Jangan Beri Tekanan Kepada Zaidatul: Jurulatih
PELARI pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.- Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Meskipun Zaidatul Husniah Zulkifli melakar kepantasan 11.45s untuk dinobatkan wanita terpantas negara semalam, atlet itu belum lagi disandarkan meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.
Itu komen pembimbingnya M Balamurugan dengan hasrat agar jaguh pecut muda itu tidak berada dalam tekanan, sekali gus boleh mengganggu latihan, emosi dan prestasinya ketika ini.
“Apa yang penting buat masa ini, saya akan pastikan Zaidatul dapat mengekalkan prestasi. Kita tidak mahu memberikan terlalu banyak tekanan kepadanya kerana matlamat utama adalah Sukan SEA.
“Kita hanya mensasarkan pingat dalam acara 100 meter (m) wanita kerana tidak mahu tekanan bertukar kepada gangguan,” kata Balamurugan yang bertindak selaku jurulatih pecut program Kita Juara 2017 ketika mengulas mengenai prestasi atlet itu di Afrika Selatan.
Sebagai rekod, pada Sukan SEA Singapura 2015, Zaidatul menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 11.93s.
Pingat emas ketika itu dimenangi Kayla Anise Richardson dari Filipina (11.76s), manakala perak oleh Tassaporn Wannakit dari Thailand (11.76s) dan gangsa milik Veronica Shanti Pereira, Singapura (11.88s).
Ketika ditanya sama ada atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Rio, Brazil, 2016 itu mampu memecahkan rekodnya selepas ini, Balamurugan tidak menolak kemungkinan itu kerana Zaidatul ketika ini berada di kemuncak prestasi.
Jurulatih dari Perak itu pada masa sama menyifatkan latihan dan pertandingan di Afrika Selatan ketika ini memberi kesan positif kerana masing-masing dapat memberikan tumpuan sepenuhnya.
“Apabila kembali ke Malaysia nanti, saya akan berbincang bersama Presiden (KOM) untuk memohon supaya mengadakan latihan di luar negara kerana bagi saya, mereka boleh berikan tumpuan tanpa apa-apa gangguan,” katanya yang mengakui Zaidatul seorang atlet yang tidak mudah berputus asa.
Semalam, Zaidatul memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 11.45s di ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan dan memadam rekod 24 tahun yang dipegang G Shanti (11.50s) yang dicipta pada aksi pra-Sukan SEA Kuala Lumpur, 7 Mei 1993.
Info rekod acara 100m wanita:
Rekod Kebangsaan – 11.45s : Dicipta oleh Zaidatul Husniah pada Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan pada 9 Mac 2017
Sukan SEA – 11.28s: Dicipta pelari Filipina, Lydia De Vega di Sukan SEA Indonesia 1987
Sukan Asia – 11.15s: Dicipta pelari Sri Lanka, Susanthika Jayasinghe di Sukan Asia Busan 2002
Sukan Komanwel – 10.85s : Dicipta pelari Nigeria, Blessing Okagbare di Sukan Komanwel Glasgow, 2014
Dunia – 10.49s : Dicipta pelari Amerika Syarikat, Griffith-Joyner di pra-Sukan Olimpik di Indianapolis, 1988
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mrrQpX✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment