Johan Nawawi pernah gambarkan tidak akan hidup lama
MOHD Syakir Iman, anak sulung kepada penggubah lagu Allahyarham Johan Nawawi hari ini mendedahkan bahawa bapanya pernah memberi petunjuk yang dirinya tidak akan hidup lama.
“Papa suruh belajar banyak-banyak daripada beliau supaya saya dapat mengambil alih perniagaan dengan sebaiknya dan juga menjadi ketua keluarga,” kata anak itu, lebih mesra dengan panggilan Iman.
Menurut Iman, 24, arwah bapanya sempat menyusun atur pelan induk bagi syarikat animasi bapanya itu, Hud Hud Media Sdn Bhd untuk diteruskan olehnya.
“Meskipun saya reda dengan pemergian papa, namun perasaan sedih masih dirasai setiap kali saya menjejakkan kaki di pejabat kerana kelibat papa sudah tiada,” katanya.
Johan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, kira-kira 6.30 pagi Jumaat, 24 Mac lalu.
Bercakap kepada Bernama, Iman berkata usaha bapanya menghasilkan kartun animasi berbentuk dakwah akan diteruskannya.
Katanya, beliau akan memenuhi hasrat bapanya supaya beliau meneruskan usaha itu yang dimulakan pada tahun 2011.
Semalam Hud Hud Media mengadakan majlis penghormatan, “Showcase Tribute to Allahyarham Johan Nawawi” di Pameran Gaya Hidup Antarabangsa Malaysia (MILE) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Pada majlis itu, Iman berkongsi serba sedikit kisah hidup Allahyarham.
Menyentuh mengenai pengalamannya bekerja dengan bapanya, Iman berkata: “Saya sempat bekerja bersama papa sejak bulan Ogos tahun lepas dan beliau berkongsi banyak cerita dan pengalaman sehinggalah kepada sejarah hidup beliau.
“Beliau juga sempat berkongsi dengan saya pengalaman perniagaan walaupun bukan semua, tapi banyak yang dia sempat kongsikan,” katanya.
Anak kedua Allahyarham, Muhd Syakir Alif, 18, yang turut sama dalam majlis penghormatan itu menyampaikan dua lagu berjudul ‘Insan’ dan ‘Insan Yang Mulia’, ciptaan Allahyarham.
Allahyarham Johan turut mencipta lagu berunsurkan dakwah berjudul ‘Erti Al-Fatihah’ yang diadaptasi daripada surah al-Fatihah, dan dinyanyikan oleh anaknya Putri Nur Dahlia, 13.
Lagu itu telah dimuatkan dalam siri animasi ‘Ummi – Ceritalah Pada Kami!’ terbitan Hud-Hud Media, selain lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid Raihan pada 1990an.
Johan meninggalkan seorang balu, Nora Ariffin, 44, seorang penyanyi, dan empat cahaya mata Mohd Syakir Iman, Muhd Syakir Alif, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fatehah, 4.
Menurut Iman, hari ini merupakan ulang tahun ke-25 perkahwinan Johan dan Nora.
“Saya dan adik-beradik hanya berkumpul di rumah sambil menemani ibu yang masih dalam iddah, itu sahaja,” kata Iman.
The post Johan Nawawi pernah gambarkan tidak akan hidup lama appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2pj7mzA✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment