Malaysia, India Adalah Pemimpin Orde Baharu Yang Sedang Muncul Di Asia – PM Najib
NEW DELHI: Malaysia dan India sudahpun diiktiraf sebagai orde baharu yang sedang muncul di Asia dan di dunia dan oleh itu, kedua-dua negara perlu bekerjasama dengan lebih rapat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata mereka perlu terus bekerjasama bagi membina masa depan yang berdasarkan kepada kestabilan, kemakmuran dan saling memahami sebagai paksi global yang berpindah ke Timur.
“Dalam Abad Asia ini, India dan Malaysia mempunyai begitu banyak untuk ditawarkan antara satu sama lain, rantau ini dan di luar rantau ini – sebagai contoh mengenai kesederhanaan, ketamadunan, negara yang aman yang menghargai pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat kita, dan usaha mendapatkan pertumbuhan yang saksama dan lestari,” katanya.
Dalam satu artikel yang ditulis untuk Hindustan Times, perdana menteri yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke India, berkata Malaysia dan India mempunyai hubungan yang mendalam dan bersejarah, sejak beberapa abad yang lalu.
“Kita sentiasa menjadi rakan dagang, yang melihat ke luar dan berminat untuk menjalin persahabatan dengan jiran tetangga dan rakan-rakan di rantau ini. Tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 hubungan rasmi diplomatik,” katanya.
Najib berkata hubungan di antara kedua-dua negara adalah kukuh, sambil menambah sejak 1998, India menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dan sejak sedekad lepas atau lebih, perdagangan itu telah meningkat lebih daripada empat kali ganda.
Pada masa ini, India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar, destinasi ketujuh terbesar, sumber import ke-12 terbesar Malaysia dan juga pada ketika ini juga merupakan pelabur ke-20 terbesar Malaysia dengan jumlah pelaburan bernilai US$2.31 bilion.
Perdana menteri juga menegaskan Malaysia mempunyai peratusan tertinggi dispora India di luar India, dengan tujuh peratus penduduknya berasal dari India.
“Dan rakyat Malaysia keturunan India ini telah memainkan peranan penting dalam membina negara kami. Rakyat Malaysia keturunan India telah sentiasa di barisan hadapan urus tadbir di Malaysia, dalam perkhidmatan awam kami, perniagaan, hiburan, pendidikan dan sudah tentu, makanan – yang anda mungkin sudah tahu, sangat penting kepada rakyat Malaysia!
Najib berkata beliau benar-benar boleh mengatakan tanpa rakyat Malaysia keturunan India, Malaysia tidak akan menjadi seperti hari ini, dan mereka membentuk satu sebab yang istimewa kenapa ia kelihatan begitu semula jadi bagi kedua-dua negara untuk memupuk hubungan yang rapat dan lebih mesra. — Bernama
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2ohBTRB✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment