Hi! Welcome Back and Stay Tune! Adakah FATAH dan HAMAS punca sebenar Palestin berpecah? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Adakah FATAH dan HAMAS punca sebenar Palestin berpecah?

Adakah FATAH dan HAMAS punca sebenar Palestin berpecah?

Tepat pada 22 Mac yang lalu, kita di Malaysia ni dah menyambut dan mengenang hari lahir seniman negara Tan Sri P. Ramlee. Tapi pada hari yang sama jugak, dunia Islam khususnya bumi Palestin mengenang kesyahidan seorang tokoh pejuang jihad iaitu Sheikh Ahmed Yassin yang juga merupakan pengasas HAMAS.

Sheikh Ahmed Yassin dibunuh oleh tentera Israel meggunakan roket dan dikatakan hampir seluruh badannya hancur kecuali kepala. Bagaimanapun, pembunuhannya tak melumpuhkan HAMAS, malah menguatkan lagi pertubuhan itu.

Sheikh Ahmed Yassin syahid dibunuh Zionis Israel. Imej dari gazaalan.net

Untuk maklumat, HAMAS adalah salah satu parti yang berpengaruh di Palestin. Selain HAMAS, ada lagi sebuah parti yang terkenal iaitu FATAH. Walaupun begitu, dua pertubuhan ni tak berkongsi ideologi yang sama, malah pernah bersengketa sesama sendiri.

Oleh itu, SOSCILI kali ni akan membincangkan tentang perjuangan HAMAS dan hubungan pertubuhan ni dengan FATAH, walaupun kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama iaitu membebaskan bumi al-Aqsa.

Walaupun lumpuh dan buta sebelah mata, lelaki ini menggegarkan panggilan jihad menentang Zionis

Nama seperti Yasser Arafat memang tak asing lagi dalam sejarah perjuangan Palestin. Tapi selain Arafat, ada lagi seorang tokoh perjuangan Palestin yang tak kurang hebatnya iaitu Sheikh Ahmed Yassin atau nama sebenarnya Ahmed Ismail Hassan Yassin.

Sheikh Ahmed dilahirkan pada tahun 1937 di al-Jura, sebuah perkampungan kat bandar Ashkelon (sekarang dah jadi Wilayah Israel). Dia dan ratusan ribu warga Palestin telah dihalau keluar dari wilyah tu dan berhijrah ke Gaza bila berlakunya pembentukan negara haram Israel dan Perang Arab-Israel pada 1948.

Waktu remaja, dia terlibat dalam kemalangan masa bersukan yang menyebabkan kakinya lumpuh. Walaupun begitu, kekurangan ni tak pernah menghalangnya dalam memperjuangkan kebebasan Palestin. Pada 1989, Sheikh Ahmed dan beratus pejuang Hamas ditangkap Israel dan dua tahun kemudian dihukum penjara 15 tahun atas 9 pertuduhan termasuklah penculikan, pembunuhan dan penubuhan Hamas.

Kekurangannya tak pernah jadi penghalang dalam menyeru perjuangan jihad. Imej dari Pelangi Muslim.

Kesan dari penahanan dan penderaan Israel, mata kanannya buta dan mata kirinya pulak kabur. Dia jugak lumpuh seluruh anggota badan kecuali bahagian kepala. Tapi pada 1 Oktober 1997, hasil rundingan antara Jordan dan Israel, beliau dibebaskan. Sheikh Ahmed jadi pertukaran dengan dua ejen Israel yang kena tangkap masa cuba nak bunuh Ketua Biro Politik HAMAS, Khaled Mesh’al.

Lepas dibebaskan, Sheikh Ahmed teruskan kerjanya sebagai Mursyidul Am HAMAS dan terus menyeru umat Palestin menentang penjajahan Israel. Israel pulak makin tak puas hati dan banyak kali cuba bunuh Sheikh Ahmed, tapi tak berjaya. Tapi akhirnya pada 22 Mac 2004, beliau terkorban bila ditembak 3 buah roket oleh helikopter Apache AH-64 milik tentera Israel lepas je selesai tunaikan solat Subuh kat sebuah masjid.

Kejadian tu mengorbankan Sheikh Ahmed dan anaknya, Abdul Ghani. Seperti yang dijangka, walaupun beliau dah tiada, api perjuangannya tak pernah padam. Syahidnya Sheikh Ahmed tak sekali-kali melumpuhkan HAMAS, malah menambahkan lagi sokongan rakyat kepada pertubuhan itu. Ini kerana perjuangan HAMAS masih belum selesai.

Abdel Aziz al-Rantissi (kiri) yang juga digelar sebagai ‘Singa Palestin’ adalah antara pengasas HAMAS. Beliau jugak dibunuh Israel sebulan selepas Sheikh Ahmed Yassin. Imej dari alchetron.com

Apa beza HAMAS dengan Fatah?

Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (HAMAS) yang bermaksud ‘Gerakan Pembebasan Islam’ adalah satu gerakan yang mula ditubuhkan pada 1987. Sebenarnya gerakan ini pada asalnya dipelopori oleh Ikhwanul Muslimin dari Mesir yang sentiasa bagi bantuan pada perjuangan Palestin sejak Perang Arab-Israel 1948 lagi. Ikhwanul Muslimin adalah gerakan Islam yang muncul pada 1928 dengan membawa ideologi Islam di Mesir.

Lepas Perang Arab-Israel 1948, Ikhwanul Muslimin mula bergerak di Gaza dan Tebing Barat. Sheikh Ahmed Yassin sendiri aktif dalam gerakan ni. Akhirnya pada 1987, HAMAS ditubuhkan dan Sheikh Ahmed Yassin dilantik sebagai pemimpin spiritualnya (Mursyidul Am). Ideologi gerakan ini agak berbeza dengan pertubuhan lain sebab mereka membawa Islam dan jihad dalam dasar mereka.

Hassan al-Banna adalah pengasas Ikhwanul Musilimin. Beliau dibunuh pada 12 Feb 1949. Imej dari Your Middle East.

Bagi HAMAS, perjuangan membebaskan Palestin adalah tanggungjawab semua umat Islam di dunia ini. HAMAS jugak yakin yang perjuangan menentang Zionis adalah perjuangan untuk hidup dan bukannya hanya merebut sebuah negara. Walaupun begitu, HAMAS masih mengiktiraf kebebasan beragama terutamanya kaum Kristian di Palestin.

Berbeza dengan HAMAS, FATAH ditubuhkan lebih awal iaitu pada tahun 1959 oleh Yasser Arafat dan rakan-rakannya. Pertubuhan ni mula masuk politik pada 1965 dan lepas tu menyertai Palestine Liberation Organization (PLO) pada 1967. PLO adalah gabungan pelbagai parti dan organisasi di Palestin.

Pada asalnya, penubuhan FATAH jugak dipengaruhi oleh Ikhwanul Muslimin. Tapi bila FATAH banyak bergantung dengan sokongan negara-negara Arab lain, ideologinya mula berubah kepada sekular dan nasionalis. Akhirnya pada 1960, Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan yang diorang menentang dasar FATAH dan itulah perpecahan pertama antara para pejuang Palestin.

Dari kiri Gaddafi (pemimpin Libya), Yasser Arafat (Palestin) & Gamal Abdel Nasser (Presiden Mesir) kat satu majlis lepas tamatnya latihan tentera di Damsyik, Syria 1970. Imej dari telesurtv.net

Sikap berlembut FATAH dengan Israel tak diterima oleh HAMAS

Seperti yang diceritakan tadi, perbezaan ideologi antara FATAH dan HAMAS cukup untuk membuatkan dua parti ni berkonflik. HAMAS dengan sikapnya yang tak nak sesekali berlembut dengan Israel, berbeza dengan FATAH yang banyak berlembut dengan Israel. Menurut Dr. Abu Hanifah Haris dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya, konflik awal antara HAMAS-FATAH adalah bila PLO (yang dikuasai FATAH) terima resolusi Perjanjian Damai Madrid 1991. Hasilnya, Israel tarik balik status pengganas pada PLO.

“Kemuncak ketegangan FATAH-HAMAS berlaku pada 1993, apabila PLO menandatangani Perjanjian Damai Oslo antara PLO dan Israel. Tindakan tu dilihat bercanggah dengan pandangan majoriti rakyat Palestin, termasuk HAMAS yang melihat bahawa kerjasama dengan Israel adalah sia-sia dan mengkhianati kepercayaan rakyat Palestin terhadap PLO.” – Dr Abu Hanifah, Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Jawapannya kepada SOSCILI.

