Segala Kemungkinan Kerjasama UMNO-PAS: PM
Spread the love
KOTA BHARU – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional (BN) mengutamakan langkah yang mendahulukan rakyat dalam sebarang kerjasamanya dengan PAS demi memastikan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, perdana menteri berkata pemimpin parti berkenaan perlulah mengetepikan ideologi sempit politik kepartian dalam jalinan kerjasama sedemikian kerana ia tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.
“Terima kasih, walaupun kita berbeza ‘baju’ dan ideologi tetapi demi kepentingan rakyat, demi kepentingan ummah, kita boleh bekerjasama.
“Dan inilah semangat yang perlu ada, bukan pemikiran yang sempit dan bukan keterlaluan (dalam) politik, tetapi rakyat mesti kita dahulukan,” katanya ketika berucap merasmikan UTC Kelantan (Pusat Tranformasi Bandar) di Jalan Hamzah di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Najib berkata kerjasama itu mestilah dikekalkan sebagaimana yang ditunjukkan sebelum ini dalam misi bantuan ‘Food Flotilla For Myanmar’, Perhimpunan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (RUU355) serta ketika banjir.
“Ini bukan hari kita berpolitik (tapi) hari kita bekerjasama… hari kita kerjasama macam kita kerjasama untuk ‘Food Flotilla For Myanmar’, masa banjir kita kerjasama, masa RUU355 kita kerjasama dan sebagainya.
“Inilah yang terbaik…jadi kalau ada pentas janganlah kongsi dengan orang lain,” katanya.
Najib, dalam nada sinis, turut mendakwa perdana menteri sebelum ini sering menganaktirikan Kelantan hanya kerana ia diperintah oleh PAS.
“Saya tidak macam ada pendahulu saya dahulu. Potong peruntukan untuk Kelantan kerana politik, kerana tak suka (PAS). Tapi (di bawah pentadbiran) saya, saya tambah peruntukan untuk Kelantan,” katanya.
Sebagai perbandingan, katanya, semasa Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8), Kelantan diberi peruntukan lebih RM3 bilion sedangkan di bawah RMK11, negeri itu menerima RM12.11 bilion yang merupakan pertambahan empat kali ganda.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan terminal baharu bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jarak serta kos pembinaan terminal dan laluan tambahan baharu itu.
Mengenai UTC Kelantan, perdana menteri berkata ia merupakan UTC ke-18 yang dibina kerajaan sejak diperkenalkan pada 2012.
UTC Kelantan, yang dibina dengan peruntukan RM37.8 juta, akan menempatkan 27 agensi kerajaan di bawah satu bumbung dan beroperasi dari 8.30 pagi hingga 10
malam setiap hari.
“Ini menjadikan UTC perkhidmatan kerajaan pertama di dunia yang beroperasi setiap hari dengan 41.7 juta pelanggan menggunakan perkhidmaan UTC di seluruh negara sejak 2012,” kata beliau.
Najib mengadakan lawatan dua hari ke Kelantan sejak semalam. – BERNAMA
[embedded content]
Loading…
Spread the love
✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment