'Lelaki Ini Konon Nak Beli, Tetapi Dia Larikan IPhone 7 Saya' – Mangsa Rugi RM3,699
Assalamualaikum semua. Minta semua berhati-hati dengan segala apa jenis urusan di laman Mudah. Niat di hati nak selesaikan masalah deposit pindah rumah lain sebab pemiliknya nak jual rumah. Tak mahu pening dan susah hati fikir nanti kena pindah bila-bila masa, saya dan suami mengambil keputusan untuk jual saja iPhone 7 128 GB, RM3,699, sebab duit boleh dicari.
Saya minta orang ramai viralkan kejadian ini agar orang lain tidak menjadi mangsa yang seterusnya. Saya dan suami memang sudah redha dengan apa yang berlaku di saat kami benar-benar memerlukan wang.
Ceritanya, ada seorang lelaki ini menghubungi saya semalam (2 Mac 2017) dan ajak berjumpa kerana dia serius mahu membeli iPhone 7 saya. Dia menghubungi saya dari petang dan nak berjumpa pada waktu malam. Disebabkan dia sanggup bayar wang deposit dulu, mestilah saya percaya.
Jadi kami pun pergilah berjumpa dengan lelaki itu di Gombak. Kami gerak dari Shah Alam jam 10 malam, tiba di Gombak jam 11.10 malam. Namun tak jumpa jalan yang diberi sehinggalah jam 12.15 pagi, kami jumpa lelaki itu di sebuah kedai makan.
Lelaki itu nampak normal dan baik, bersembang di kedai makan seperti biasa, bercerita tentang isteri dan dia bekerja di Menara DBKL serta buat kerja separuh masa sebagai juruteknik.
Memang lama juga kami berjumpa sambil dia tengok-tengok iPhone 7. Tiada sebarang tanda-tanda yang mencurigakan. Dia sempat terima panggilan dan bercerita tentang kerja dia dengan kawan menggunakan iPhone 7 saya yang telah dimasukkan sim kad miliknya, kononnya untuk ujicuba.
Bila dah cuba, tiba-tiba dia cakap duit tak ambil lagi sebenarnya sebab beg duit tertinggal tetapi dia dah suruh adik dia keluarkan duit. Dia pun menghubungi adik dia di depan kami dan bercakap tentang limit pengeluaran duit, kononnya dia hairan kenapa limit pengeluaran dia hanya RM2,000 sahaja menyebabkan dia tak boleh keluarkan wang lebih. Dia pun ajar adik dia bagaimana nak tambah limit dalam ATM.
Segalanya kelihatan seperti biasa sehinggalah adik dia sampai di tempat itu dengan kereta Toyota Vios berwarna hitam membunyikan hon ke arahnya. Dia jawab panggilan sambil berjalan ke kereta kononnya nak ambil duit. Suami pun ikutlah dia sebab nak ambil iPhone 7 itu.
Lelaki itu sambil bercakap menggunakan iPhone 7 terus melompat dan lari selaju-lajunya masuk ke dalam kereta dan terus pergi dengan melarikan iPhone 7 saya. Suami cuba kejar, malangnya kereta itu memang sudah bersedia untuk memecut. Suami sempat ambil nombor pendaftaran kenderaan itu PFP 6*6*.
Kejadian berlaku sangat pantas dan ramai yang nampak sebab kedai makan itu penuh pada malam hari kejadian. Penyangak sekarang dah tak kisah buat kerja di tempat orang ramai.
Tujuan saya minta semua viralkan kejadian ini adalah orang ramai berhati-hati. Inilah pengajaran bagi kami bagi awal tahun 2017.
Nota: Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook pengadu.
✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment