Ri Jong-chol Disenarai Hitam Daripada Masuk Malaysia
Spread the love
KUALA LUMPUR – ‘Pakar kimia’ Korea Utara, Ri Jong-chol, yang sebelum ini ditahan polis Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, kini disenarai hitam daripada memasuki negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ini berikutan kerajaan Malaysia tidak mahu wujudnya sebarang elemen yang mahu menjadikan negara ini sebagai pangkalan agenda tersembunyi.
“Beliau masuk ke negara ini dengan hasrat untuk bekerja dengan sebuah syarikat, namun siasatan polis mendapati beliau tidak bekerja di syarikat berkenaan.
“Sebaliknya aktiviti yang beliau lakukan ialah aktiviti yang kerajaan Malaysia tidak pernah kehendaki…kita tidak mahu elemen seperti ini berada di negara kita,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-7 Majlis Belia Felda Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan kes pembunuhan Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 (klia2) pada 13 Feb. Jong Nam dilaporkan menggunakan pasport atas nama Kim Chol semasa berada di negara ini.
Ahmad Zahid berkata Jong-chol, 47, yang kini berada di depoh tahanan Jabatan Imigresen akan diterbangkan ke Beijing malam ini dan seterusnya ke Pyongyang, diiringi dua pegawai Kedutaan Korea Utara.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam berkata Jong-chol, yang direman sejak 18 Feb lepas, akan dibebaskan berikutan kekurangan bukti untuk mendakwanya.
Jong-chol direman sejak 18 Feb berhubung kes pembunuhan Jong Nam dan perintah reman itu tamat hari ini.
Semasa ditanya mengenai dakwaan bahawa dua suspek yang dicari berhubung siasatan itu dipercayai ‘bersembunyi’ di Kedutaan Korea Utara, Ahmad Zahid berkata beberapa prosedur diplomatik perlu diikuti.
“Selagi seseorang itu berada di mana-mana premis di mana-mana kedutaan, kita perlu mengikut peraturan prosedur diplomatik. Waran itu bukan sahaja untuk diserahkan tetapi beberapa prosedur diplomatik perlu diikuti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, waris tidak semestinya perlu tampil ke negara ini untuk memberi sampel DNA bagi pengecaman mayat.
Terdapat kaedah lain untuk mendapatkan sampel berkenaan, katanya tanpa mengulas lanjut kaedah itu.
Ketika ditanya hubungan antara Kuala Lumpur dan Pyongyang berikutan Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol yang dilaporkan berterusan mengecam kerajaan Malaysia berhubung siasatan pembunuhan itu, Ahmad Zahid membayangkan kedutaan itu akan membayar ‘harga yang mahal’ atas tindakan berkenaan.
“Sebagai seorang duta, biarpun skripnya datang daripada sumber yang beliau sendiri ketahui, tetapi dia harus menghormati sistem perundangan, etika, budaya dan kelaziman yang dilakukan negara kita dan sistem diplomasi antarabangsa harus dihormati,” katanya.
Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan pihak polis menjalankan siasatan secara profesional berdasarkan bukti kukuh menerusi empat elemen iaitu DNA, elemen
forensik, bahan kimia yang digunakan dan rakaman kamera litar tertutup berdefinisi tinggi.
Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita
yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.
Jong-nam, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Dua wanita asing iaitu Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu lepas atas tuduhan membunuh Kim Chol. – BERNAMA
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment