Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ibu rayu selamatkan anak daripada hukuman gantung - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ibu rayu selamatkan anak daripada hukuman gantung

Oleh Patricia Gari//

TOLONGLAH ANAK SAYA: Lundek (dua kiri) bersama ahli keluarga yang lain pada sidang media di Kuching, semalam.

TOLONGLAH ANAK SAYA: Lundek (dua kiri) bersama ahli keluarga yang lain pada sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Lundek Baling, 55, ibu kepada Jabing Kho yang dijatuhkan hukuman gantung sampai hati di Singapura atas kesalahan membunuh merayu kepada kerajaan negeri agar membantu mengemukakan rayuan pengampunan daripada presiden republik itu.

“Saya minta maaf dari hujung kaki hingga hujung rambut…saya tidak ada anak lain, melainkan Jabing. Tidak ada suami, tidak ada rumah dan tiada siapa memberi saya makan.

“Saya meminta tolong kepada Kerajaan Sarawak lebih-lebih lagi Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) kerana ini adalah peluang terakhir anak saya. Saya mahu meminta tolong daripada semua pihak agar hukuman ke atas anak saya diringankan,” katanya.

Lundek sambil mengesat air mata menambah, dia tiada tempat bergantung harapan lagi selepas pada 5 April lalu, Mahkamah Tinggi Singapura memutuskan permohonan rayuan pengampunan itu tidak berjaya dan hukuman gantung sampai mati ke atas Jabing kekal.

“Saya bukan meminta Jabing dibebaskan, tetapi hukuman ke atanya diringankan, penjara seumur hidup, sekurang-kurangnya saya masih ada anak kerana dia satu-satunya anak saya,” katanya.

Lundek berkata demikian pada satu sidang media bersama Persatuan Penguambela Sarawak (SAA) yang turut dihadiri presiden persatuan itu, Leonard Sim serta wakil NGO dari Singapura ‘We believe in second chance’ Kristen Han.

Ditemani anak gadisnya yang sudah diserahkan kepada keluarga lain sebagai anak angkat sejak kecil lagi, Jumai Kho, Lundek berkata dia rela digantung mati bersama anaknya kerana jika hukuman itu kekal dia akan hidup sebatang kara.

Jumai memberitahu media, dia dan ibunya banyak dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘We believe in second chance’ sepanjang berada di Singapura mengikuti kes perbicaraan abangnya.

Leonard yang turut bercakap pada sidang media itu memberitahu, AAS memohon Kerajaan Malaysia menyokong permohonan pengampunan dan menggesa melakukan yang terbaik mendesak pihak berkuasa Singapura menukar daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup ke atas Jabing.

“Tujuan sidang media ini bukan untuk mempersoalkan sistem perundangan Singapura. Kami amat menghargai usaha NGO dan Ketua Menteri membantu mengurangkan hukuman ke atas Jabing.

“AAS percaya Kerajaan Malaysia dan Sarawak dan peguam sudah melakukan yang terbaik untuk membantu Jabing,” katanya.

Kristen pula berkata bagi tujuan itu, pertubuhan tersebut akan mengumpul petisyen merayu presiden dan kabinet Singapura meringankan hukuman dikenakan ke atas Jabing.

“Kami tidak berniat menepis keseriusan jenayah dilakukan Jabing. Kami berpendapat dia membunuh tanpa niat.

“Tambahan kami mengambil kira hukuman mati yang dijatuhkan semula ke atas Jabing menerusi majoriti tipis tiga-dua (3-2) oleh Mahkamah Rayuan,” katanya sambil menambah, petisyen rayuan pengampunan dijangka diserahkan kepada presiden republik itu, awal bulan ini.

Menurutnya keputusan rayuan pengampunan presiden hanya akan diketahui tiga bulan selepas petisyen dikemukakan.

Kho Jabing, 31, dijatuhi hukuman mati pada tahun 2010 kerana memukul seorang pekerja binaan berketurunan Cina hingga mati dalam cubaan rompakan dan kemudian selama enam tahun turun naik mahkamah untuk cuba mengelak tali gantung.

Pada 2013 seorang hakim Mahkamah Tinggi telah mengubah hukuman ke atasnya kepada hukuman penjara seumur hidup dan sebat atas rayuan ekoran perubahan kod undang-undang yang menamatkan hukuman mati mandatori bagi pesalah-pesalah bunuh.

Tetapi pendakwa raya menentang keputusan itu dan Mahkamah Rayuan, mahkamah tertinggi Singapura mengembalikan hukuman matinya pada Januari 2015.

Hukuman mati ke atas Jabing dijadualkan pada November lalu dikekalkan pada saat-saat akhir apabila peguamnya memfailkan satu lagi usul, yang ditolak pada hari ini.

Hakim Chao Tick Hin, yang menyampaikan keputusan muktamad lima hakim mahkamah berkata usul itu tidak memperkenalkan sebarang bukti untuk mendorong mahkamah untuk menimbangkan semula hukuman mati.

“Itu adalah kes teras pemohon bahawa keputusan kami dalam rayuan hukuman semula adalah salah. Tetapi bahan yang dikemukakannya jauh daripada menunjukkan keputusan mahkamah adalah salah, apa lagi salah terang-terangan,” kata hakim.

Menurutnya, tarikh baharu hukuman mati akan ditetapkan oleh presiden Singapura yang telah pun menolak pengampunan.

 



Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1Nf3E52

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.