MAHB Penaja Emas KL 2017
DATUK Seri M. Saravanan (berdiri dua, kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Malaysia Airports Berhad diwakili Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali (duduk, kanan) dan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali (duduk, kiri) bagi tujuan penajaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN kesembilan hari ini.- Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini diumumkan sebagai Penaja Emas bagi menjayakan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan, yang turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 (KL 2017).
Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata melalui kerjasama itu, MAHB juga akan dikenali sebagai `Rakan Penyambut Delegasi KL 2017′ dan mengalu-alukan kedatangan hampir 7,000 atlet dan pegawai dari 10 negara ASEAN ke Malaysia.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mencatat hampir 53 juta pergerakan trafik penumpang tahun lalu, menjangkakan aliran tinggi semasa Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.
“Dalam memasuki tahun jubli perak, kami berasa kerjasama menerusi penajaan KL 2017 adalah cara terbaik bagi memenuhi misi mewujudkan pengalaman menyeronokkan bukan saja kepada atlet dan pegawai, malah kepada penumpang lain yang akan menggunakan lapangan terbang kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum majlis menandatangani perjanjian di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian berlangsung antara Badlisham yang mewakili MAHB dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-29 (MASOC) diwakili Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.
Badlisham berkata, sejumlah 53 juta penumpang menggunakan lapangan terbang itu tahun lalu, termasuk 38 juta adalah penumpang antarabangsa.
“Kami berhasrat menyuntik aktiviti pengalaman berkaitan KL 2017 di lapangan terbang supaya walaupun mereka yang tidak berpeluang menyaksikan Sukan SEA, dapat bersama mengalami keseronokan terhadap temasya sukan itu.
“Sukan adalah aktiviti universal yang mempromosi perpaduan dan menggalakkan kepelbagaian. KL 2017 juga termasuk Sukan Para ASEAN yang juga platform bagi atlet kurang upaya mempamerkan bakat dan keupayaan mereka bersaing di arena antarabangsa,” kata Badlisham.
Beliau berkata MAHB menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan seperti lif braille, perkhidmatan ‘buggy’, kerusi roda dan sebagainya bagi memenuhi keperluan golongan istimewa.
KL 2017 akan berlangsung dari 19-31 Ogos untuk Sukan SEA, manakala Sukan Para ASEAN dari 17-23 September. – BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2miHL90✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment