Lelaki Maut Kereta Bertembung Bas Dekat Lipis
KUANTAN: Seorang lelaki maut setelah kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 5 Jalan Lipis-Benta dekat Lipis tengah hari tadi.
Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu mangsa Mohd Asri Bakar, 41, meninggal dunia di tempat kejadian manakala 30 penumpang bas berkenaan yang merupakan pelatih jururawat Kolej Kejururawatan Kubang Kerian, Kelantan tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta berseorangan dari arah bertentangan terbabas dan kemudian masuk ke laluan bas lalu merempuh bas itu.
“Akibat perlanggaran tersebut mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kereta,” katanya kepada Bernama.
Azry berkata bagaimanapun pemandu bas Mohd Nasir Hassan, 59, dan pemandu kedua bas itu Kamarulzaman Che Daud, 41, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata ketika kejadian, bas bersama kesemua penumpang berkenaan dalam perjalanan dari kolej kejururawatan itu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus.
Azry berkata mayat Mohd Asri dihantar ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis Haslizan Ramli berkata seramai 11 anggota bomba termasuk pegawai bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
— BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2lT8Bbs✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment