan anak lelaki berusia empat tahun memanggil anggota keselamatan di bangunan itu serta menghubungi ambulans.
“Waktu itu, anak perempuan saya hanya berdiri di sebelah sambil memerhatikan saya meneran sehingga bayi lelaki berjaya dikeluarkan,” katanya yang sepatutnya dijangka bersalin 10 Mac.
Nurul kemudian bertindak menanggalkan tudungnya dan membalut anaknya bagi mengelakkan sebarang jangkitan berlaku memandangkan permukaan lantai yang tidak bersih dan sejuk.
“Saya hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk melahirkan anak saya ini, sebelum pihak ambulans datang dan membawa kami ke Hospital Putrajaya,” katanya kepada BH Online.
Bayi lelaki Nurul kini terpaksa ditahan di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi memastikan tiada jangkitan. – MYNEWSHUB.CC
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment