Bersama kami dalam kerajaan, kata Adenan kepada pengundi Cina
MIRI : Tan Sri Adenan Satem khuatir masyarakat Cina tidak dapat bersama kaum Sarawak yang lain dalam kerajaannya sekiranya mereka memenangkan DAP 7 Mei depan.
Seolah menyakini kemenangan parti induk BN Sarawak, PBB, Ketua Menteri ketiadaan suara masyarakat Cina dalam kerajaan sesuatu yang merugikan.
“Undilah DAP sekiranya kamu tidak mahu berada dalam kerajaan. Undi BN jika kamu mahu bersama dalam kerajaan.
“Sekiranya semua calon-calon Cina dalam kumpulan saya tewas, tidak akan ada Cina dalam kerajaan. Saya tidak mahu tiada orang Cina dalam kerajaan,” katanya di suatu majlis makan malam bersama calon BN Pujut, Hii King Chiong di Kelab Golf Eastwood semalam.
Beliau meminta pengundi Cina yang membentuk majoriti pengundi Miri supaya bersama dengannya membentuk kerajaan dengan memenangkan calon pilihannya.
“Sepertimana sebelum ini, orang Cina bersama kerajaan Sarawak sejak 1970, 40 tahun lalu. Saya tidak boleh ketepikan satu pertiga teman senegeri saya,” katanya.
Miri dan tiga kawasan pengundiannya – Pujut, Piasau dan Senadin merupakan kubu kuat pembangkang terutamanya DAP.
Pujut dan Piasau jatuh ke tangan DAP dalam pilihan raya negeri 2011, yang menyaksikan bekas Timbalan Ketua Menteri George Chan kehilangan kerusi Piasau yang dimenanginya sejak 1983.
Terdahulu, Adenan menyeru pengundi Bumiputera – Melayu-Melanau, Iban dan Bidayuh supaya tidak memecahkan undi mereka kerana undi mereka kunci untuk memenangkan BN di Miri.
Tahun ini Adenan dan kumpulannya berkeras mahu memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi daripada DAP dengan matlamat untuk meletakkan SUPP sebagai parti berteraskan Cina yang utama di Sarawak.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1TosMTu
Post a Comment