Jangan beri mandat ‘alang-alang’ Pasukan Adenan
KOTA SAMARAHAN: Jangan beri mandat yang ‘alang-alang’ kepada pasukan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), tegas Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.
Beliau memberitahu bahawa sokongan padu dan mandat besar amat penting kepada Ketua Menteri bagi memastikan suara rakyat lebih lantang untuk dibawa ke peringkat kerajaan persekutuan.
“Saya harap rakyat Sarawak memberi mandat besar kepada Pasukan Adenan, jangan mandat yang alang-alang kerana ini penting supaya Ketua Menteri dapat menyuarakan hak kita di negeri ini dengan lebih lantang lagi di peringkat persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Dewan Masyarakat Kampung Empila di sini, semalam.
Rubiah memberitahu mandat besar itu bukan untuk kepentingan BN tetapi demi kepentingan rakyat di negeri ini dalam memastikan perancangan pembangunan khususnya di luar bandar dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
“Jadi kita harus beri Team Adenan lima tahun lagi untuk membuktikan usaha membantu dan membangunkan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat dicapai dalam matlamat kita bersama-sama menuju ke arah negara maju,” tambahnya.
Selain itu, beliau menegaskan dengan menyokong calon BN, masalah dan pembangunan yang dikehendaki rakyat dapat disuarakan dan diambil tindakan dengan sewajarnya.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1QKvZuw
Post a Comment