Arafat bersalam dengan Yitzhak Rabin (PM Israel) masa Perjanjian Oslo 1991. Imej dari Youtube.

Perjanjian Oslo ditolak oleh HAMAS dan rakyat Palestin sebab perjanjian tu hanya menguntungkan Israel dan dilihat menggadaikan bumi Palestin. Menurut Dr Abu Hanifah lagi, HAMAS melihat tindakan Arafat (pemimpin PLO) sebagai terburu-buru dalam mengejar kemerdekaan Palestin sampaikan sanggup menggadaikan prinsip asal perjuangan diorang. (Klik sini untuk baca isi Perjanjian Oslo.)

Akibat dari konflik tu, HAMAS ambil keputusan untuk memboikot Pilihan Raya 1996 yang seterusnya menyaksikan FATAH menang. Arafat pulak dilantik jadi Presiden Palestinian National Authority (PNA) iaitu kerajaan separa bebas di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. HAMAS yang diiktiraf sebagai pertubuhan pengganas oleh Israel, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) mula jadi mangsa di negara mereka sendiri.

Ini kerana PNA dilihat sebagai kerajaan yang jadi boneka Israel dan Barat. Muhammad Dahlan (Menteri Dalam Negeri Palestin) buat banyak tangkapan, memenjara dan menyeksa ramai anggota HAMAS khususnya dari Briged al-Qassam.

“…para pemimpin PLO berserta konco-konco dan jentera-jentera mereka menangkap, menyeksa, memenjara dan membunuh para pejuang Palestin. Sebagai contoh peristiwa pembunuhan Kamal Khalil daripada Briged al-Qassam pada 4 April 1995 dan juga peristiwa Black Friday di mana pasukan keselamatan PA (Palestine Authority) membunuh 14 anggota HAMAS.” – HAMAS: Daripada Underground Kepada Parti Pemerintah, m/s 65.

Tapi pada Pilihan Raya 2006, HAMAS ambil keputusan untuk bertanding. Keputusan yang mengejutkan jadi bila HAMAS menang dalam Pilihan Raya tu. Maka berlaku lagi konflik antara dua parti ini.

Sayap ketenteraan HAMAS: Briged Al-Qassam. Imej dari Islamic Invitation Turkey.

Terbentuknya dua pemerintahan di Palestin

Pilihan Raya 2006 menyaksikan HAMAS menang 74 kerusi daripada 132 kerusi. Ini memberikan tamparan hebat pada FATAH yang dah berkuasa di Palestin sejak tahun 1993. Antara faktor yang menyebabkan HAMAS menang adalah:

  1. Rekod HAMAS  yang bersih dari skandal rasuah, salah guna kuasa dan takde sebarang usaha dari parti ni yang nak berbaik-baik dengan Zionis Israel.
  2. Anggota dan aktivis HAMAS terkenal dengan disiplin dan taat setia kepada pemimpin dan organisasi.
  3. Kerja-kerja kebajikan HAMAS yang berkesan kepada masyarakat Palestin.
  4. HAMAS jadi pilihan alternatif perjuangan atas dasar Islam kepada rakyat Palestin yang kebanyakannya dah kecewa dengan cara sebelumnya yang gagal memerdekan Palestin.
  5. Prinsip HAMAS yang tak sekali-kali mengiktiraf negara Israel dan tegas menyatakan yang Israel adalah entiti haram yang ditegakkan di atas bumi Palestin yang berdaulat.

Israel cukup marah bila tahu HAMAS menang. Imej dari Times of Israel.

Tuduhan HAMAS sebagai pertubuhan pengganas Islam jugak dapat dinafikan bila 5 warga Kristian bertanding atas tiket HAMAS dalam Pilihan Raya ini. Akibat dari kemenangan ini, Ismail Haniyeh (pemimpin utama HAMAS) dilantik menjadi Perdana Menteri. Apa yang lagi menarik, seorang Kristian jugak dilantik jadi menteri oleh HAMAS. Tapi kerajaan ni tak bertahan lama bila…

 “Kemuncak konflik FATAH-HAMAS yang terkini berlaku pada tahun 2007 apabila Mahmoud Abbas (Presiden Palestin) bertindak memecat Ismail Haniyeh… akibat tindakan HAMAS yang cuba mengukuhkan pengaruh di Semenanjung Gaza, di samping tindakan Ismail Haniyeh mengisytiharkan bahawa kerajaan Palestin tidak mengiktiraf kerajaan Israel dan pandangan tersebut ditentang FATAH yang melihat pandangan tersebut hanya mewakili pandangan HAMAS.” – Dr Abu Hanifah, Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Jawapannya kepada SOSCILI.

Ismail Haniyeh bertemu dengan kumpulan Yahudi Ortodok (Neturei Karta) yang menentang Zionis. Imej dari Times of Israel.

Abbas jugak letakkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Keselamatan di bawah pejabat Presiden dan tubuhkan pasukan keselamatannya sendiri yang disponsor Amerika Syarikat. Kesannya, pasukan keselamatan Abbas selalu mengganggu dan buat huru-hara kat Palestin untuk menggulingkan HAMAS. Dua pertubuhan ni jugak saling menculik antara satu sama lain.

Hubungan antara HAMAS dan FATAH yang pada mulanya nampak tak berkonflik akhirnya bertembung sesama sendiri. Konflik antara HAMAS dan FATAH ini nampak agak serius selepas kematian pemimpin utama mereka, Sheikh Ahmed Yassin dan Yasser Arafat. Ini kerana hubungan Yasser Arafat dan Sheikh Ahmed Yassin sebenarnya baik sebab diorang cuma bebeza pendapat tapi sama matlamat untuk kemerdekaan Palestin.

“Namun selepas kedua-duanya meninggal dunia pada tahun 2004, hubungan antara kedua-dua pertubuhan ini semakin tegang kerana pengganti masing-masing meneruskan perjuangan asal pemimpin mereka. HAMAS melihat FATAH terlalu berlembut dengan Israel demi kemerdekaan Palestin sehingga mengikut apa sahaja kemahuan Israel.” – Dr Abu Hanifah, Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Jawapannya kepada SOSCILI.

Walaupun lain ideologi, hubungan antara Arafat & Ahmed Yassin tetap baik. Imej dari mymfb.com

Kesan dari sengketa ini dah menyebabkan wujudnya dua kerajaan iaitu HAMAS di Semenanjung Gaza dan FATAH di Tebing Barat. Walaupun macam tu, kerajaan FATAH tak sah dari segi perlembagaan sebab tak dibentuk dari persidangan parlimen. Israel dan AS pulak dengan pantas bagi bantuan pada FATAH dengan tarik balik sekatan kat Tebing Barat dan bagi banyak bantuan kewangan.

Keadaan negara Palestin sekarang sejak diceroboh oleh Israel. Imej dari HAMAS: Daripada Underground Kepada Parti Pemerintah.

Sebenarnya, tindakan FATAH ni memang betul-betul kecewakan ramai pihak khususnya rakyat Palestin. FATAH jugak dilihat lebih pentingkan hubungan diorang dengan AS dan macam biasa terlalu berlembut dengan Israel. Dari tujuan asal yang nak menentang Zionis Israel, mula berubah kepada pertembungan sesama umat Palestin sendiri.

Bermulanya rundingan damai FATAH-HAMAS

Seoarang wanita lalu kat depan mural Sheikh Ahmed Yassin & Yasser Arafat di Gaza. Imej dari haaretz.com

Rundingan antara FATAH dan HAMAS dah bermula sejak dari tahun 2011 dan terus bersambung sampai tahun 2014. Lepas banyak kali cubaan, akhirnya pada tahun 2014 FATAH dan HAMAS bersetuju untuk adakan perjanjian damai dan tubuhkan kerajaan campuran.

“Kedudukan kedua-duanya (HAMAS dan FATAH) sangatlah kritikal dalam banyak aspek, sebagai contohnya HAMAS…dua tahun lepas mereka sangat berharapkan kepada Mesir tapi keadaan dah berlaku sebaliknya. Sebelum dari itu mereka mendapatkan bantuan yang banyak dari Syria disebabkan pusat kegiatan mereka adalah di Syria, juga tak dapat diinginkan dengan baik…

HAMAS juga menghadapi masalah ekonomi yang agak teruk bila beribu pegawainya tidak mendapat gaji. Itulah tekanan yang dihadapi oleh HAMAS sehingga mereka terpaksa mengambil tindakan itu (berdamai).” – Prof Dr Kamaruzaman Yusof, Fakulti Tamadun Islam UTM. Dipetik dari Astro Awani.

Manakala kat pihak FATAH pulak, mereka nampak yang sokongan terhadap parti tu mula menurun kat Tebing Barat. FATAH jugak tak dapat banyak bantuan seperti mana yang pernah didapat masa zaman Arafat. Akhirnya, diorang ambil keputusan untuk berdamai dan lebih baik buat kerajaan perpaduan daripada kalah masa pilihan raya.

Pada tahun ni, hasil dari rundingan kedua-dua pihak di Moscow, mereka bersetuju membentuk kerajaan perpaduan sebelum pilihan raya. Kerajaan perpaduan tu jugak akan dikenali sebagai Majlis Kebangsaan.

“Saya berpendapat terdapat cubaan kerajaan Rusia untuk jadi ‘Polis Dunia’ iaitu jawatan yang selama ini dipegang oleh Amerika sebelum ini. Kerajaan Rusia mengambil usaha tersebut sebagai langkah awal bagi mendapatkan kepercayaan negara-negara Arab, termasuklah Palestin.” – Dr Abu Hanifah, Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Jawapannya kepada SOSCILI.

Dari kiri: Ismail Haniyeh & Mahmoud Abbas masa berjumpa kat Moscow, Rusia baru-baru ni. Imej dari newtr.tv

Perkara ni jugak jadi bila kerajaan Palestin (terutamanya HAMAS) dah tak nak lagi AS jadi orang tengah sebab selama ni pun AS hanya pentingkan sekutunya Israel. Menurut Dr Abu Hanifah lagi, Mahmoud Abbas jugak akan dapat tekanan dari Liga Arab, sebab Liga Arab anggap yang HAMAS ni pertubuhan pengganas dan takde faedah kalau kerjasama dengan mereka.

“Hubungan FATAH-HAMAS tidak dapat dipulihkan selagi tuntutan HAMAS (yang mendapat sokongan majoriti rakyat Palestin) tidak dipenuhi oleh FATAH, khususnya penolakan sebarang kerjasama dan perjanjian damai dengan Israel.” – Dr Abu Hanifah, Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Jawapannya kepada SOSCILI.

Oleh itu, walaupun perkembangan hubungan antara FATAH dan HAMAS ni nampak baik. Tapi kejayaan hubungan ni masih lagi susah kita nak jangkakan. Sebabnya, kesungguhan Rusia sebagai orang tengah pun masih lagi belum jelas dan pelbagai lagi halangan seperti ideologi kedua-dua parti ni serta pendirian Liga Arab.

Sebenarnya hanya Israel yang boleh tamatkan konflik Palestin-Israel

Keadaan di Palestin tak pernah aman sejak negara haram Israel ditubuhkan pada 1948. Semenjak itu jugaklah warga Palestin berjuang untuk membebaskan tanah air mereka sendiri. Walaupun, tak dinafikan yang hubungan antara FATAH dan HAMAS jugak menyumbang kepada keadaan yang tak stabil di Palestin. Tapi punca utama konflik ini adalah sikap negara haram Israel sendiri.

“Konflik Palestin-Israel tidak akan selesai selagi Israel tidak bertolak ansur dan mengundurkan tentera mereka daripada Palestin. Hal ini kerana, kunci kepada pemulihan hubungan Palestin-Israel adalah Israel sendiri kerana merekalah yang menceroboh wilayah Israel sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.” – Dr Abu Hanifah,  Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Jawapannya kepada SOSCILI.

Imej dari Giphy.

Kesimpulan yang kita dapat buat adalah perpaduan, kerjasama dan kesatuan antara rakyat adalah sangat penting dalam mewujudkan sebuah negara yang kuat. Konflik yang berlaku antara FATAH dan HAMAS, kelemahan negara-negara Arab dan kelemahan umat Islam sendiri, dah membuktikan yang kita gagal mempertahankan kiblat pertama umat Islam ini.

[Artikel ini banyak merujuk buku, HAMAS: Daripada Underground Kepada Parti Pemerintah (tulisan Dr Maszlee Malik) dan terima kasih juga diucapkan kepada Dr Abu Hanifah dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya atas kerjasama dari beliau]

Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2nlH8Lw

✍ Sumber Pautan : ☕ SOSCILI


(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.