BlokTex 2017: Kenali Teknologi Blockchain
Sejak beberapa tahun lalu BitCoin mula dikenali ramai. Ia dikenali kerana menawarkan sejumlah matawang yang tinggi malah pada bulan Mac yang lalu nilainya lebih tinggi dari emas. BitCoin turut boleh digunakan dalam urusan seharian namun tahukah anda berkenaan asas konsep disebalik penggunaan BitCoin?
Kenali Blockchain
Blockchain merupakan istilah kepada teknologi ini. Pangkalan data dan maklumat yang dibina adalah berdasarkan kepada ‘rantaian blok’, dan setiap blok mempunyai identitinya tersendiri yang tidak boleh diubah. Blockchain yang mempunyai data ini pula disimpan bukan di sesuatu server, akan tetapi disimpan di pelbagai server.
Salah satu kebaikan sistem Blockchain adalah dengan rantaian blok maklumat yang dikongsi ramai, ia tidak boleh dimanipulasi oleh sesiapapun. Jika sistem sekarang, sebagai contoh bayangkan maklumat akaun kewangan syarikat dimiliki oleh bendahari, dan sekiranya bendahari tersebut melakukan penyelewengan, mungkin pemilik syarikat tidak menyedarinya sehinggalah ia sudah terlambat.
Dengan pelbagai pengguna yang menyimpan rekod Blockchain, ia sekaligus sukar untuk digodam dan sekiranya terdapat sebarang bencana, terdapat salinan data tersebut yang terdapat pada server lain. Malah memandangkan terdapatnya server lain yang beroperasi, penggunaan sistem Blockchain tidak tertakluk kepada waktu operasi. Seperti contoh anda masih boleh menghantar duit pada 12 malam sedangkan bank-bank utama di Malaysia kebiasaannya tidak beroperasi kerana perlu meluangkan masa penyelenggaraan pada tempoh tersebut.
Blockchain Bukanlah Sekadar Bitcoin
Istilah Bitcoin lebih popular dari Blockchain memandangkan Bitcoin merupakan salah satu teknologi terawal yang mempopularkan konsep Blockchain. Setiap duit Bitcoin yang diperoleh mempunyai rekod transaksinya yang tidak boleh diubah. Malah setiap orang mempunyai rekod transaksi yang sama dengan yang lain.
Sekiranya satu objek lain yang bukan didalam kategori Fintech/Bitcoin, seperti contoh kasut, maklumat Blockchain baju tersebut mungkin berbentuk sebegini.
- Kasut NMD siap dihasilkan dari Kilang Adidas di Vietnam.
- Kasut NMD memasuki kotak #7251364
- Kasut NMD didalam kotak #7251364 sedang dihantar ke Kedai G.
- Kasut NMD telah ditambah dengan coraknya oleh Kedai G.
- Kasut NMD telah dijual kepada pelanggan F.
- Kasut NMD telah digantikan kotaknya kerana kotak tersebut rosak.
- Kasut NMD jatuh nilai kerana kehilangan kotaknya
Dengan contoh diatas, pengguna dapat mengetahui maklumat mengenai kasut NMD dan mengetahui adakah kasut tersebut asli atau tiruan. Dan sekiranya pengguna melakukan kustomasi atau tambahan rekaan corak, siapa yang melakukan kustomasi tersebut dapat diketahui. Dengan cara ini kesahihan sesuatu perkara dapat dipastikan.
Malah mengambil contoh lebih jauh, mungkin pelanggan F akan kurang dipercayai sekiranya dia menjual kasut pada harga lebih tinggi apabila mengatakan yang dia masih memiliki kotak asli, sedangkan didalam jejak Blockchain terdapat maklumat yang kotaknya telahpun rosak.
Contoh sebegini mungkin sedikit janggal dan sukar difikirkan namun dalam kehidupan seharian kita sudahpun mempunyai asas-asas situasi penggunaan data tersebut. Ia ada pada geran cukai jalan, dimana kita dapat mengetahui siapa pemilik terdahulu, atau maklumat pengeposan barangan. Malah terdapat usaha untuk merekodkan batu permata bagi memastikan keasliannya, atau sekiranya batu permata tersebut digali dari kawasan perperangan (Blood diamond).
Namun sekali lagi perlu diingatkan, maklumat sebegini dikongsi bersama pada pelbagai server, dan maklumat tersebut hanya boleh diakses bergantung pada penyulitan dan kebenaran yang dimiliki pengguna mahupun pengendali.
Privasi & Sekuriti
Memandangkan maklumat tersebut adalah secara terbuka, iaitu sesiapa jua dapat mengakses Blockchain, terdapat beberapa perkara yang perlu dirahsiakan. Seperti contoh jika terdapat rekod kesihatan yang menggunakan teknologi Blockchain, akan adanya fungsi penyulitan bagi menjaga keselamatan rekod tersebut.
Seperti contoh hanya pihak berkuasa dan pihak berwajib, seperti polis, doktor yang boleh mengakses maklumat tersebut dengan syarat mereka mempunyai kebenaran ataupun memiliki Private Key untuk data tersebut. Itu pun apabila mereka melakukan sesuatu, seperti menambah atau menyunting data, ia akan direkodkan secara umum dan telus, dan pelbagai pihak dapat mengetahuinya.
Masa Depan Blockchain
Di acara BlokTex 2017, mereka turut berkongsi pelbagai konsep penggunaan teknologi Blockchain yang boleh digunakan pada industri lain, lebih dari sekadar pembayaran Bitcoin. Ia turut boleh digunakan untuk rekod kesihatan, logistik, rekod organisasi, lesen, dan sebagainya. Di Malaysia terdapat pelbagai startup yang mula meneroka teknologi ini malah terdapat inisiatif dari agensi MiGHT (Malaysian Industry-Government Group for High Technology) untuk mempopularkan teknologi sebegini dan juga bekerjasama dengan penggiat startup tempatan.
Dengan adanya teknologi sebegini, ia sedikit sebanyak dapat memerdekakan maklumat disamping membawakan revolusi baru dalam teknologi internet.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2oN3mez
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment