Tiada Kegiatan Lanun Dilaporkan Di Selat Melaka Tahun Lepas – APMM
ALOR GAJAH: Tiada kegiatan lanun dilaporkan di Selat Melaka pada tahun lepas berbanding lapan kes serangan lanun pada 2015.
Pengarah Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Adon Shalan berkata kejayaan itu merupakan hasil daripada peningkatan rondaan dan risikan.
Selain itu, katanya, ia juga kerana jalinan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.
Beliau berkata penguatkuasaan berkesan yang dilakukan pihaknya itu membuktikan selat berkenaan adalah perairan yang selamat.
“Kegiatan lanun pada tahun lepas berjaya ditangani walaupun perairan berkenaan merupakan laluan utama industri perkapalan. Ini kerana kita menerima maklumat lebih awal daripada pihak-pihak tertentu.
“Pada 2015, sebanyak lapan kes dilaporkan dengan empat daripadanya merupakan percubaan yang berjaya dibanteras,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 112 orang awam dilantik sebagai anggota PSSMM yang berperanan sebagai mata dan telinga kepada APMM bagi kawasan Negeri Sembilan dan Melaka di daerah Maritim Kuala Linggi.
Adon berkata mereka yang dilantik akan menyalurkan maklumat bagi menangani isu keselamatan di perairan negara termasuk ancaman pengganas, pendatang tanpa izin, pelarian, lanun dan jenayah maritim merentas sempadan.
“APMM sentiasa menjalankan pelbagai program bersama masyarakat dan penduduk sekitar perairan di Wilayah Selatan bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai peranan dan tanggungjawab APMM.
“Kerjasama ini amat diperlukan APMM bagi membanteras jenayah di laut dengan lebih cekap dan efektif demi keselamatan masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata APMM menyasarkan seramai 5,000 anggota PSSMM sehingga pertengahan Mac ini bagi memperkukuhkan lagi agensi itu memandangkan terdapat 4,700 anggota PSSMM setakat ini.
— BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2mzPbaB✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment