Cabaran terbesar Dian
Nama Dian Sastrowardoyo tidak asing lagi dalam industri hiburan tempatan. Kejayaan filem Ada Apa Dengan Cinta (2002) membuatkan nama Dian kekal diingati sehingga kini.
Selepas meraih pelbagai penghargaan menerusi watak Cinta itu, Dian kembali menggegarkan seluruh pawagam Indonesia menerusi filem biopik Kartini. Jika tahun lalu Dian muncul dengan sekuel AADC 2, tanggal 19 April ini kredibiliti Dian selaku antara pelakon wanita terbaik di Indonesia bakal terjawab.
Menurut Dian seperti yang dipetik menerusi Bintang.com, dia bersyukur mendapat tawaran daripada Legacy Pictures kerana kesempatan itu datang 20 tahun sekali.
“Ini adalah filem biopik pertama saya. Sejujurnya saya sangat beruntung kerana diberi peluang melakonkan watak tokoh bernama Kartini. Kebetulan saya memang mengagumi ketokohan dan perjuangan yang dibawa Kartini.
“Saya menerima tawaran itu kerana beranggapan ia hanya datang sekali. Rugi rasanya kalau saya menolak. Saya tersenyum dan bersyukur kerana yakin kesempatan sebegini datang 20 tahun sekali,” katanya.
Dian yang juga pelakon filem Ungu Violet berkata, melakonkan watak tokoh bukan semudah difikirkan kerana banyak perkara perlu dititikberatkan.
Oleh itu, sebelum memulakan penggambaran Dian terlebih dulu mengkaji latar kehidupan dan personaliti Kartini atau nama sebenarnya Raden Adjeng Kartini.
“Walaupun penat, tetapi saya bersyukur kerana dapat belajar banyak perkara. Saya dapat ilmu bagaimana belajar lakonan dengan betul selain meningkatkan kepercayaan diri. Dari situ saya sedar yang saya mampu melaksanakan tanggungjawab itu.
“Sepanjang penggambaran, saya dapat rasa bagaimana kehidupan Kartini dulu. Baik dari segi minat, semangat untuk belajar, hala tuju hidup dan kebebasan. Paling penting buku adalah perkara yang sangat dekat di hatinya,” katanya.
Selain perlu menjiwai seluruh hidup Kartini, Dian juga perlu bijak mengawal emosi tanpa perlu memberontak kerana dia digambarkan sebagai wanita Jawa yang masih memegang teguh tradisi.
“Zaman dulu wanita Jawa tidak akan melihat mata orang yang diajak bercakap, apatah lagi orang itu adalah lelaki atau orang yang lebih tua.
Jadi pandangannya paling tinggi sedagu.
“Oleh itu, dalam filem itu menuntut saya menyampaikan emosi dengan cara yang belum pernah saya lakukan. Sebagai contoh emosi itu perlu disampaikan secara sederhana namun perlu ditonjolkan dengan tegas,” katanya.
Dian berkata, watak Kartini adalah cabaran terbesar untuknya sepanjang menjadi pelakon. Malah Dian mengakui berasa terbeban untuk menghidupkan watak Kartini dalam filem itu.
“Bagi saya melakonkan watak Kartini ini adalah cabaran terbesar sebagai pelakon. Pada masa saya bangga kerana boleh melunaskan tanggungjawab itu seperti diinginkan pengarah. Saya mengibaratkan berlakon dalam filem itu seperti berada di ‘booth camp’. Di sinilah ujian sebenar seorang pelakon. Apatah lagi cara pengarahan Mas Hanung yang tidak suka membazir waktu,” katanya.
Selain perlu bijak mengawal emosi, watak Kartini ini juga menuntut Dian mempelajari bahasa Jawa dan Belanda. Dia juga perlu belajar menjadi wanita Jawa dengan segala gerak gerinya.
Meski berdarah Jawa, Dian mengakui ia cukup asing dengan segala budaya Jawa yang perlu diterapkan sebagaimana karakter Kartini.
“Bagi mempelajari adat istiadat Jawa, saya dibantu Dapur Film yang menyediakan jurubahasa Jawa. Begitu juga dengan bahasa Belanda, ada gurunya juga. Dalam filem itu terdapat 64 ayat bahasa Belanda yang perlu saya ucapkan dan fahami maksudnya,” katanya.
Selain Dian, filem arahan Hanung Bramantyo turut dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Christine Hakim, Deddy Sutomo, Reza Rahadian, Nova Eliza, Rianti Cartwright, Denny Sumargo dan Acha Septriasa.
Istimewanya juga, lagu tema filem itu yang berjudul Memang Kenapa Kalau Aku Perempuan? dinyanyikan oleh Melly Goeslow dan Gita Gutawa.
The post Cabaran terbesar Dian appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://bit.ly/2nSbZ4m✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment