Hi! Welcome Back and Stay Tune! Korang tau tak kita ada pemain-pemain Scrabble nombor 1 di dunia? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Korang tau tak kita ada pemain-pemain Scrabble nombor 1 di dunia?

Korang tau tak kita ada pemain-pemain Scrabble nombor 1 di dunia?

Kita mesti dah biasa dengar nama-nama seperti adik-beradik Sidek, Mokhtar Dahari, Datuk Nicol David dan Dato’ Lee Chong Wei. Dorang semua ni sememangnya merupakan kebanggaan Malaysia dan dan layak digelar sebagai lejen dalam sukan masing-masing.

Tapi dalam artikel ni Soscili nak perkenalkan sorang lagi ‘orang Malaysia’ yang lejen dalam bidang sukan dia yang tersendiri…

Perghh jambang dia. Imej dari rogercullman.com.

Nama dia adalah Nigel Richards.

So siapa Nigel ni? Apa kaitan dia dengan Malaysia?

Kalau Tiger Woods merupakan raja golf dan Michael Jordan merupakan raja basketball… Nigel pulak adalah raja Scrabble! Nigel bukan je pemain Scrabble terbaik dunia, malah dia tinggal kat Malaysia dan juga mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa!

Berasal dari New Zealand, Nigel diperkenalkan oleh Scrabble pada umur 28 tahun oleh mak dia. Sebenarnya mak dia tak larat asyik kalah dengan Nigel dalam semua jenis game, so oleh kerana Nigel tak masuk universiti, tak berapa reti mengeja dan tak berapa pandai English, mak dia ingat susahlah sikit Nigel nak menang.

Kesian mak. Kempunan nak menang.

Tak lama lepas tu, Nigel join dalam Kejohanan Scrabble New Zealand dan terus bergiat aktif. Malah Nigel dapat tempat pertama di hampir semua kejohanan yang dia join, termasuklah Kejohanan Amerika sebanyak 5 kali, Kejohanan Terbuka UK sebanyak 7 kali, Kejohanan Terbuka Singapura sebanyak 11 kali dan Piala Raja di Bangkok sebanyak 13 kali.

Nigel juga merupakan satu-satunya pemain yang pernah memenangi Kejohanan Dunia lebih daripada sekali, iaitu sebanyak tiga kali!

Imej Nigel (kanan) bersama Presiden Scrabble Amerika Utara. Imej dari FiveThirtyEight.

Bergantung kepada peraturan pertandingan, Nigel boleh mewakili Malaysia ataupun New Zealand. Contohya dalam Causeway Challenge, Nigel mewakili Malaysia dalam menentang Singapura. Malah sebelum artikel ini ditulis, Nigel juga telah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dan mendapat tempat pertama!

Nigel dengan Muhammad Ali Ismail, presiden dan pengasas Persatuan Scrabble Malaysia. Imej dari Facebook.

Nigel pernah menang Scrabble dalam bahasa Perancis… walaupun dia tak faham pun bahasa tersebut!

Pencapaian Nigel yang membuatkan namanya terus menjadi tajuk utama akhbar antarabangsa adalah bila dia memenangi Kejohanan Dunia Scrabble Bahasa Perancis pada tahun 2015 setelah menghafal kamus bahasa Perancis dalam 9 minggu!

Ibaratkan Christiano Ronaldo menang NBA dengan praktis slam dunk je.

Nigel bukan je menang tanpa tahu bahasa Perancis, tapi dia juga telah menghafal perkataan-perkataan dalam kamus tanpa tahu maksud perkataan tersebut. Sampaikan waktu pusingan akhir, Nigel boleh tegur lawan dia yang guna perkataan salah! Di akhir perlawanan, dia kena guna penterjemah untuk ucap terima kasih kat penonton.

Nak tau apa rahsia dia? Sebenarnya Nigel ada memori fotografik, di mana dia boleh ingat satu-satu kedudukan dan susunan huruf dalam memori walaupun pernah tengok sekali je. Nak lagi bila dalam permainan tahap tinggi, Scrabble lebih banyak menggunakan matematik daripada bahasa.

“Saya tak pasti kalau ada apa-apa rahsia (untuk menang). Cuma perlu belajar banyak perkataan!” – Nigel Richards, dalam satu temuramah selepas menjadi juara Kejohanan Dunia 2011.

Nigel ni otak matematik ke hapa? Imej dari Anthony Bonato.

Tapi macam mana Nigel boleh main untuk Malaysia pulak?

Pada tahun 2000, Nigel ditawarkan bekerja di Malaysia oleh seorang peminat Scrabble, dan sejak itulah Nigel tinggal kat sini. Nigel mula buat kerja programming sebab skill matematik dia yang hebat. Setelah menang pelbagai kejohanan, dia mula gunakan duit tersebut untuk melabur dalam hartanah.

Malah

Kita nampak huruf je, Nigel nampak alam semesta. Imej dari Pinterest

Sebenarnya selain Nigel, Malaysia memang mempunyai rekod yang sangat baik dalam pertandingan Scrabble antarabangsa. Di Kejohanan Dunia 2007, team Malaysia diwakili oleh Suanne Ong dan Ganesh Asirvatham yang memang tak kurang lejen.

Suanne merupakan rakyat Malaysia yang pertama dan perempuan pertama menjadi juara Kejohanan Dunia Belia pada 2009 masa umur 16 tahun, dan dia juga pernah mengalahkan Nigel setahun sebelumnya untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan Scrabble Piala Raja pada tahun 2008.

Ganesh pulak adalah saingan akhir Nigel pada Kejohanan Dunia pada tahun 2007. Sebelum itu, dorang berdua pernah main bersama sebanyak 20 kali dan Nigel hanya pernah kalahkan Ganesh sekali je. Waktu tu, Ganesh merupakan pemain nombor satu dunia dan pemegang rekod Guinnes Dunia di mana dia bermain paling banyak game Scrabble sekaligus.

“Masa tu (semasa Kejohanan Dunia 2007), saya telah mengambil keputusan untuk fokus pada dalam permainan Scrabble untuk buktikan yang saya boleh jadi pemain terbaik di dunia. Saya dengan Nigel berkawan dan dalam perlawanan kami di Malaysia, saya selalunya ada kelebihan lawan dengan dia. Malangnya, kemenangan berturut saya terhenti pada tiga game terakhir bila dia berjaya kalahkan saya.” – Ganesh Asirvatham, dalam temuramah dengan Cilisos.

Korang tengah tengok Nadal dan Federer dalam versi Scrabble.

Sampai sekarang, Nigel merupakan muka biasa di kalangan pemain Scrabble di Malaysia terutama sekali kat Kuala Lumpur. Alex Tan yang merupakan setiausaha dan bekas Presiden Persatuan Scrabble Malaysia kata Nigel ni seorang yang sangat rendah diri, pendiam, tapi peramah bagi yang kenal dia. Nigel dikatakan tak ada TV atau radio masa tinggal kat sini, tak minum arak atau merokok dan tak kahwin so tak ada lah anak.

Nigel jarang buat temuramah dengan media. Kata Alex lagi, Nigel memang tak suka kalau ada artikel yang kata dia ni seorang vegetarian sebab dia bukan. Dia tak suka sangat makanan kat Malaysia sebab dia rasa makanan kita pedas sangat. Tapi kemungkinan besar sebab utama dia pilih untuk tinggal kat Malaysia adalah kerana kita “peramah tapi masih buat hal masing-masing” dan ini sangat sesuai dengan gaya hidup dia.

Rakyat Malaysia memang peramah… tapi bukan kat jalan raya. Sebab tu Nigel suka bawa basikal. Imej dari Youtube

Pergh… so Nigel memang antara atlit Malaysia paling hebat dalam sejarah!

Kaya sebab main Scrabble je. Imej dari Wespa

Tapi selain daripada beberapa artikel seperti kat The Star dan The Malay Mail, tak banyak media tempatan yang cover pasal berita ni. Bukan je pasal Nigel, malah susah nak jumpa berita pasal juara Malaysia sendiri macam Ganesh dan Suanne walaupun mereka telah mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Malah ada satu ibu-bapa yang kami interview kata dorang terpaksa guna duit sendiri untuk hantar anak pergi mewakili Malaysia di Kejohanan Belia Dunia di Perth.

“Scrabble bukan sukan yang memerlukan ramai penonton. Orang kita kenal Scrabble ni sebagai game kanak-kanak dan sesuai untuk dimain bersama keluarga, dan jarang kita dengar Scrabble dalam pertandingan serius.” – Ganesh, sebab kenapa kurangnya sokongan dalam Scrabble di Malaysia.

Organisasi macam Persatuan Scrabble Malaysia dan Kelab Cendekiawan Scrabble yang bergabung dengan Kementerian Sukan Malaysia tak dapat pun apa-apa bantuan kewangan. Dorang banyak bergantung pada yuran keahlian sendiri dan daripada penganjur masing-masing. Walaupun begitu, dorang masih aktif dalam menganjurkan acara sepanjang tahun, di mana Nigel pun ada join sekali.

Korang mungkin boleh terserempak dengan Nigel kalau pergi mana-mana acara Scrabble, tapi korang jangan serbu dia minta selfie time dia tengah main game pulak… hilang fokus nanti.

>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mPj0nZ



✍ Sumber : ☕ SOSCILI


Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.