Kampung Sungai Lakit Ada Kisah Seram?
Sebut sahaja Kampung Sungai Lakit, pasti pelbagai kisah dan kejadian misteri sering dikaitkan dengan lokasi ini, malah turut dikatakan ‘keras’ serta menyimpan cerita seram.
Kes kemalangan yang sering berlaku di kawasan perkampungan yang berada di laluan utama, Jalan Gua Musang-Kuala Krai ini juga, seakan-akan mengiakan kisah dialami pengguna jalan raya di sini.
Ada yang mendakwa, mereka pernah melihat susuk badan wanita bersama anak di pangkuan melintasi jalan di waktu malam, malah ada juga pernah menyaksikan susuk berwarna putih berterbangan di ruangan udara serta mengeluarkan bunyi yang menyeramkan.
Penghujung tahun lalu, seorang guru mendakwa pernah mengalami kejadian aneh sekitar jam 10.30 malam, antara Kampung Sungai Lakit, sebelum tiba di kawasan Kesedar Paloh, di sini.
Menerusi akaun Facebooknya, Amin Hussin memberitahu, ketika tiba di lokasi, kereta dipandunya tiba-tiba gelap di bahagian tingkap belakang.
Lebih bingung lagi, katanya, walaupun berulang kali menekan brek untuk lihat bias cahaya tetapi gagal.
“Bila nampak ada kenderaan di depan, saya terus kejar kereta itu, tapi kereta terasa amat berat walaupun saya tekan minyak sekuat hati, ia tetap perlahan.
“Allahuakbar, saya dan isteri panik, bunyi cengkaman pada bumbung dan belakang but kereta sangat jelas. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu.
“Pintu di bahagian penumpang macam ada sesuatu ingin merobek dan seperti ingin dibuka oleh sesuatu. Semakin kuat ayat suci Al-Quran dipasang, semakin banyak bunyi di sekeliling kereta saya,” jelasnya.
Tambahnya, tiba di Paloh, keadaan kembali seperti biasa namun ‘kesan’ yang ditinggalkan itu cukup jelas iaitu calar pada bumbung dan but belakang kereta.
“Nasib baik saya tak lalai dan dapat teruskan pemanduan hingga selamat tiba ke destinasi. Kejadian ini kali kedua kami alami dan kejadian pertama lagi dahsyat. Untuk pengguna jalan ini, hati-hati memandu. Zikir ALLAH dan azan jika rasa mengantuk dan rasa luar biasa,” katanya.
Objek putih terbang melintas jalan
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Muhamad Faizal Ab Rahim berkata, awal bulan lalu, dia turut diduga dengan kejadian aneh selepas melepasi pintu gerbang Gua Musang apabila ternampak objek berwarna putih terbang dari kiri ke kanan jalan.
“Ketika itu tepat 12 malam. Sebelum ini, rakan-rakan pernah pesan, jika memandu seorang diri, elakkan berada di kawasan itu selepas jam 12 tengah malam.
“Tapi atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, saya terpaksa ke Gua Musang waktu itu atas urusan kerja. Saya lihat dengan jelas objek itu terbang melintasi jalan.
“Ketika itu, memang saya kaku tak tahu nak buat apa selain berzikir dan cuba lajukan kenderaan. Ini kejadian kedua dan diharapkan yang terakhir,” katanya.
Bagaimanapun, kata Muhamad Faizal, rakannya dari Kuala Lumpur dan menuju ke Besut, Terengganu, pernah berdepan dengan situasi yang lebih mencemaskan di kawasan sama.
“Sampai di kawasan itu, sesuatu melintas dengan laju dan dia berhentikan kereta untuk lihat objek yang dilanggar.
“Bahagian hadapan kereta remuk tapi tak ada sebarang objek di situ. Yang ada hanya helaian rambut panjang yang melekat di bahagian hadapan kereta,” katanya.
Faktor kelajuan punca nahas
Bagi Penolong Pengurus Pertanian Darul Naim Agro Management (Damai) di Kampung Sungai Lakit, Mohd Asri Mat San, 53, sepanjang empat tahun berkhidmat di kawasan berkenaan, tiada sebarang kejadian pelik yang dialaminya.
Kemungkinan punca berlaku nya kemalangan mungkin daripada haiwan liar dan cara pemanduan yang berbahaya.
“Memang tak dinafikan, banyak kemalangan berlaku di kawasan ini. Namun saya tak rasakan ia gangguan makhluk halus, tapi lebih kepada faktor kelajuan.
“Saya tak pernah diganggu namun ada rakan-rakan di Kuala Krai dan Kota Bharu turut bertanya hal ini. Saya rasa ia hanyalah bayangan diri sendiri sahaja, bukan dipengaruhi benda-benda halus kerana saya juga kerap berulang alik di waktu malam,” katanya lagi.
Bagi penjaga kebun di kawasan Sungai Lakit yang mahu dikenali sebagai Awang, dia menetap di rumah berkenaan sudah hampir 20 tahun.
“Isteri saya berada di Kuala Krai dan saya akan berulang alik untuk menguruskan kebun buah-buahan di sini. Tiada lagi kejadian pelik walaupun saya tinggal di kawasan hutan,” ujarnya.
The post Kampung Sungai Lakit Ada Kisah Seram? appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2oQJKTx✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment